"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Abang Naib Presiden Umno masuk Amanah


Kamarazaman Yaacob
SHAH ALAM - Abang kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kamarazaman menyertai Amanah sempena sambutan ulang tahun ketiga parti itu, di Temerloh bulan lalu.

Kamarazaman yang juga penulis buku genre politik antaranya bersama Anwar ke penjara berkata, keputusannya untuk aktif kembali dalam politik adalah untuk bersama-sama rakan progresif di dalam Amanah atau bukan bagi membina sebuah negara berwajah baharu.

Menurutnya, dia amat berharap supaya penyertaannya itu akan dapat membina ruang demokrasi sebenarnya kepada rakyat dan pelajar terutama menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971).

“Semoga Malaysia Baru dapat melahirkan demokrasi sebenarnya. Tiga tonggak dapat berdiri bebas iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari. Saya memilih parti ini (Amanah) kerana yakin dapat memberi tenaga serta fikiran lebih efisien.

“Saya juga percaya ruang lingkup parti ini terbuka untuk saya berbakti, sebuah parti yang menyediakan tapak yang luas untuk saya berkarya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Kamarazaman yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya 1973-1974 berkata, Amanah terbuka kepada berbilang bangsa dan agama serta diyakini dapat menyumbang ke arah perpaduan nasional.

Menurutnya, Amanah mampu melahirkan sebuah bangsa Malaysia sejati dan mempunyai masa depan yang amat cerah sebagai parti yang kuat, berpengaruh serta disegani.

“Saya tertarik kepada Amanah kerana melihat barisan kepimpinannya. Mereka ialah pemain politik yang gigih, lasak, kental dan tahan diuji. Mereka bersedia mengharungi riak, ombak dan badai lautan politik tanah air.

“Kegigihan mereka terbukti. Ramai antara mereka membilang jeriji dan pintu lokap termasuk yang tercampak ke kem tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak,” katanya.

Menurutnya, pemimpin Amanah adalah pemain politik sejati dan aktivis politik yang berani berdepan risiko demi perjuangan bangsa dan negara.

“Saya tertarik dengan ideologi menjadi garis perjuangan Amanah yang saya simpulkan sebagai Islam progresif dan keadilan sosial atau keadilan sosioekonomi selaras dengan pegangan politik saya iaitu marhaenisme.

Tiada ulasan: