"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad Zarkashi: Ada ‘kem’ dalam Umno, tapi saya bukan ‘penjilat’ Najib

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menolak dakwaan dirinya ialah “penjilat” atau “hulubalang” bekas Perdana Menteri, Najib Razak kerana beliau berhujah berdasarkan fakta.

“Saya melihat kepada hujah dan fakta. Siapa kata saya tidak pernah kritik Najib? Tapi semua orang tahu, saya kritik pemimpin Umno, mereka tidak boleh marah saya sebab itu karakter saya. Jadi. dakwaan yang kata saya ini ‘penjilat’ Najib tidak betul,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Mengulas perkembangan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Puad secara tegas menolak jawatan Exco, jika Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Johor.

“Awal-awal lagi saya dah cakap dengan Hasni (Mohammad), saya tidak mahu jawatan Exco sebab beliau perlukan pasukan lebih mantap.

“Beri peluang kepada orang muda pula, saya dah memegang jawatan dalam Kabinet, Ahli Parlimen, bagi peluang kepada yang lain.”

Dalam pada itu, Puad mengakui ada beberapa “kem” dalam Umno, tetapi ia tidak menunjukkan perpecahan yang menyebabkan masalah kritikal berlaku sehingga memberi persepsi negatif kepada masyarakat.

“Saya tidak mengatakan itu sebagai perpecahan. Umno bila berhadapan musuh, ia bersatu. Soal mereka ada pengikut, itu perkara biasa.

“Siapa kata parti lain tidak ada pengikut? Siapa kata Azmin tidak ada pengikut dalam Bersatu? Siapa kata Hamzah tiada pengikut dalam Bersatu? Dan saya yakin mereka tikam-menikam antara satu sama lain.

“Cuma, Umno sudah masak dengan perkara ini dan pada saya, ini bukan soal perpecahan. Perpecahan berlaku bila tidak mengikut perlembagaan parti sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Puad menegaskan beliau bukan pengikut mana-mana kem.

“Saya adalah orang politik yang tidak mengamalkan pengikut sesuatu kumpulan. Saya bersendirian. Tetapi, saya faham ada setengah daripada mereka mungkin bergantung kepada kekuatan seseorang. Tetapi saya tidak begitu.

“Saya bertanding jawatan Majlis Kerja Tertinggi, saya nombor 10. Saya tak ada jawatan dan tak ikut mana-mana kumpulan.”

Tiada ulasan: