"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

152,000 mangsa masih tertimbus di kawasan gempa Sulawesi

Bernama 
KOTA PALU: Dianggarkan 152,000 mangsa masih lagi tertimbus di seluruh kawasan dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Kota Palu, Sulawesi, Jumaat lepas.

Pengarah Informasi dan Media Kementerian Luar Indonesia Acmad Ramadan berkata pada masa yang sama sejumlah 65,733 kediaman turut musnah akibat bencana itu.

“Setakat ini, kita telah menemui sebanyak 1,558 mayat mangsa yang kebanyakannya tertimbus di dalam tanah.

“Mangsa yang cedera pula ialah 2,549 orang yang ada diantaranya dipindahkan ke hospital di daerah lain untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di Patebo hari ini.

Acmad menambah keadaan tanah serta kehendak keluarga yang inginkan jasad mangsa yang terkorban ditemukan dalam keadaan sempurna menjadi antara kesukaran yang dialami pasukan mencari dan menyelamat dalam menggali keluar mangsa.

“Kami akan lakukan yang terbaik bagi memastikan semua mangsa yang terkorban dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Indonesia tidak menetapkan sebarang tarikh akhir bagi kerja mencari dan menyelamat dilakukan.

“Tiada tetapan untuk pencarian mangsa. Ia akan diteruskan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Karo Penmas Divisi Humas Polri Brig Jen Ermi Widyatno berkata cuaca baik sehingga ini melancarkan operasi membawa keluar mangsa.

“Bantuan luar juga sekarang dah boleh masuk di tiga kawasan utama iaitu Sigi, Dongala serta Kota Palu…dijangka akan lebih banyak mangsa yang akan ditemui.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan rakyat Malaysia terutamanya Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang sudi membantu kami di sini,” katanya.

Misi Bantuan Kemanusian Mapim merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu, Jumaat lepas.

Tiada ulasan: