"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Sejak bila PAS pandai bercakap tentang hormatkan PM?'

Seorang lagi pemimpin parti kerajaan tampil mempertikaikan rasional diberi pemimpin PAS untuk meneruskan himpunan mereka pada Dis ini.

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkharnain Abidin berkata menurut Presiden PAS Abdul Hadi Awang mereka berhimpun kerana ada menteri yang mengeluarkan kenyataan tidak selaras dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya tidak wujud kecelaruan kononnya apabila Mahathir berkata kerajaan tidak akan menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) ada pula menteri mengeluarkan kenyataan sebaliknya.

"Sebelum perdana menteri memberi kata putus, memang ada. Tapi selepas beliau buat kenyataan, tiada menteri yang buat kenyataan berbeza," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Namun kata Zolkharnain, alasan Abdul Hadi yang lebih sukar diterima akal ialah apabila PAS mahu meneruskan himpunan kerana ada menteri tidak menghormato perdana menteri.

"Semenjak bila pula PAS pandai bercakap mengenai hormat kepada perdana menteri sekarang?

"Bukankah sudah berkandar-kandar pemimpin PAS mengutuk Mahathir?

"Tiba-tiba mereka nak meneruskan demontrasi sebab nak bela perdana menteri yang kononnya tak dihormati menteri," katanya lagi.

Siang tadi Abdul Hadi dilaporkan berkata ada menteri yang perlu "diajar" kerana memberi kenyataan berhubung Icerd selepas Mahathir menegaskan ia tidak akan diterima negara ini.

Himpunan itu dirancang PAS dan akan disertai Umno serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan. Namun Putrajaya pada 23 Nov lalu menegaskan untuk tidak menerima Icerd.

Selain bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, beberapa mufti juga berpendapat tiada keperluan lagi himpunan itu diadakan.

Antara mereka ialah Mufti Perak, Harussani Zakaria dan negeri yang ditadbir PAS sendiri - Kelantan - Mohamad Shukri Mohamad.

Menurut Zolkharnain jika PAS mahu mengadakan himpunan juga tetapi tiada alasan kecuali menggunakan Icerd, ia boleh difahami.

Cuma, katanya, tidak perlu bagi parti terbabit memberi alasan yang bukan-bukan, termasuk kononnya kerana ada menteri tidak menghormati Mahathir.

"Yalah, bas dah sewa, baju-T dah dicetak, Umno pun setuju untuk bersama, takkan nak batal pula.

"Rasanya alasan ini lebih rasional berbanding alasan nak bela perdana menteri.

"Itu alasan karut. Bukan setakat tak masuk akal, masuk bakul pun tidak," katanya.

Tiada ulasan: