"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah kekal sabitan, hukuman guru renang merogol, amang seksual anak tiri

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini, mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 35 tahun dan 20 sebatan terhadap guru renang atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas menolak rayuan perayu (tertuduh) untuk mengetepikan untuk sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh dua hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Pada 15 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Dharmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail menjatuhkan penjara 35 tahun dan 20 sebatan terhadap perayu.

Anselm antara lain berkata, selepas meneliti semua pertuduhan dan fakta kes menunjukkan perayu melakukan perbuatan seksual terhadap anak tirinya bermula 2020 ketika mangsa berusia 12 tahun 10 bulan.

"Perbuatan terkutuk tertuduh berlanjutan hingga mangsa berusia 16 tahun. Walaupun bapa tiri, tanggungjawabnya terhadap mangsa adalah sama seperti bapa kandung untuk memberikan kasih sayang dan melindunginya," katanya.

Dalam prosiding rayuan itu, perayu diwakili peguam KA Ramu manakala Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari mewakili Responden.

Menurut Anslem, pihaknya turut meneliti keterangan impak mangsa dan penghakiman oleh kedua-dua Hakim Mahkamah Sesyen serta berpendapat hukuman penjara dan sebatan rotan diputuskan adalah setimpal dengan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa dan keluarganya.

Katanya, tertuduh sudah membinasakan masa depan seorang remaja perempuan dan mahkamah tidak nampak alasan bermerit untuk mengganggu gugat keputusan terhadap sabitan dan hukuman Hakim Mahkamah Sesyen.

Tiada ulasan: