Malaysiakini
Seorang aktivis pelajar yang disoal siasat berhubung perhimpunan solidariti Palestin dua bulan lalu membuat laporan terhadap seorang anggota polis berpakaian preman yang dituduh melakukan gangguan seksual.
Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi berkongsi petikan laporan polis oleh pelajar itu yang semalam dipanggil ke balai polis daerah Wangsa Maju.
“Salinan laporan polis. Masing-masing boleh nilaikan sendiri. Kita gesa satu tindakan segera diambil. Jangan biarkan hal begini berulang lagi.
"Jangan ingat mereka (polis) boleh buat sesuka hati,” kata Amir dalam siri catatan di X.
Menurut laporan pelajar itu, dia tiba di balai pada pukul 2.30 petang dan "diintimidasi" oleh lima atau enam anggota polis yang menyoalnya di bilik siasatan tanpa kehadiran peguamnya.
“Saya minta untuk pergi ke tandas, dan seorang pegawai penyiasat lelaki berpakaian preman mengiring saya ke tandas. Polis itu telah masuk ke tandas yang sempit, dan menyuruh saya masuk bersamanya.
"Hanya saya dan polis lelaki tersebut di dalam tandas. Tiada orang lain pada ketika itu. Beliau kemudian sebut bahawa beliau ingin mengajarkan saya cara untuk mengunci pintu tandas, sedangkan tandas itu hanya menggunakan selak biasa,” katanya yang menamakan pegawai tertuduh dalam laporannya.
“Pegawai wanita ketika itu juga ada tapi yang mengiring saya adalah pegawai lelaki tersebut. Selepas itu beliau keluar dari bilik tandas.
"Saya berasa tidak selesa dan takut ketika berada di dalam tandas itu. Saya merasakan keselamatan saya tergugat sebagai seorang perempuan," katanya.
Dia menambah dia tidak dibenarkan meninggalkan balai polis selama lebih daripada sejam selepas dia selesai disoal siasat, kerana dikatakan ada perhimpunan solidariti yang diadakan di luar.
Semalam, Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) mengecam polis kerana menahan dan merekodkan keterangan lapan individu termasuk lima pelajar yang mengadakan perhimpunan solidariti di luar ibu pejabat polis daerah Wangsa Maju.
Haram menegaskan bahawa tindakan polis itu merupakan pelanggaran berat terhadap prinsip kebebasan berhimpun dan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan