"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu akan hilang sokongan selagi bersama PAS, kata Adun

Elill Easwaran

Adun Bersatu Abdul Rashid Asari berkata ramai orang Melayu termasuk ahli PAS tidak suka kecenderungan pendirian ekstrem diambil oleh pemimpin tertinggi parti Islam itu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM: Seorang Adun Bersatu, yang kini menyokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, percaya sokongan terhadap partinya akan terus berkurangan jika kekal sebagai sekutu PAS.

Abdul Rashid Asari berkata, parti yang dilabelkan sebagai ‘terlalu ekstrem’ itu boleh dipersalahkan atas kehilangan sokongan Bersatu.

Beliau berkata, ketika PAS berkempen semasa pilihan raya, naratif dikemukakan ialah ‘haram’ untuk tidak keluar mengundi.

“Ramai yang tidak suka (ucapan seperti itu). Ia sangat ekstrem. Orang Melayu tidak suka, malah ada ahli PAS yang membencinya,” katanya kepada FMT.

Sambil menegaskan tidak semua ahli PAS bersikap ekstrem, Adun Selat Klang itu berkata segelintir pemimpin yang berpegang kepada pandangan sebegitu menidakkan kerja keras jentera PAS untuk menarik pengundi.

Rashid, yang berkongsi pentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kempen bagi PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, juga berkata, secara peribadinya, beliau tidak mempercayai PAS.

Beliau berkata, di sebalik semua dakwahnya mengenai agama, parti itu tidak menghormati walaupun ia perjanjian mudah.

Rashid mendakwa, ketika PN membincangkan peruntukan kerusi untuk PRU15, terdapat perjanjian bertulis bahawa Bersatu akan bertanding di Kapar dan PAS membuat tuntutan kerusi itu pada saat-saat akhir.

Dr Halimah Ali daripada PAS akhirnya memenangi kerusi Parlimen itu dalam pertandingan tujuh penjuru.

“Mereka kata berdosa jika anda tidak menepati janji, tetapi saya rasa pemimpin PAS merasakan sebaliknya,” kata Rashid.

Tiada ulasan: