"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR pilih pengetua tahfiz Zawawi pertahan Sungai Kandis

Khairil Ashraf

KOTA RAJA: PKR memilih muka baru, Zawawi Ahmad Mughni untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada pilihan raya kecil 4 Ogos nanti.

Pengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah ketika melancarkan jentera pilihan raya parti itu di sini, malam ini.

Zawawi ialah pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun dan setiausaha jentera pilihan raya DUN Sungai Kandis serta ketua bilik gerakan utama PKR pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Beliau yang menyertai gerakan Reformasi pada 1998, aktif di peringkat Cabang Kota Raja dan ranting Jalan Kebun, selain merupakan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama serta ahli jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat.

Zawawi mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PKR, khasnya Dr Wan Azizah yang memberi kepercayaan kepadanya.

“Saya harapkan rakan-rakan yang hadir hari ini akan memberikan sokongan dan dokongan untuk memastikan kejayaan lebih cemerlang dalam pilihan raya kecil akan datang.”

Beliau berjanji akan melaksanakan semua perancangan parti sebelum ini untuk membela rakyat setempat, khasnya golongan miskin.

“Sungai Kandis ada banyak kawasan kampung yang perlukan pembelaan seperti longkang tersumbat, sampah dan juga lampu jalan yang perlu dipertingkatkan kemudahannya.”

Penamaan calon akan diadakan pada Sabtu ini dan parti bertanding mempunyai 14 hari untuk berkempen.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shuhaimi memenangi kerusi itu (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan 23,998 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518 undi), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).

Timbalan Ketua Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dilaporkan berkata, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengumumkan calon Umno esok, manakala Majlis Syura Ulama PAS belum membuat keputusan untuk memberi laluan kepada Umno bertanding satu lawan satu menentang Pakatan Harapan di Sungai Kandis.

Tiada ulasan: