FMT Reporters
PETALING JAYA: PAS dikatakan ‘tidak terlalu teruja’ menyertai naratif dimainkan sekutunya, Bersatu yang kononnya PRU mengejut bakal diadakan hujung tahun ini, menurut sumber parti.
Sumber PAS itu juga memberitahu, masih belum ada penyelarasan gerak kerja antara dua parti utama Perikatan Nasional (PN) tersebut, yang boleh mengaitkan komponen itu sedia menuju ke medan PRU.
“Ketika ini PAS dan Bersatu seolah-olah bergerak sendiri, seorang ke timur dan seorang ke barat.
“PAS tidak terlalu beria-ia (PRU mengejut hujung tahun ini), segelintir dalam Bersatu pula dilihat bersungguh-sungguh…tetapi jentera PAS tetap sedia,” katanya yang turut mendakwa belum ada pertemuan rasmi di peringkat tertinggi kedua-dua parti, termasuk rundingan mengenai calon perdana menteri PN.
“Setahu saya pertemuan dikatakan (Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali) antara Hadi Awang (presiden PAS) dan Muhyiddin Yassin (pengerusi PN) berlaku di Parlimen tanpa ada satu keputusan konkrit.”
FMT telah menghubungi Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berhubung perkara itu.
Minggu lalu, Azmin berkata Muhyiddin dalam mesyuarat pimpinan Bersatu mengarahkan jentera parti digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini walaupun penggal pentadbiran kerajaan kini hanya tamat pada 2027.
Beliau yang juga setiausaha Agung PN berkata, mesyuarat itu turut membincangkan ‘perkembangan amat meyakinkan’ hasil pertemuan Hadi dan Muhyiddin pada 5 Feb lalu.
Pada 26 Feb tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada pihak cuba mengganggu-gugat kestabilan politik negara, selain meminta pembentukan kerajaan perpaduan dihormati.
Sumber Bersatu pula memberitahu FMT, jentera parti itu sememangnya sentiasa berdepan sebarang situasi luar jangka namun terdapat segelintir pemimpin tidak yakin PRU mengejut akan diadakan hujung tahun ini.
“Susah nak buat PRU melainkan Parlimen buat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuktikan beliau tak cukup sokongan.
“Kalau (Anwar) tak cukup sokongan baru boleh buat PRU mengejut atau peralihan kepimpinan yang mana perlu melalui budi bicara Agong,” katanya juga memberitahu belum ada perbincangan khusus membabitkan semua pimpinan berkait perkara itu.
“Mesyuarat baru-baru ini tak semua pimpinan ada, contohnya timbalan presiden Bersatu tak hadir sebab masalah kesihatan. Untuk putuskan keputusan dasar dan besar, perlunya kehadiran pimpinan tertinggi setiap parti dalam PN.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan