"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penemuan mayat dibalut tilam: Tuduh-menuduh, bergaduh dipercayai motif pembunuhan

Meor Riduwan Meor Ahmad

MELAKA: Pertelingkahan akibat tuduh-menuduh dikenal pasti motif utama pembunuhan seorang mangsa dipercayai lelaki yang mayatnya ditemukan dalam balutan tilam dengan tangan terikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata penemuan itu hasil siasatan lanjut dan soal siasat suspek lelaki berusia 40 tahun yang kini ditahan reman.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai rakan kepada suspek. Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pergaduhan susulan salah faham dan tuduh-menuduh terhadap keluarga suspek semasa kedua-dua lelaki itu menghisap dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, identiti mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan dan tertakluk kepada keputusan perbandingan DNA dengan ahli keluarga bagi memastikan pengesahan identiti secara saintifik.

Katanya, siasatan lanjut juga masih dijalankan dari segenap aspek bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Asisten Superintendan V Somsundram di talian 017-6954714.

Media pada Jumaat lalu melaporkan satu mayat ditemui dalam keadaan reput dibalut dalam tilam dengan kedua-dua tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, dipercayai mangsa bunuh.

Berdasarkan siasatan di tempat kejadian, polis mengesyaki insiden itu berlaku dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan berdasarkan proses pereputan mayat yang teruk sehingga jantina dan identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.

Tiada ulasan: