Malaysiakini
Tindakan Pemuda PAS Pulau Pinang melabel rakan sendiri sebagai 'pro-DAP' menunjukkan pemikiran mereka yang sudah tersasar daripada ajaran Islam, kata Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim.
Khairol menyifatkan PAS kini seolah-olah menjadikan fitnah sebagai teras perjuangan sehingga sanggup menuduh ahli sendiri sebagai pengkhianat dalam usaha mempertahankan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
“Tindakan melabel rakan sendiri yang menentang fitnah sebagai 'pro-DAP' ini jelas menunjukkan pemikiran yang sudah tersasar daripada ajaran Islam.
“PAS kini seolah-olah menjadikan fitnah sebagai teras perjuangan sehingga sanggup menuduh ahli sendiri yang memilih kebenaran sebagai pengkhianat.
“Rakyat perlu sedar bahawa fahaman sebegini bukan sahaja merosakkan parti tersebut, tetapi boleh menjadi ancaman kepada masa depan politik Islam di negara ini,” kataanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhamad Hafis mempertahankan Razman daripada serangan pelbagai pihak, termasuk mereka yang disifatkannya sebagai 'kumpulan pro-DAP dalam PAS'.
Razman sebelum ini menerima kritikan apabila mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merupakan 'anak YTL' dan mengaitkan pemimpin DAP itu dengan keluarga konglomerat Yeoh Tiong Lay.
Pada 27 Jan lalu, Razman membuat permohonan maaf, namun Yeoh menegaskan akan tetap mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Muhamad Hafis dalam kenyataannya hari ini berkata, serangan bertubi-tubi terhadap Razman - termasuk dari dalam parti itu sendiri - adalah susulan sikapnya yang begitu agresif menyerang DAP.
Dia turut mengimbas pertembungan antara kumpulan proulama dan mereka yang dahulunya digelar pro-DAP dalam PAS.
Untuk rekod, Amanah merupakan parti serpihan PAS yang ditubuhkan pada Sept 2015.
Perpecahan dalam PAS mula ketara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) apabila parti itu terbahagi kepada dua kelompok utama iaitu mereka yang menyokong kepimpinan ulama dan golongan yang dianggap progresif.
Pada pemilihan Muktamar PAS 2015, hampir kesemua pemimpin progresif yang pro-Pakatan Rakyat ketika itu tewas kepada kelompok pro-ulama yang menyokong Presiden, Abdul Hadi Awang.
Kekalahan ini menandakan penguasaan penuh golongan ulama, menyebabkan golongan progresif keluar daripada PAS dan menubuhkan parti baru yang dinamakan Parti Amanah Negara (Amanah).
Mengulas lanjut, Khairol berkata pihaknya memandang serius perkembangan terbaru dalam apabila pihak yang menentang budaya fitnah dalam parti itu dianggap sebagai pengkhianat.
“Fahaman sebegini amat berbahaya kerana ia seolah-olah menghalalkan fitnah sebagai satu amalan politik yang perlu dipertahankan.
“Lebih membimbangkan apabila ahli-ahli yang cuba mempertahankan nilai-nilai Islam dan kebenaran pula dianggap sebagai musuh dan pengkhianat parti.
“Apabila menentang fitnah dianggap pengkhianatan, maka ke manakah hala tuju perjuangan Islam yang sebenar?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan