"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rusuhan di kuil: 18 kereta dibakar, polis tahan dua lelaki

Dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi tadi.

Bernama memetik Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor sebagai berkata dua individu berkenaan ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang pagi tadi akibat tercedera dalam kejadian pada kira-kira pukul 2 pagi.

"Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua motosikal turut dibakar dalam kejadian berkenaan.

“Sebuah kereta peronda polis turut rosak akibat dibaling batu oleh perusuh," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.

Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil, yang berusia lebih 100 tahun.

Video kejadian itu viral dalam media sosial. Turut dilaporkan banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu puncak pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat bagi memastikan keadaan terkawal.

“Polis akan melaksanakan tugasan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam ketika proses pemindahan kuil berusia lebih 140 tahun itu.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiada ulasan: