"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Hassan hilang kerusi Rantau, mahkamah arahkan PRK

Hafiz Yatim

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Rantau Negeri Sembilan kosong dan mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai tidak sah.

Sehubungan itu, hakim Azimah Omar mengarahkan satu pilihan raya kecil diadakan serta-merta.

“Ini diakui peguam Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulis.

“Dengan itu, mahkamah membenarkan pempetisyen memfailkan petisyen seperti berikut, Mohamad tidak dipilih sebagai ADUN Rantau dan pemilihannya tidak sah atau batal.

“Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta,” katanya.

Menurut hakim, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

"Ini adalah diskriminasi kepada pempetisyen (Dr S Streram) dan gangguan kepada proses demokrasi," katanya.

Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa pegawai pengurus itu tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR masuk sedangkan dia tahu Streram berada di luar pusat penamaan.

"Tindakannya tidak beretika dan tiada integriti," kata Azimah. Beliau juga mengarahkan Amino Agus untuk membayar kos sebanyak RM30,000.

Streram yang didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Beliau pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

Mohamad menang kerusi itu tanpa bertanding apabila Amino Agus enggan membenarkan Streram memasuki pusat pencalonan pada 28 April lalu.

Sebanyak 19 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan selama 12 hari itu.

Pakar bius berusia 63 tahun itu diwakili empat peguam diketuai Hanif Kathri manakala Mohamad diwakili lima peguam diketuai Hafizam Harun.

Mohamad yang ditemui pemberita selepas penghakiman itu dibuat memberitahu bahawa dia akan berbincang dengan peguamnya sama ada untuk merayu keputusan tersebut.

"Saya hormati keputusan mahkamah.

"Saya ada 14 hari untuk buat rayuan selepas berunding dengan peguam saya," katanya.

Streram berkata beliau gembira dengan keputusan hari ini kerana mengembalikan semula haknya dan pengundi boleh memilih calon pilihan mereka untuk kerusi DUN N27 Rantau.

"Saya harap akan terpilih sekali lagi dalam pilihan raya itu nanti," katanya.

Tiada ulasan: