Dr Muhaimin Sulam
Menikmati kesedapan ikan patin Temerloh dengan luahan pedas daripada kritikan rakan lama tentang AMANAH adalah pakej perjalanan yang menarik hujung minggu lalu.
Sungai Pahang mengalir perlahan-lahan.
Perbincangan kami berkisar soal politik semasa. Setelah itu, saya 'berundur' dengan mengelak diri untuk berkhilaf hingga boleh menjejas silaturrahim.
Seminggu selepas 16 September, AMANAH mengadakan perayaan sempena tiga tahun penubuhannya. Ada banyak sebab AMANAH meraikan ulang tahunnya di Temerloh.
Pertama, Temerloh ialah kawasan parlimen yang diwakili oleh Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir.
Kedua, faktor geografi yang terletak di titik tengah Semanjung Malaysia.
Ketiga, mengambil semangat sejarah Temerloh yang sarat dengan perlawanan ke atas sang penguasa. Itu kemungkinan yang terbayang dalam fikiran saya saat menghirup kuah ikan patin yang pedas.
Baca gelagat orang
Hentian seterus saya adalah Kuala Terengganu, tuan rumah Muktamar PAS kali-64 hujung minggu lalu. Pertama kali saya menghadiri muktamar PAS di sini ialah pada 1987.
Pada tahun itu ia menyaksikan perwakilan Pemuda PAS mengkritik pimpinan mereka berhubung pendekatan politik yang diambil parti pada PRU ketujuh yang diadakan setahun sebelumnya.
Nakhaie Ahmad meletak jawatan sebagai ketua penerangan PAS Pusat.
Pada ucapan penangguhan di muktamar itu, Ustaz Fadzil Noor yang berucap bagi mewakili Yusuf Rawa yang sepatutnya berucap. Subky Latif - veteran parti - ada merakam kisah itu dalam tulisannya.
Berhenti di Rusila untuk menikmati lempeng panas dan secangkir teh panas.
Kampong Rusila sinonim dengan PAS.
Sambil menikmati hembusan angin dari Laut Cina Selatan, mata saya membaca gelagat para pelanggan yang berkunjung.
Mudah untuk saya menelah siapa mereka. Ahli dan penyokong PAS amat mudah dikenali melalui pakaian mereka, dan jika bernasib baik melalui perbualan sesama mereka.
Pemilihan istilah kata dan subjeknya stereotaip dan tipikal.
Ada anak-anak muda berkopiah putih dan berbaju T dengan lambang bulan atau ada lambang Jabatan Amal tidak jauh dari meja kami. Sesetengah mereka datang secara berkeluarga dan berkawan. Ukhwah sungguh.
Secara lahiriah tiada perubahan berlaku pada PAS dan juga Umno. Hijau dan merah kekal berbeza. Kopiah tidak akan menukar songkok atau sebaliknya.
Jubah muslimah PAS tidak akan berubah pada kebaya atau kebarung Puteri Umno.
Naratif PAS dan Umno menjurus pada persoalan Melayu-Islam sebagai agenda dalam retorika politik mereka sejak dulu lagi. Masing-masing memiliki hujah yang memperkukuhkan keikhlasan perjuangan mereka.
Biarpun berpuluh-puluh tahun perseteruan politik di antara mereka, perkembangan terkini sudah berubah.
Umno datang melutut
Parti politik jarang mengaku kalah atau mengaku salah bagi membenarkan musuh politiknya meraikan kemenangan. Masing-masing akan mencari hujah bagi menghalalkan langkah yang mereka ambil.
Beruntunglah parti atau pimpinan yang memiliki anggota dan pengikut yang memiliki ketaatan kental. Musuh politik mereka pula menyebutkan ketaatan itu sebagai taasub.
Apabila hasrat yang dilontarkan oleh kedua-dua pihak dilihat selari, maka nilai diri juga akan berubah. Semua pihak yang berkaitan mula mengubah suai kedudukan bagi yang berdiri sama tinggi, yang duduk sama rendah.
Itu lumrah berpolitik sama ada politik di sebelah sana atau politik di sebelah sini.
PAS sebagai sebuah parti Islam berasa bertanggungjawab memperbetulkan kesesatan yang dilalui Umno berkurun lalu.
PAS sebagai sebuah parti Islam yang kuat berasa izzah apabila Umno yang sekian lamanya menzalimi mereka, kini datang melutut.
Inilah waktu untuk Islam didaulatkan. Allah SWT sudah tunjukkan di dunia lagi - itulah kata sesetengah orang.
Ucapan presiden PAS sekarang pun sudah bernuansa nasionalistik. Penekanan sebegini agak pelik jika disemak teks-teks ucapan dasar presiden 10 atau 20 tahun lalu.
Firman dan hadis tetap diselitkan dalam ucapannya. Pantun seloka tidak saja diungkap oleh pengerusi tetap, presiden parti pun bijak berpantun.
Bertanjak, bersampin dan berkeris bukan sekadar gaya kelainan dalam penampilan pada umum. Ia adalah suatu simbol yang mudah dibaca.
Saya menghirup teh panas di Hentian Puncak Titiwangsa untuk merehatkan diri yang penat bermusafir dan berfikir. Pada hujung kembara, pandangan jauh saya lontarkan pada sekumpulan anak muda berkopiah itu.
Saya berbisik, ada Umno pada wajah mereka!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan