N Faizal Ghazali
PEMILIHAN PKR | Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendapat tempat di hati anggota parti itu apabila mendahului pemilihan di Kelantan dan di Terengganu, hari ini.
Bekas anggota parlimen Pandan itu mendapat 5,211 undi berbanding calon penyandang jawatan itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meraih 4,922 undi.
Keputusan itu menyaksikan Rafizi mendahului dengan majoriti kelebihan 289 undi, demikian keputusan daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR setakat ini.
Pemilihan PKR Kelantan itu melibatkan 14 cabang yang berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Sementara itu, Rafizi juga mendahului Azmin di Terengganu apabila masing-masing meraih 1,506 dan 1,269 undi.
Selepas tiga minggu pengundian, keseluruhannya setakat ini Azmin mendapat 14,020 undi, mendahului Rafizi sebanyak 177 undi.
Bagi saingan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Zuraida Kamaruddin kedua-duanya kekal ditangga pertama dan kedua.
Sementara itu, Shamsul Iskandar Md Akin naik satu anak tangga di tangga ketiga, diikuti seterusnya oleh Tian Chua.
Pengundian ini akan memilih empat naib presiden PKR.
Pemilihan di Pahang akan berlangsung esok disusuli Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan