"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

JPM hantar surat pada CIA minta AS sokong Najib

Lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menterit yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

"Saya berharap pihak tuan akan dapat melaporkan kepada setiausaha negara mengenai kerumitan mengurus pilihan raya ini oleh Perdana Menteri Najib dan keperluan untuk mendapat dukungan AS bagi kerajaan sekarang walaupun kami memenangi pilihan raya dengan mudah majoriti atau hanya satu kerusi.

"Sebarang petunjuk bahawa kerajaan AS akan terus menyokong Perdana Menteri Najib dan kerajaannya pasti akan memperkuat kestabilan kami dan meningkatkan hubungan mesra sedia ada yang didorong oleh hubungan erat antara kedua pemimpin," katanya.

Jurucakap perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kesahihan surat itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) mendakwa tidak tahu mengenai surat tersebut dan berkata risikan sepatutnya memastikan keselamatan negara dan mengenai bukan pilihan raya.

"Saya tidak fikir risikan harus terbabit dalam usaha memenangi pilihan raya.

"Perisikan tidak sepatutnya melakukan apa-apa dalam pilihan raya. Pilihan raya adalah mengenai kehendak rakyat, pilihan raya adalah mengenai demokrasi,"katanya.

Surat dialamatkan kepada pengarah CIA yang dilantik pada akhir Mei di bawah pentadbiran Donald Trump itu turut menyentuh mengenai Mahathir bekerjasama dengan pembangkang.

"Tuan mesti dimaklumkan dengan baik bahawa Mahathir, pada dasarnya bukanlah seorang tokoh pembaharuan yang dapat meningkatkan kepentingan negara kerana beliau menyertai pembangkang untuk kepentingan diri sendiri.

"Sementara itu, pembangkang berharap dapat mempergunakan kehebatannya (Mahathir) dalam politik untuk mengalahkan perdana menteri Najib," kata surat yang ditulis oleh ketua pengarah bahagian penyelidikan JPM, Datuk Hasanah Ab Hamid.

'Mahathir anti-barat, Najib pro-AS'

Surat itu turut menyebut Mahathir yang berusia 93 tahun pada masa lalu merupakan seorang yang "anti-Barat, anti semitik, kuku besi dan mendiamkan kritikan melalui kekerasan, tidak mempedulikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. "

"Sepanjang tempohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri disalahgunakan untuk agenda politiknya sendiri dan membenarkan beliau memerintah Malaysia selama lebih dua dekad," katanya.

Sebaliknya, surat itu mengatakan sepanjang 9 tahun pentadbiran Najib, beliau menunjukkan rekod yang baik bukan sahaja dasar asing yang progresif tetapi juga menyumbang kepada keselamatan melalui penglibatan aktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini .

Walaupun pengkritik termasuk Mahathir menuduh Najib berpaling kepada China, surat tersebut menyatakan bekas perdana menteri itu akan memihak kepada AS.

"Tidak seperti Mahathir, Najib dikenali sebagai sekutu Amerika yang kuat dan akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

"Tanpa Najib yang bertanggungjawab ke atas negara ini, Amerika Syarikat akan kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara memandangkan Filipina telah melepaskan diri dari Washington, Singapura dan Brunei terlalu kecil untuk membuat impak dan Thailand serta Indonesia dibelenggu masalah domestik mereka sendiri.

"Sementara itu, negara-negara Indo-China kecuali Vietnam terlalu cenderung ke arah China, "katanya.

Menurut surat itu, Malaysia juga mengalu-alukan kehadiran AS di rantau ini, terutamanya Laut China Selatan untuk memberi keseimbangan terhadap ketegasan maritim China.

Malaysiakini, Sarawak Report turut disebut

Surat itu juga menyebut Malaysiakini dan Sarawak Report dengan mendakwa pembangkang menyebarkan cerita negatif mengenai dasar politik dan sosio-ekonomi melalui portal berkenaan.

"Terdahulu, mereka (pembangkang) telah menubuhkan NGO seperti BERSIH Global untuk menganjurkan pemberontakan seperti Arab-Spring di Malaysia.

"Pada tahun 2016, harapan pembangkang untuk menjadi kerajaan kelihatan agak menjanjikan kerana Mahathir menyertai mereka.

"Ironinya, selama 20 tahun gerakan 'reformasi' oleh Anwar Ibrahim adalah untuk menentang dan melawan kezaliman Mahathir," tambahnya.

Saifuddin, dalam temu bualnya dengan Malaysiakini, berkata kerajaan sekarang mempunyai pandangan berbeza mengenai soal risikan.

"Sekiranya kita mempunyai unit perisikan atau jabatan, yang bukan perkara luar biasa bagi mana-mana kerajaan, risikan mestilah mengenai memastikan keselamatan negara dan rakyatnya dan bukan mengenai politik," katanya.

Menteri itu juga mendedahkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengkaji semula peranan anggota Cawangan Khas Polis dalam memantau ahli-ahli politik.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak (Menteri Dalam Negeri) (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tetapi saya percaya beliau melihat aspek ini di mana urusan utama pasukan polis adalah mengenai keselamatan dan bukan untuk memastikan pihak tertentu memenangi pilihan raya atau sesuatu seperti itu," tambahnya.

Tiada ulasan: