"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disko balai: 'Kenapa polis lakukan jenayah tak didakwa?'

 Malaysiakini 

Sebuah kumpulan masyarakat sivil hari ini mempersoalkan mengapa tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadap anggota polis yang ditangkap kerana berpesta di sebuah balai polis di Bangi tiga bulan lalu.

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata, hal itu sangat mengecewakan dan menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana perilaku jenayah yang dilakukan anggota polis tidak didakwa di mahkamah.

"Edict mempersoalkan mengapa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa rasa segan boleh mengeluarkan kenyataan bahawa tiada pertuduhan jenayah diambil ke atas para anggota polis yang didakwa ditahan tiga bulan lalu dalam keadaan positif dadah, memiliki dan mengambil air ketum serta memiliki bahan lucah pornografi.

"Hal ini sangat mengecewakan dan pada masa sama menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana perilaku jenayah yang dilakukan anggota polis tidak didakwa di bawah Kanun Keseksaan sepertimana orang awam diperlakukan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini .

Edict mengulas laporan Malaysiakini pagi ini, di mana pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan ketua polis Selangor dipetik sebagai berkata bahawa anggota polis terbabit tidak akan dihadapkan ke mahkamah sebaliknya hanya akan menghadapi tindakan dispilin.

Dilaporkan pada 20 Julai lalu, sepasukan anggota dari Bukit Aman menyerbu balai polis berkenaan dan menahan empat anggota polis termasuk seorang sub-inspektor serta empat wanita yang didakwa sedang berpesta di premis itu.

Laporan sebelum ini menyatakan kejadian itu berlaku di Kajang kerana balai polis itu terletak di bawah bidang kuasa ibu pejabat polis daerah Kajang.

Pasukan itu turut merampas sebotol arak, lima botol ketum, lampu dan peralatan audio serta gambar lucah yang memaparkan seorang daripada anggota polis bersama seorang wanita yang merupakan antara yang ditahan.

Sub-inspektor itu dilaporkan positif ganja semasa ujian air kencing pertama, namun pihak polis berkata ujian kedua yang dilakukan pakar patologi menunjukkan keputusan negatif.

Menurut NGO itu, kejadian itu menguatkan lagi hujah mengenai pentingnya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya DiRaja (RCI) pada tahun 2004

"Adalah amat jelas bahawa pihak PDRM tidak boleh diharapkan dalam menyiasat para anggota mereka sendiri. 

"IPCMC perlu ditubuhkan dengan kadar segera memandangkan ia adalah satu-satunya suruhanjaya bebas yang mempunyai kuasa yang kuat untuk mengheret para anggota yang jelas melakukan kesalahan untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Tiada ulasan: