"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ada parti tafsir perlembagaan berpusing-pusing'

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menyifatkan ada pihak yang mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan secara "berpusing-pusing" demi mempertikai kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di PRK Port Dickson.

Beliau tidak menamakan pihak itu secara khusus tetapi dipercayai merujuk kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Semalam, Takiyuddin - juga seorang peguam - menggesa mahkamah segera mendengar saman pemula seorang pengundi Port Dickson bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Anwar tidak layan bertanding.

Sama seperti saman pemula itu, Takiyuddin juga membangkitkan Perkara 42 yang menurutnya hanya merujuk kuasa memberi ampun, menunda dan melegakan hukum berkenaan kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah.

Menurut Perlembagaan, katanya lagi, peruntukan bagi membolehkan seseorang yang hilang kelayakan sebagai anggota parlimen hanya boleh dibatalkan melalui pengampunan bebas bawah Perkara 48(1)(e).

Hanipa berkata Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam memberi pengampunan kepada mereka yang disabitkan bersalah di mahkamah.

"Ada seorang pemimpin parti ehem cuba pertikai status pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar.

"Bagi saya Perkara 42 sangat jelas (iaitu) kuasa Agong untuk ampun semua jenis kesalahan.

"Secara mudahnya, jika ada kuasa ampun semua kesalahan, sama ada pesalah disabit bersalah atau tidak tak timbul. Bila sudah diampun kesalahan, ia samalah macam tak ada atau tak lakukan kesalahan," katanya yang juga pengerusi Biro Undang-undang AMANAH, dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa pengampunan manakala Perkara 48 tentang kehilangan kelayakan menjadi anggota parlimen.

"Mengapalah tafsir berpusing-pusing macam masuk roundabout? Apa-apa pun, tahniah kerana kreatif," kata Hanipa dengan nada sinis.

Beliau berkata tafsiran itu tidak salah tetapi ia amat "aneh, pelik dan janggal".

"Apa yang pasti, tafsiran perlembagaan sewajarnya dibuat secara luas dan anjal, bukan sempit dan ketat. Itu yang saya belajar," katanya lagi.
-malaysiakini

Tiada ulasan: