"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib panglima perang Umno – mengapa eh?

Mohsin Abdullah

Apabila Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib Razak untuk mendapatkan pasport antarabangsa bagi jangka waktu 20 Oktober hingga 22 November ini – ia mencetuskan pelbagai polemik politik dan ada yang “kurang setuju” (sebenarnya marah).

Keizinan itu diberi 18 Oktober bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya di Singapura yang bakal melahirkan anak.

Tolak tepi kemarahan pihak tertentu, ikut logik, Najib sepatutnya menzahirkan kesyukuran, ucap terima kasih kepada mahkamah, dan pantas bergerak ke Singapura tetapi tidak.

Sebaliknya beliau menangguh perjalanan. Lantas pada 22 Oktober dia memohon kepada mahkamah untuk meminda tarikh dan pemulangan passport. Najib kini mohon tarikh menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah dipinda daripada 22 November kepada 6 Disember pula.

Mungkin (atau pasti) ada pihak anti-Najib yang kata bekas perdana menteri ini “berlebih-lebih”. Bagai beri betis hendak paha.

Namun bagi Najib, beliau ada alasan “wajar” untuk berbuat demikian. Apakah sebabnya itu? Untuk membantu jentera Umno pada PRN Melaka yang dijadual berlangsung 20 November.

Dalam erti kata lain, khidmat beliau diperlukan kerana ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno, berangkat ke Jerman untuk rawatan sakit belakang.

Dalam afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul terpinda, Najib menyatakan beliau “diamanah dengan tanggungjawab memastikan parti bertindak dengan teratur dan sewajar” ketika ketiadaan Zahid.

Oleh kerana “amanah” itulah Najib bercadang berlepas ke Singapura pada 21 November (sehari selepas PRN Melaka) dan pulang ke tanah air 5 Disember.

Permohonan pindaan itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini 26 Oktober 2021. Artikel ini bukan bertujuan membincangkan urusan mahkamah.

Yang mahu diajukan ialah apa yang Zahid, bahkan Umno sendiri, mahu Najib lakukan di Melaka? Apa yang dimaksudkan bahawa Najib diamanahkan dengan “tanggungjawab memastikan parti (yakni Umno) bertindak dengan teratur dan sewajar”.

Pertanyaan lebih tepat – apa peranan Najib? Adakah atas kapasiti ‘membantu’? Atau ‘mengepalai’ jentera Umno di Melaka?

Jika “membantu” rasanya ramai faham kerana Najib ialah Penasihat BN. Ketika dilantik dahulu, beliau disifatkan Zahid sebagai pemimpin yang boleh membantu BN pada PRU15 kelak kerana “pengaruhnya”.

Namun jika Najib diamanahkan mengetuai jentera Umno di Melaka, persoalannya ialah mengapa beliau? Mengapa bukan Mohamad Hasan? Bukankah Tok Mat timbalan presiden?

Bukankah “timbalan” ialah orang yang dilantik untuk membantu ketuanya dan memikul tugas ketua semasa ketiadaan ketuanya itu? Dalam konteks Umno, timbalan presiden dipilih ahli parti. Bukan “sekadar” dilantik presiden.

Adakalanya seseorang timbalan diangkat sebagai ‘pemangku’ dalam menjalankan tugas ketua bagi tempoh waktu ketiadaan si ketua. Maksudnya si timbalan memangku jawatan ketua sehingga ketua kembali bertugas.

Apa pun, kedua-dua “kaedah” boleh digunakan untuk Tok Mat memimpin jentera Umno di Melaka. Beberapa penganalisis politik berpendapat orang yang paling “afdal” mengetuai parti dengan ketiadaaan Zahid ialah Tok Mat kerana beliau timbalan Zahid.

Mengapa Zahid macam tidak memilih Tok Mat? Apa yang tersurat dan tersirat? Maklumlah Najibkan “bosku”.

Namun jika Najib benar dipilih untuk memimpin parti, adakah pemilihan dibuat berdasarkan pengaruhnya seperti mana yang mendorong pelantikannya sebagai penasihat BN?

Tidak dinafikan Najib masih berpengaruh khususnya dalam Umno. Malah kehadirannya di platform media sosial amat ketara. Ramai yang yakin beliau ialah “Bos”. Najib sudah pun menemui orang Umno di Melaka. Lihat sahaja video yang tular betapa “bersemangat” wanita Umno menyambut beliau.

Beberapa kemenangan BN pada PRK pasca PRU14 juga disandarkan kepada faktor ‘Bosku’.

Ada pemerhati politik berpendapat Najib sebagai bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno, orang lama dalam Umno, dan dengan ramainya pengikut di media sosial mampu menggembleng tenaga parti dan menyatukan ahli bagi menguatkan jentera PRN Melaka.

Namun ada yang percaya Melaka gelanggang terbaik untuk “menguji” Umno dipimpin Tok Mat dalam ketiadaan Zahid. Bagaimanapun, kita faham jika Umno tidak mahu ambil risiko dengan melakukan “ujian” sedemikian buat masa ini.

Apa pandangan Tok Mat terhadap isu ini? Menurut media, apabila ditanya, jawapan beliau ringkas: “kamu tanya Najiblah”. Terpulang kepada semua untuk menyelami minda beliau dan “baca” apa yang dimaksudkan.

Tanya orang Umno, semua akan berkata dengan terbuka tiada masalah siapa pun panglima perang di Melaka.

Namun jawapan “positif” sedemikian, tidak dapat menutup persoalan tertentu yang berlegar mengenai peranan “rasmi” Najib dalam menguruskan persiapan Umno di Melaka dan juga sejauh mana kesatuan dalam parti itu.

Tiada ulasan: