"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua benda nak dipolitikkan: Jangan itu macam lah YB

Mohsin Abdullah

Kali ini giliran saya pula untuk rasa tidak puas hati.

Pada artikel semalam, saya kata peguam Najib Razak punya sebab dan alasan sendiri apabila mendakwa penolakan permohonan tahanan rumah oleh mahkamah konon telah mengurangkan kuasa raja-raja. Ini saya kata kerana peguam secara am akan guna pelbagai cara dan taktik untuk menang kes.

Lantas, kata saya semalam, Umno janganlah terbawa-bawa dengan tuduhan seperti itu. Sepatutnya saya sambung dengan berkata orang luar pun jangan terbawa-bawa. Tetapi ada politikus memilih untuk masuk campur dan guna aspek raja-raja. Beliau ialah Saifuddin Abdullah, orang Bersatu dan Ahli Parlimen Indera Mahkota — orang Pahang lah katakan.

Menurut Malaysiakini, Saifuddin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin berhubung isu titah adendum.

Saya tiada masalah dengan tidak puas hati atau puas hati kerana itu hak masing-masing, lagi pun secara am, apabila sang politikus bercakap mereka juga ada sebab dan alasan sendiri, seperti peguam. Seperti peguam, politikus juga guna pelbagai cara dan taktik untuk ‘menang’ — in their case mereka mahu score political points untuk dapat political mileage.

Saifuddin mendakwa titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, “telah diperlakukan secara tidak wajar”. Kata beliau menerusi kenyataan media, “sebagai rakyat Pahang saya berasa terhina kerana titah Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) diperlakukan sedemikian”.

Agak panjang beliau berhujah. Kesimpulannya Saifuddin mendakwa semasa pengampunan Anwar Ibrahim dahulu mahkamah persekutuan memutuskan titah pengampunan Agong adalah non-justiciable. Tidak boleh dipersoalkan di mahkamah. Tetapi dakwa beliau dalam kes Najib, hakim menyatakan Agong terikat dengan keputusan lembaga pengampunan, “di mana di sini boleh difahami Seri Paduka tidak lagi boleh menjalankan kuasa prerogatif baginda”.

Menurut Saifuddin, tafsiran tersebut memberi implikasi besar terhadap kedudukan dan prerogatif raja berperlembagaan (bunyi macam seirama dengan peguam Najib) sehingga “menimbulkan rasa tersinggung di kalangan rakyat”.

Kali ini giliran saya pula untuk rasa tidak puas hati. Pertama, kerana kes Anwar dengan Najib berbeza keadaan. Kedua, Saifuddin telah atau cuba mengheret raja-raja ke dalam kancah polemik. Ketiga, beliau melantik dirinya sebagai wakil atau jurucakap seluruh rakyat apabila mendakwa rakyat rasa tersinggung (adakah setiap rakyat?).

He should have just stuck to his earlier statement — “sebagai rakyat Pahang saya berasa terhina” yakni bercakap bagi pihak dirinya sendiri.

Semalam, yakni 23 Disember, alasan penghakiman Hakim Alice Loke dalam menolak permohonan Najib untuk dikenakan tahanan rumah dikeluarkan. Hakim memutuskan bahawa titah Agong ketika itu yang memberikan tahanan rumah kepada Najib tidak sah kerana tidak mematuhi keperluan perlembagaan bahawa Agong harus berunding mengenai keputusan pengampunan dengan Lembaga Pengampunan.

Pada pemahaman saya, Agong tidak terjejas. Kuasa dan prerogatif baginda tetap ada dalam sidang lembaga pengampunan.

Najib mendapati hukuman penjara dan denda yang dikenakan ke atasnya dikurangkan kerana ia dibentangkan dalam mesyuarat. Titah adendum mengenai tahanan rumah dibentangkan di luar mesyuarat, lantas tiada perundingan. Soal Agong tidak boleh guna kuasa prerogatif dan sebagainya tidak timbul.

Beralih kepada satu hantaran di media sosial oleh bekas timbalan pendakwa raya, Liyana Marzuki, tiga hari lalu. Beliau mengingatkan kita bahawa Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, bukan raja mutlak. Justeru, kuasa Agong tertakluk pada Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang. Malah perkara ini ditekankan oleh Sultan Abdullah sendiri.

Menurut Liyana, “Ini yang Al-Sultan Abdullah cuba sampaikan Februari lalu. Bagi mereka yang nak faham isu. Baginda minta kita hormati undang-undang.”

Pada hemat saya, titah Sultan Pahang yang bekas pendakwa raya huraikan itu mesti dihayati dan dituruti oleh semua. Ertinya setiap rakyat, apa lagi mereka yang mengaku rakyat Pahang.

Tiada ulasan: