"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr M: Gerakan belakang tabir PAS-Umno punca keputusan PRU14 lambat

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa kelewatan pengumuman kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada malam pilihan raya umum (PRU) ke-14 adalah disebabkan gerakan belakang tabir oleh Umno dan PAS untuk memancing wakil rakyat Melayu-muslim untuk lompat parti.

Dalam wawancara dengan Mekong Review bulan lalu, Dr Mahathir berkata ketika kekalahan mengejut BN pada 9 Mei lalu, Umno dan PAS berharap dapat menyusun gerakan untuk mendapatkan semula majoriti parlimen dan membentuk kerajaan yang terdiri daripada wakil rakyat Melayu-muslim.

Jelas Dr Mahathir, ini demikian kerana terdapat pihak tertentu yang bimbang PH akan menjuarai isu orang Islam "seperti kerajaan terdahulu".

"[....] Ada idea yang menggambarkan sekiranya pembangkang yang terdiri dari Umno dan PAS yang merupakan parti Melayu-Islam bersatu, mereka boleh menarik parti Melayu-Islam lain dari PH, mendapat majoriti dan seterusnya menubuhkan kerajaan Melayu-Islam. Namun mereka dinasihati agar tidak berbuat demikian.

"Ini yang menyebabkan kelewatan pengumuman kemenangan PH. Kami tahu kami menang seawal 8.30 malam lagi tapi kami tidak mendapat pengumuman rasmi sehingga pukul 2 pagi kerana dalam tempoh itu terdapat gerakan yang disusun yang tidak dilihat oleh umum.

"Kami sudah tahu, dan selepas itu kami tahu lebih lanjut berhubung perkara itu," katanya dipetik sebagai berkata dalam wawancara berkenaan.

Tambah anggota parlimen Langkawi itu, peralihan kuasa yang berlaku pada PRU ke-14 "tidak selancar" yang dilihat dari luar.

"Kami menghadapi banyak kesukaran, termasuk percubaan dari dalam untuk menolak kemenangan kami, tapi akhirnya kami berjaya," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun enggan menamakan wakil rakyat PH yang dikatakan cuba dipujuk untuk lompat parti.

Tiada ulasan: