"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cerai isteri jika Anwar masih PM: Lafaz taklik tidak boleh ditarik balik

HarapanDaily.com
Cerai isteri jika Anwar masih PM: Lafaz taklik tidak boleh ditarik balik
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, dari sudut hukum, apa-apa pun taklik tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan.

Ketua Hakim Syarie pertama yang dilantik sebagai Menteri Agama itu berkata,  di bawah peruntukan undang-undang jelas menggariskan bahawa mana-mana permohonan untuk mengesahkan taklik perlu difailkan di mahkamah syariah kerana ia diperuntukkan dalam enakmen semua negeri.

“Jadi, dinasihatkan kepada isteri atau suami terbabit untuk memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengesahkan penceraian tersebut.

“Hanya hakim syarie di mana pasangan terbabit bermastautin sahaja yang boleh menentukan sama ada taklik tersebut jatuh ataupun tidak,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perbuatan seorang lelaki pada Februari lalu yang bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sehingga bulan Ogos.

“Wallahi, saya akan ceraikan bini saya dengan lafaz talak tiga jika PMX dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sampai bulan 8 2023,” kata lelaki itu dalam hantaran yang tular.

Sikap yang dilihat hasil taasub pada parti politik Pas diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menggegarkan orang ramai terutamanya masyarakat Islam sama ada sama ada talak jatuh atau sebaliknya selepas berakhirnya bulan Ogos.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, adalah amat tidak bertanggungjawab apabila taklik dikaitkan dengan penceraian dengan talak tiga kepada seorang isteri kerana isteri tidak boleh dijadikan objek atau pertukaran kepada sesuatu taklik.

“Isteri sepatutnya dinaikkan martabat. Islam sendiri telah menaikkan taraf seorang isteri dan wanita,” tambahnya.

Sehubungan itu, Mohd Na’im menasihatkan agar golongan suami perlu bertanggungjawab dengan tidak melibatkan maruah isteri dalam lafaz jika melafazkan taklik.

“Yang kedua, kalau nak mengesahkan sesuatu lafaz sama ada jatuh atau tidak jangan rujuk kepada pihak yang ketiga.

“Yang boleh menentukan sama ada lafaz itu jatuh atau tidak adalah hakim mahkamah syariah di mana pasangan itu bermastautin,” katanya lagi.

Dalam hal berkaitan, lelaki yang mahu menceraikan isterinya talak tiga jika Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos itu difahamkan merupakan seorang pengawal keselamatan.

Dalam satu laporan polis bertarikh 2 Ogos lalu yang tular, tertera alamat rumah individu berkenaan di Taman Murni Perdana, Dungun.

Dia berumur berumur 55 tahun 9 bulan ketika laporan polis itu dibuat di Balai Polis Paka, Dungun dan bekerja di kawasan perindustrian Kerteh, Kemaman.

Pengadu berkenaan menafikan bahawa dia menulis hantaran seperti yang disebarkan di media sosial itu.

“Saya berasa terkejut kerana status yang disebarkan itu tidak pernah saya tulis,” katanya dipetik daripada laporan polis itu.

Tiada ulasan: