FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang bomoh muda mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Kemaman atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun bulan lalu.
Harian Metro melaporkan Muhammad Adiq Alqbab Zanuddin, 20, menangis di kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di depan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) AKKSTKK yang juga boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan disebat kerana melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa.
Tiga kesalahan itu dilakukan pada 1 pagi 31 Jan lalu di sebuah rumah di Bandar Seri Bandi, Chukai.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Ahnaf Zaimi yang memohon hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh selepas laporan sosial diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman serta laporan sosial dan fakta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan