"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Membuat isyarat 'peace' setelah melanggar motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter

Atlet kayak parah dirempuh kereta, diseret 600 meter

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
KEMALANGAN jalan raya di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) membabitkan atlet kayak kebangsaan. FOTO tular
KEMALANGAN jalan raya di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) membabitkan atlet kayak kebangsaan. FOTO tular
Johor Bahru: Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan mangsa parah selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dan diseret sejauh 600 meter.

Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang menerusi suatu kenyataan berkata, Nurul Masyitah, 22, merupakan penuntut jurusan Kejuteraan Mekanikal mengalami kecederaan serius.

Menurut saksi berserta rakaman 'dashcam', kereta dipandu dalam keadaan melulu sebelum merempuh Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter.

"Mangsa sering berulang alik dari Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit.

"Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan," katanya hari ini.

Siti Nurul Masyitah merupakan Atlet Kayak Dragon Boat Malaysia dan memang pingat gangsa pada Sukan SEA 2023.

Mangsa kini menerima rawatan di hospital di Iskandar Puteri di sini.

Berdasarkan hantaran yang tular dalam media sosial, dapat dilihat beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat 'peace'.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

"Kenyataan media berkaitan kes ini akan dikeluarkan,"katanya ketika dihubungi.

-----

Pemandu langgar atlet kayak didapati positif alkohol

Johor Bahru: Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi sebelum dirempuh kereta dipandu suspek dari arah belakang pada 4.30 petang.

Beliau berkata, kereta suspek dari arah belakang mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa.

Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa kini dirawat di hospital di Iskandar Puteri.

"Polis sudah menahan pemandu lelaki itu.

"Ujian saringan pernafasan ke atas pemandu yang berusia 30-an mendapatinya positif alkohol manakala ujian air kencing pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

"Siasatan mendapati suspek memiliki tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Raub berkata, lelaki berkenaan ditahan selama 24 jam untuk siasatan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.

"Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014 6977122," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tiada ulasan: