"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan pengasas syarikat I-Serve

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Salah seorang pengasas syarikat I-Serve Payment Gateway Sdn Bhd ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, awal pagi tadi.

Tangkapan itu dibuat bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), 3.30 pagi tadi.

"Hasil soal siasat awal mendapati suspek mula berkenalan dan berkawan dengan pengasas sebuah syarikat tambang murah pada 1995 serta mengakui menubuhkan syarikat I-Serve Payment Gateway Sdn Bhd pada 2019.

"Suspek juga mengaku berperanan sebagai pengarah di beberapa anak syarikat di bawah I-Serve Payment Gateway Sdn Bhd," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dipandu arah oleh lelaki berkenaan, pihak polis menahan seorang suspek wanita berusia 57 tahun dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Sentul di sini, jam 4.15 pagi tadi.

Ramli berkata, pasukan serbuan turut merampas telefon bimbit dan pasport kedua-dua suspek serta kereta jenis Mercedes milik suspek kedua.

"Soal siasat suspek kedua mendapati dia pekerja swasta di sebuah syarikat insuran dan tidak mengaku pembabitannya dalam kes yang sedang disiasat.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini, pada pagi ini untuk permohonan reman," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, siasatan mendapati syarikat pelaburan i-Serve beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Susulan itu, polis dilapor sudah menerima 67 laporan berkaitan pelaburan i-Serve membabitkan jumlah kerugian lebih RM81.6 juta.

Sebelum itu seorang lelaki bergelar 'Datuk' ditahan bersama isteri dan anaknya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: