"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulama Pas azab kubur diumum ‘Popular Fitnah Creator of The Year’

HarapanDaily.com

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani mengungguli kategori ‘Pencipta Fitnah Popular Tahun Ini’ susulan kes terbaharu penceramah azab kubur itu berhubung isu aset Tabung Haji (TH).

‘Anugerah’ parodi ‘TokTok Awards Malaysia’ kepada calon yang kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu diumum pereka grafik dan aktivis terkenal, Fahmi Reza.

Menerusi karya sindiran terbaharunya itu, Fahmi menampilkan figura Pas berkenaan mengangkat tangan dengan latar bendera parti.

Tambah menjentik hati apabila logo berserta kapsyen, “Dikuasakan oleh Tabung Haji” turut diselitkan.

Semakan Harapan Daily mendapati perkongsian poster itu di Facebook Fahmi, meraih lebih 9,000 tanda suka dengan sebahagian besarnya memberi emoji ketawa hanya selepas tiga jam dimuatnaik.

Rata-rata reaksi yang membanjiri hantaran itu juga dilihat bersetuju dengan ‘pengiktirafan’ tersebut tanpa kelihatan kelibat penyokong Pas menyatakan rasa tidak puas hati.

“Tibaiyun je paling senang.

“Juara terus!

“Tazkirah azab kubur power.

“Saya yakin Ustaz Dusuki menang di mahkhamah akhirat. Takabur!” demikian antara sindiran warganet.

Terdahulu, Dusuki akhirnya akur bahawa aset Tabung Haji (TH) tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, ia selepas Ahmad Dusuki menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes saman fitnah yang dikemukakan.

“Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak Pas … khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahawa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam,” kata Mujahid.

Bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut memberitahu, Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Ahmad Dusuki membayar kos sebanyak RM5,000 kepadanya.

Sebelum itu, Dusuki mengemukakan saman ke atas Mujahid berhubung ciapan berikut:

“Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”

Dalam kes itu, Dusuki menuntut anak kepada Mursyidul Am Pas yang pertama juga Presiden Pas, Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa berkenaan supaya membuat permohonan maaf serta ganti rugi.

Walau bagaimanapun, kedua-dua Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah yang dikemukakan anak saudara bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.

“Ketika Mahkamah Sesyen menolak saman Dusuki terhadap saya, Mahkamah Sesyen telah mengesahkan bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.

“Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Dusuki kepada saya ialah berjumlah RM23,000 iaitu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan,” kata Mujahid.

Sehubungan itu, Mujahid berharap semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu penjualan aset Tabung Haji kini berakhir.

Tiada ulasan: