Malaysiakini
PAS dikritik kerana menentang cadangan seorang ahli parlimen agar kerajaan melantik menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal bukan Islam.
Ahli Parlimen PKR, Sim Tze Tzin menyifatkan PAS sebagai hipokrit, membangkitkan pada tahun 2009, kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas Negeri bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme.
“Ada exco yang memegang portfolio tersebut.
"Parti PAS menganggotai kerajaan Selangor dari 2008 hingga 2018 selama 10 tahun. Portfolio agama bukan Islam tidak pernah menjadi isu.
"Agama Islam terus dimartabatkan di negeri Selangor. Hal ehwal agama bukan Islam diberi hak seperti termaktub dalam perlembagaan negeri.
"Kenapa sekarang menjadi isu? PAS buat boleh, orang lain buat tak boleh. Adakah ini satu hipokrasi,” soalnya di platform X hari ini.
Untuk rekod, PAS ketika itu merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.
Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui (gambar bawah) mencadangkan supaya portfolio hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri dibahagikan kepada dua, iaitu Islam dan agama-agama lain.
Chow menjelaskan beberapa kerajaan negeri telah melantik wakil rakyat untuk bertanggungjawab ke atas hal ehwal bukan Islam.
“Kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan telah lama mempunyai exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal bukan Islam.
“Jadi, perkara ini boleh dicontohi di peringkat Persekutuan untuk memastikan hak semua rakyat terpelihara.
“Dengan kerajaan melantik seorang menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam dan seorang lagi bagi hal ehwal bukan Islam, ia bukan sahaja memastikan pengurusan lebih adil dalam isu berkaitan agama, tetapi juga mengukuhkan perpaduan nasional serta mengelakkan mana-mana kumpulan daripada dipinggirkan,” katanya.
‘Langgar perlembagaan’
Bagaimanapun, cadangan Chow mendapat kritikan beberapa pihak, termasuk Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya (gambar bawah) yang menyifatkannya sebagai cubaan menyamakan Islam dengan agama lain di Malaysia.
Persatuan Peguam Muslim Malaysia turut membantah cadangan tersebut, mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan.
Walaupun Sim secara khusus menyasarkan PAS dalam kritikannya, Umno tidak ketinggalan membantah cadangan ini.
Umno hari ini meminta wakil rakyat bukan Islam menghormati Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara tiga mengenai kedudukan Islam dan raja-raja Melayu.
Oleh itu, Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio menteri khusus untuk mentadbir hal ehwal agama bukan Islam.
"Tiada keperluan menteri hal ehwal agama lain. Menteri perpaduan yang patut jalankan kerja," katanya pada hantaran di Facebook.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan