"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ikat, bogelkan pengawal keselamatan sebelum larikan 3 MPV

Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tiga penjenayah memecah masuk sebuah galeri pameran di Jalan Bukit Kecil, di sini, pagi tadi sebelum melarikan tiga kenderaan mewah membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Selain melarikan dua Toyota Alphard dan sebuah Velfire, suspek juga dipercayai mencederakan pengawal keselamatan yang bertugas di galeri pameran itu dalam kejadian pada 3.15 pagi.

Pengawal keselamatan berusia 60-an yang cedera pada anggota badan itu ditemui pemilik kedai pengiklanan, Hanizam Yatim, 52, hanya memakai 'boxer' dalam keadaan tangan dan kaki diikat tali di tepi jalan.

Hanizam berkata, dia tiba di kedainya yang terletak berhadapan galeri pameran berkenaan untuk membuka kedai pada 7.30 pagi.

Katanya, dia melihat mangsa meminta tolong tetapi tiada yang berhenti membantu memandangkan keadaan mangsa yang tidak terurus.

"Mungkin orang tak berani bantu sebab takut termasuk saya sendiri memandangkan tidak mengenali mangsa namun melihat keadaannya itu, saya fikir mangsa mungkin bapa yang nyanyuk dan terlepas daripada rumah.

"Saya mula syak sesuatu apabila dengar jeritannya meminta tolong sebelum saya mengambil gambarnya lalu menghantar kepada seorang pekerja di galeri berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Beberapa minit kemudian, pekerja terbabit mengesahkan mangsa memang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ sebelum saya bergegas menyelamatkan mangsa.

"Mangsa sempat bercerita dia diikat tiga lelaki tidak dikenali yang memecah galeri pameran itu sebelum melarikan tiga kereta," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: