"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

50 tan peluru, kelongsong ditemui di kilang haram proses sisa elektronik

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi (kiri) bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Bahagian Bahan Berbahaya), Azlan Ahmad (dua kiri), menunjukkan kelongsong dan peluru yang ditemui untuk diproses menjadi tembaga dalam satu operasi di sebuah kilang pelupusan barang buangan haram di Telok Panglima Garang. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
KUALA LANGAT: Serbuan terhadap sebuah kilang memproses bahan sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram dekat Telok Panglima Garang hari ini, menemukan kira-kira 50 tan anak peluru, kelongsong serta peluru hidup yang disyaki diseludup masuk ke negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata premis di Teluk Panglima Garang itu antara satu daripada lima premis memproses e-waste yang diserbu di Selangor.

"Serbuan hasil daripada maklumat hasil risikan yang mendapati kilang yang sudah beroperasi lebih kurang dua tahun ini melupuskan e-waste secara haram.

"Apa yang paling menarik adalah kita menemui sejumlah anak peluru, kelongsong peluru dan peluru hidup yang cuba dilupuskan dalam kilang ini yang kita percayai bukan daripada Malaysia. Ini kes kali pertama kita temui dan kita sedang siasat asalnya daripada mana.
Kelongsong dan peluru yang ditemui untuk diproses menjadi tembaga dalam satu operasi di sebuah kilang pelupusan barang buangan haram di Telok Panglima Garang. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Kelongsong dan peluru yang ditemui untuk diproses menjadi tembaga dalam satu operasi di sebuah kilang pelupusan barang buangan haram di Telok Panglima Garang. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
"Kita menemui 50 beg berisi bahan berkenaan yang mana setiap beg seberat satu tan (1,000kg) dengan berat keseluruhan dianggarkan 50 tan," katanya dalam sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah PGA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shaiful Azmi @ Hussein Omar; Komander Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari dan dan Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Azlan Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohamad Suzrin berkata siasatan awal mendapati anak peluru serta kelongsong akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah serta tembaga.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sama ada jongkong timah dan tembaga terbabit mungkin akan diproses kembali atau dihantar kepada pihak ketiga.

Selain itu, katanya semakan juga mendapati premis kilang itu dipercayai beroperasi tidak berlesen dan menggajikan pekerja asing sebagai pekerja.

"Dalam serbuan itu, kita turut memeriksa 70 pekerja dan semakan sedang dijalankan sama ada mereka mempunyai dokumen atau sebaliknya, dengan lima pekerja ditahan kerana tiada dokumen perjalanan sah," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Suzrin memaklumkan, Op Hazard itu dilaksanakan serentak terhadap 47 lokasi di seluruh negara kecuali Perlis dan Kuala Lumpur.

"Operasi ini membabitkan seramai 765 pegawai dan anggota PGA dan PGU di seluruh negara serta 51 JAS.

"Kes disiasat mengikut Undang-undang Kecil (UKK) 3 dan UKK 38, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007 serta Kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 55 (b) Akta Imigresen , Seksyen 18, 19, 25, 34a dan 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya mendapati kilang terbabit tidak mempunyai lesen melerai dan melebur barang e-waste serta peluru.

"Kita kesan ada aktiviti meleburkan peluru, selain premis membuat pembakaran terbuka serta kemungkinan pelepasan gas berbahaya.

"Peluru disenaraikan dalam senarai bahan letupan dan ini pertama kali dikesan. Pelupusan peluru perlu dilakukan di premis yang dilesenkan JAS. Kita memandang serius perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan BH mendapati premis kilang turut dipenuhi ratusan timbunan guni barangan e-waste, relung pembakaran selain premis dilengkapi kediaman pekerja yang menggunakan kontena selain beberapa dapur tempat peleburan.

Selain itu, pelbagai timbunan bertan guni berisi pelbagai sisa e-waste juga dipercayai dalam tindakan untuk dilerai oleh pekerja asing.

Tiada ulasan: