"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inilah yang terjadi bila buka negara ini seluas-luasnya kepada warga asing

Imigresen bongkar sindiket kiriman wang haram, tahan 10 warga asing

Bernama

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata dalam operasi khas itu pihaknya menahan 10 warga asing dan merampas wang serta barang kemas bernilai RM3.6 juta.
Pegawai Jabatan Imigresen bersama Bank Negara dan CyberSecurity memeriksa wang tunai yang dirampas dari premis yang menjalankan perniagaan kiriman wang tanpa lesen dalam operasi khas di sekitar Klang, Selangor dan Brickfield, Kuala Lumpur. (Gambar JIM)
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen merampas RM3.6 juta dan menahan 10 warga asing dalam operasi khas di sekitar Klang, Selangor dan Brickfield, Kuala Lumpur pada Khamis lepas, kata Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban.

Zakaria berkata operasi bersama Bank Negara (BNM) dan CyberSecurity ke atas beberapa premis dipercayai menjalankan sindiket perniagaan pengiriman wang haram itu, turut berjaya merampas mata wang asing 1,400 Euro, 10,000 Yuan dan barangan perhiasan dipercayai emas.

Beliau berkata semakan awal mendapati tiga lelaki warga India melakukan kesalahan salah guna pas, dua lelaki warga India tinggal lebih masa, manakala tiga lelaki warga India dan dua perempuan warga Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Semua warga asing berusia antara 21 dan 57 tahun ini dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata premis berkenaan menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan menyasarkan warga Indonesia dan India sebagai pelanggan.

“Sindiket ini menjalankan kegiatan di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai beroperasi selama setahun itu menerima antara RM15,000 dan RM60,000 sehari dan boleh mencecah sehingga RM110,000 pada musim perayaan.

“Wang ini akan dihantar ke luar negara terutama Indonesia dan India,” katanya.

Zakaria berkata pihaknya percaya sindiket berkenaan menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan perniagaan wang dan pengubahan wang haram.

Tiada ulasan: