"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tok Pa dan Husam sinergi baru PH Kelantan

N Faizal Ghazali

Penyertaan anggota parlimen Jeli, Mustapa Mohamed dalam parti Bersatu dilihat akan memberi nafas dan sinergi politik baru Pakatan Harapan (PH) Kelantan.

Penganalisis politik berpendapat, bekas menteri Umno yang lebih dikenali sebagai Tok Pa itu adalah tokoh ideal untuk digandingkan dengan Husam Musa yang kini mengepalai PH Kelantan.

Dr Mazlan Ali berkata, kedua-dua personaliti ini berkongsi beberapa persamaan dalam gerak kerja mereka.

"Kedua-dua mereka ini dikenali sebagai pemimpin yang mempunyai visi dan bermisi. Rakyat Kelantan apabila mengharapkan kepada pembangunan, kerancakan pelaburan dan peluang pekerjaan, akan melihat watak Tok Pa sebagai individu yang mempu memberi membawa harapan tersebut.

"Selain itu rekod pencapaian dua pemimpin ini di Kelantan sangat baik, Husam seorang pemimpin yang terbukti mampu untuk menjalankan tugas-tugas yang bervisi di negeri itu, begitu juga Tok Pa," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebagai rekod, Mustapa sebelum ini adalah pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan yang banyak memainkan peranan melawan PAS di Kelantan.

Namun, strategi BN tidak berjaya sejak 1990 sekali gus membolehkan PAS memerintah Kelantan hingga ke hari ini.

Justeru, Dr Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata dalam arus politik semasa, tidak mustahil untuk PH menggandingkan kewibawaan Mustapa dan Husam.

"Saya melihat gabungan antara Tok Pa dan Husam dalam konteks Harapan, sebagai satu elemen sinergi yang boleh mengangkat negeri Kelantan, tambahan pula kedua-dua mereka mendapat sokongan daripada kerajaan pusat.

"Mereka membawa visi dan misi kerajaan persekutuan. Saya percaya sudah pasti Kelantan banyak aspek-aspek yang perlu dilihat, dalam sudut pembangunan insan, pembangunan ekonomi, luar bandar dan infrastruktur masih memerlukan pembelaan kerajaan persekutuan.

"Jadi gabungan antara Mustapa dan Husam ini sangat ideal, satu gandingan yang mampu untuk membangkitkan semula sokongan rakyat kepada kerajaan Harapan," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar berpendapat, pengalaman luas kedua-dua pemimpin itu dalam politik Malaysia mampu menguatkan pengaruh Harapan Kelantan.

Katanya, gandingan mereka dilihat boleh memberi kesan besar kepada PH Kelantan dalam mempersiapkan jentera parti untuk merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

"Pengalaman Tok Pa sebagai bekas menteri kabinet dan Husam sebagai bekas exco kanan dalam pentadbiran amat diperlukan dalam pembangunan negeri.

"Sekiranya gandingan ini menjadi realiti dan seterusnya mendapat sokongan ahli khususnya penyokong Harapan, ia akan memberi ancaman besar kepada PAS Kelantan.

"Ketokohan kedua-dua mereka sentiasa menjadi bualan rakyat Kelantan tanpa mengira pegangan ideologi parti. Rakyat dapat merasakan kedua-dua pemimpin ini mampu mengubah dan membangunkan Kelantan untuk tampil sebagai negeri yang lebih disegani," katanya yang juga dekan pembangunan pelajar dan alumni UUM.

Tiada ulasan: