"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kalau ambil juara tinju sekali pun tapi tak dapat undi tak menang juga’

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 
AMANAH menepis tanggapan sesetengah pihak kononnya meletakkan calon yang disifatkan sebagai ‘belum cukup kuat’ di Parlimen Pulai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kuat atau tidak seseorang calon itu bergantung kepada sokongan yang diberikan oleh masyarakat kepada bakal wakil rakyat itu.

Katanya, kekuatan seseorang calon itu dilihat bergantung kepada sokongan yang diberikan rakyat kepada mereka.

“Kalau kita ambil juara tinju sekali pun, tetapi tak ada orang undi dia, tak menang juga. Macam arus yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tempoh hari.

“Tak kira siapa calon yang diletakkan pada hari itu, calon Pas mesti menang. Itulah ‘arus’ yang melanda, ada gelombang di sana.

“Begitu juga kalau calon itu kuat dan hebat macam mana sekali pun. Misalnya dulu kita letak calon Tun Mohamed Salleh Abas bertanding di Lembah Pantai lawan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Tun Salleh kalah.

“Tun Salleh bekas peguam negara dan ketua hakim negara, apa yang tak hebatnya? Beliau kalah sebab ‘arus’ ketika itu tidak kepada pembangkang, ianya lebih kepada pemerintah waktu itu zaman Tun Dr Mahathir,” katanya dalam rancangan bual bicara dalam talian, Skop MG (Malaysia Gazette), malam tadi.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya hos rancangan tentang ‘cakap-cakap’ daripada orang awam bahawa calon yang diletakkan pada PRN kali ini belum cukup kuat untuk diketengahkan.

Tambah Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, persoalan tentang kuat atau tidak seseorang calon itu bukanlah hujah, namun adakah calon itu mendapat sokongan daripada orang ramai atau sebaliknya.

Pada 9 September ini, AMANAH meletakkan Suhaizan Kaiat sebagai calon di Parlimen Pulai yang akan menyaksikan beliau berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan calon Bebas, Samsuddin Mohd Fauzi.

Untuk rekod, Suhaizan merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Naib Pengerusi AMANAH Johor dan Ketua AMANAH Kawasan Pulai.

PRK Parlimen Pulai yang serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Di DUN Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman akan berdepan dengan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.

Tiada ulasan: