"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ayam halal di Lembah Klang diragui?

HIDAYAH HAIROM

KUALA LUMPUR - Kira-kira 80,000 ayam yang diragui statusnya akan terus dibekalkan di ibu negara jika projek pusat penyembelihan ayam halal tidak dapat dilaksanakan.

Malah Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia (G3PM) mendakwa ia akan lebih diragui apabila bekalan ayam sedia ada yang diedarkan di Lembah Klang ketika ini dikendalikan tanpa mematuhi piawaian agensi berkaitan.

Pengerusinya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, situasi akan berubah jika terdapat pusat penyembelihan ayam halal kelak yang dipantau rapi serta dikawal selia setiap pemprosesan termasuk penyembelihan.

“Secara amnya, projek pusat penyembelihan ayam halal berpusat dan pasar harian ini bakal memberi impak positif kepada seluruh warga Lembah Klang dengan kapasiti pembekalan 80,000 hingga 120,000 ekor ayam bersih dan halal kepada pengguna setiap hari.

“Selain itu juga, setiap pemprosesan dan penyembelihan ayam bakal dipantau rapi serta dikawal selia dengan ketat oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM7 juta dibiayai oleh pemaju untuk melengkapkan pusat tersebut dengan sistem loji rawatan air moden, canggih dan sisa buangan pepejal yang setaraf dengan piawaian negara maju seperti di Singapura, Dubai, Hong Kong dan Eropah.

“Kaedah advance bio-security akan memastikan ayam hidup yang sampai dari ladang bebas daripada sebarang wabak penyakit atau kesan sampingan kesihatan bermula dari awal operasi sehingga proses sisa.

“Kami tidak mahu berniaga di kawasan kotor seperti sekarang. Selama lebih 8 tahun Jabatan Perancangan Bandar DBKL, konsultan antarabangsa dan pihak pemaju perhalusi projek ini demi selesaikan isu yang berlaku di sekitar kawasan pasar harian itu,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Rosli berkata, peniaga dan penjaja kecil yang beroperasi di kawasan pasar tersebut menyokong pemilihan tapak lokasi projek itu kerana tiada lagi tempat yang lebih sesuai dan ikonik bagi menggantikan tapak asal dan pusat penyembelihan ayam halal tersebut.

“Adalah menjadi satu kerugian kepada warga kota Kuala Lumpur sekiranya projek ini gagal dilaksanakan.

“Ia adalah satu keputusan komprehensif dan kondusif untuk peniaga menyediakan stok jualan sumber makanan yang diproses mengikut piawaian ketat, bersih, halal, patuh syarak, halalan-toyyiban buat pengguna terutamanya pengguna Islam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sahih Group Sdn Bhd, Ahmad Jefri Mohd Meidin yang juga pemaju projek berkenaan berkata, lokasi projek berkenaan bersesuaian dengan pasar yang menjadi hub agro dan akan memberi penambahbaikan dalam semua aspek.

“Selain masalah-masalah sedia ada yang dapat diatasi, pembangunan projek ini juga akan memberi pulangan terbaik dari segi ekonomi dan nilai hartanah.

“Kami berharap pihak kerajaan tidak berganjak dari keputusan asal untuk memastikan projek ini dilaksanakan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: