"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

8 jam SPRM siasat bekas CEO Astro: Adakah ia amalan yang baik?

HANIPA MAIDIN

Media melaporkan mantan CEO Astro disoal siasat oleh SPRM selama 8 jam. Menurut media, penyiasatan ke atas beliau dimulai jam 9 pagi dan hanya berakhir jam 6 petang.

Seperti yang kita maklum, soal siasat itu dilakukan oleh SPRM hasi daripada pendedahan keterangan mengejutkan di mahkamah di Amerika oleh Tim Leissener, mantan ahli perbankan atau banker Goldman Sachs Group inch.

Media juga melaporkan harta dan akaun mantan CEO Astro itu juga telah dibekukan oleh SPRM. Pembekuan itu dipercayai kerana tuduhan penglibatan dengan wang kotor yang datang dari ‘puaka’ yang dipanggil 1MDB.

8 jam SPRM siasat bekas CEO Astro: Adakah ia amalan yang baik ?

Jujurnya, saya amat teruja dengan tindakan segera dari pihak SPRM.

Lagipun, sama ada kita suka atau tidak atau sama ada kita sedar atau tidak, ‘puaka’ 1MDB telah menghancurkan ekonomi negara ini walaupun ia mungkin mengkayayakan atau memewahkan kehidupan setengah pihak yang lain.

Yang jelas dalam konteks negara ini salah seorang yang telah pun disabitkan bersalah atas jenayah yang ada kaitan dengan ‘puaka’ 1MDB sekarang ini masih bebas bergerak ke sini sana seolah-olah dia seperti seorang yang tidak bersalah.

Dengar khabarnya parti orang itu juga tidak ada sedikit pun rasa malu atau bersalah masih ingin mencadangkan dia sebagai bakal PM!

Betullah kata Nabi SAW dalam hadith 40 Imam Al-Nawawi; jika anda tidak lagi ada rasa malu, lakukan apa pun yang anda ingin lakukan!

Sebenci manapun dan semarah manapun saya ke atas mana-mana pihak yang dikaitkan dengan ‘puaka’ 1MDB, saya bagaimanapun tidak boleh sesuka hati buang begitu prinsip keadilan.

Sebagai orang Islam, agama saya mengajar saya melalui Al-Quran bahawa kebencian yang ada dalam diri saya tidak mengizinkan saya untuk tidak berlaku adil.

Al-Quran mendidik saya bahawa prinsip keadilan itu lebih dekat kepada ketaqwaaan.- lihat surah al-maidah ayat 8. Adakah adil untuk melakukan soal siasat ke atas sesiapapun hingga tempoh 8 jam?

Sebarang soal siasat apa lagi soal siasat yang dilakukan oleh badan penyiasat seperti SPRM oleh polis sudah tentu bersifat mimpi ngeri. Bayangkan jika soal siasat itu berlangsung selama 8 jam?

Adakah kita semua sudah lupa tragedi fatal yang berlaku kepada mendiang Teoh Beng Hock dan arwah Ahmad Sarbini?

Dari sudut undang-undang, saya berpendapat soal siasat yang panjang keesahannya mungkin boleh dipersoalkan . Ia mungkin boleh dihujahkan mempunyai ciri atau elemen penindasan.

Oleh itu, saya tidak begitu pasti adakah status keterangan yang dikutip hasil daripada soal siasat yang panjang dikira bermutu atau tidak. 

Tiada ulasan: