"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rusuhan kuil: Siapa terlibat, ikuti penjelasan timbalan IGP

Kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor awal pagi ini bukan melibatkan perbalahan antara kaum, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada proses pengambilan tanah di kawasan tersebut yang dikatakan dibuat dengan “cara yang kurang menyenangkan” antara pemilik tanah dan pihak kuil.

"Mungkin pihak yang nak ambil alih mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk memudahkan mereka ambil alih kawasan tersebut. Ada kemungkinan mereka ini kumpulan samseng, dan pastilah kumpulan berbangsa India cuba mempertahankan (pencerobohan).

"Saya perlu jelaskan kerana ia menjadi satu isu sensitif (buat masa ini) dan saya tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan. Tak ada isu berkaitan pergaduhan antara kaum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara 2018 kepada 344 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi tadi bermula selepas sekumpulan kira-kira 50 lelaki yang dipercayai bangsa Melayu telah menceroboh kuil itu lalu disedari beberapa penjaga kuil berbangsa India.

Beliau berkata penjaga kuil itu telah bertindak menghubungi rakan-rakannya bagi memaklumkan aksi pencerobohan itu, menyebabkan kira-kira 200 lelaki India tiba di tempat kejadian dan lalu mengepung kuil berkenaan.

"Ketika pengepungan berlaku, polis telah tiba di tempat kejadian. Suatu ketika kumpulan lelaki (yang menceroboh) itu cuba melarikan diri hingga berlaku perbalahan antara kedua-dua kumpulan.

“Akibatnya, tiga lelaki telah cedera manakala beberapa kenderaan turut dilaporkan terbakar," katanya.

Noor Rashid berkata PDRM akan membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan iaitu membabitkan perbuatan pencerobohan kuil serta aksi ganas kumpulan terlibat hingga menyebabkan 18 buah kereta terbakar.

Beliau turut mengingatkan kesemua pihak supaya tidak tular sebarang berita tidak benar berhubung kejadian itu kerana dibimbangi boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita akan bertemu dengan pemimpin parti politik, ketua kampung dan ketua masyarakat di kawasan tersebut untuk menasihati dan menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku,” katanya sambil memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tetap berdegil untuk tular insiden itu khususnya melalui media sosial.

Mengulas berhubung penyebaran mesej yang kini tular di negara jiran dengan mendakwa Malaysia tidak selamat untuk dilawati pada 5 hingga 10 Dis depan, beliau berkata gambaran mesej itu tidak tepat.

"(Negara) kita masih selamat dan tiada sebarang perbalahan kaum. Polis masih mampu mengawal sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu.

Video yang memperlihatkian aksi ganas kedua-dua kumpulan itu dilaporkan kini viral dalam media sosial.
-Bernama

Tiada ulasan: