"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penunggang maut digilis dalam nahas 5 kenderaan

Bernama

ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal maut digilis manakala rakannya patah tulang pinggang dalam kemalangan melibatkan dua motosikal dan tiga kereta di KM207 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan).

Ketua Polis Alor Gajah, Arshad Abu, berkata kejadian kira-kira 6.15 pagi tadi menyebabkan mangsa, M Kumaresan, 29, yang merupakan juruteknik kilang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan perut.

“Dipercayai mangsa (Kumaresan) yang menunggang motosikal Kawasaki KR150 bersama rakannya berusia 27 tahun yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati berlaku perlanggaran sesama sendiri antara kedua-dua motosikal terbabit yang menyebabkan mangsa jatuh di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan sebuah kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 29 tahun yang berada di lorong tengah terus mengelak ke lorong kanan dan kemudian dilanggar Toyota Alphard.

Katanya, sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger pula melanggar satu daripada motosikal terbabit di lorong kanan dan menyebabkan tayar sebelah kiri hadapan dan belakang kenderaan itu bocor.

Menurut Arshad, pihaknya sedang mengenal pasti kenderaan yang menggilis Kumaresan dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Beliau berkata, rakan Kumaresan pula dirawat di Hospital Melaka dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: