Lynelle Tham dan Rex Tan
PETALING JAYA: Seruan Bersatu supaya ahlinya bersedia bagi menghadapi PRU mengejut hujung tahun ini lebih didorong oleh kedudukan parti itu yang semakin lemah berbanding kemungkinan pilihan raya awal, kata penganalisis politik.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, kepimpinan Bersatu sedar pengaruh mereka semakin pudar terutama apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengukuhkan kuasanya dan PAS pula mengukuhkan kedudukannya sendiri.
“Semakin lemah sesuatu parti, semakin awal kamu perlu bersiap sedia untuk menghadapi PRU…kerana jika kamu sebuah parti yang lemah, lebih awal kamu membuat persiapan, lebih banyak masa yang kamu ada untuk memperbaiki semua kelemahan dalam jentera pilihan raya,” katanya kepada FMT.
Bersatu berdepan pergolakan dalaman, dengan pemilihan parti tahun lalu dilihat sebagai pertembungan proksi antara Timbalan Presiden Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali.
Parti itu juga dilihat tidak sepakat dengan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS berhubung kepimpinan gabungan serta calon perdana menteri.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengarahkan jentera parti digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini.
Beliau seolah-olah memberi gambaran kerajaan perpaduan pimpinan Anwar tidak akan bertahan sehingga habis penggal.
Bagaimanapun, Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Southeast Asia berkata seruan Muhyiddin lebih kepada mencipta keraguan dan mengganggu kestabilan kerajaan.
“Dengan mencadangkan kemungkinan PRU awal, Bersatu cuba memberi gambaran bahawa Anwar lemah dan kurang mendapat sokongan politik,” katanya.
Tetapi, jika PRU diadakan, Asrul berkata Bersatu dan PAS mungkin menjalankan kempen secara berasingan bawah PN susulan ketegangan antara kedua-dua parti.
“Pendekatan ini boleh memberi kesan negatif pada prestasi pilihan raya mereka, kerana penyokong PAS mungkin tidak cenderung menyokong calon Bersatu, begitu juga sebaliknya,” katanya.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PRU mengejut akan mengganggu tumpuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sedang bersiap sedia menghadapi PRN tidak lama lagi.
“Bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), cengkaman kukuh mereka terhadap politik Sarawak menjadikan tidak penting bila dan berapa kerap PRU diadakan, kerana mereka kemungkinan menyapu sebahagian besar, jika tidak semua kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
Jayum Jawan dari Universiti Malaysia Sarawak pula berkata, GPS mahupun GRS bukan faktor utama dalam menentukan pembentukan kerajaan persekutuan.
“GRS (enam kerusi) dan GPS (23 kerusi) hanya membantu memberikan kerajaan semasa majoriti dua pertiga, bukan majoriti mudah yang diperlukan,” katanya, sambil menambah walaupun digabungkan 81 kerusi Pakatan Harapan (PH), jumlah itu masih tidak mencapai 112 untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan