"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berkait: Rasuah di Perlis: SPRM cadangkan seorang suspek didakwa

Hariz Mohd

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyelesaikan siasatan mereka anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang terkait dengan isu rasuah.

Malaysiakini difahamkan pegawai SPRM yang berkaitan sudah menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara beberapa hari lalu.

Menurut sumber, selain mengemukakan dapatan hasil siasatan, SPRM juga mencadangkan agar sekurang-kurangnya seorang suspek dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan jenayah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi pula mengesahkan bahawa agensi antirasuah itu sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, Azam enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada suspek yang dicadangkan untuk didakwa itu ialah anak Mohd Shukri.

“Sekarang kita tunggu keputusan timbalan pendakwa raya pada minggu depan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bulan lalu, SPRM dilaporkan menahan reman anak menteri besar terbabit dan lima yang lain bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan bernilai RM600,000 sejak 2022.

Bagaimanapun penelitian mendapati projek yang didakwa itu tidak dilaksanakan.

Ia melibatkan projek kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan dan perkhidmatan dari 2022 hingga kini.

SPRM juga menahan Mohd Shukri ketika dia hadir di ibu pejabat agensi antirasuah berkenaan di Putrajaya pada 30 Apr bagi memberi keterangan kepada penyiasat.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis kemudian dibebaskan pada hari yang sama selepas penyiasat selesai merakam kenyataannya.

Badan pencegah rasuah itu dilaporkan sedang menyiasat Mohd Shukri atas dakwaan salah guna kuasa.

Malaysiakini difahamkan SPRM mungkin akan memanggil Mohd Shukri semula untuk disoal siasat tidak lama lagi.

Tiada ulasan: