"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor: 'Petisyen pilihan raya di 4 DUN dikemuka dalam masa terdekat'

Bernama

Petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan empat kerusi dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan lepas akan dikemukakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

“(Petisyen) itu sedang diperhalusi, kita telah bincang untuk pihak PKR dahulu dan memang kita sudah semak semua perkara. Insya-Allah ia akan dikemukakan dalam masa terdekat, kita sedang menunggu proses keputusan pewartaan yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program FIT Malaysia peringkat Selangor 2023 di Kuala Langat, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan keputusan dan penyata pengundian selepas penjumlahan rasmi undi PRN di enam negeri telah diwartakan pada 29 Ogos lepas.

Sebelum ini, PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan adalah rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan majlis pimpinan negeri dengan pasukan peguam akan membuat penelitian lanjut berhubung kes di semua kerusi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kos pembersihan tapak sampah haram di Kapar, Klang adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah terbabit selaku pemilik harta persendirian.

“Tetapi dalam banyak pengalaman kita, akhirnya kerajaan negeri akan masuk campur dan semestinya kita akan beri kos itu kepada tuan tanah dan kalau tidak ada, kita akan melakukan proses perampasan dan sebagainya sebab guna tanah yang tidak sesuai dengan apa yang telah ditetapkan dalam syarat guna tanah,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan jumlah sampah di tapak berkenaan dianggarkan antara 30,000 hingga 50,000 tan metrik dengan kos pembersihan mungkin melibatkan jutaan ringgit.

-Bernama

Tiada ulasan: