Farhana Yaacob

Tangkap layar video tular
MELAKA: Lebih 1,000 kakitangan syarikat pembersihan yang sedang menghadiri majlis makan malam berdepan detik cemas apabila dewan hotel di Bukit Katil tiba-tiba terbakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, kebakaran dipercayai berlaku sejurus selepas pengurus besar syarikat itu selesai menyampaikan ucapan sebelum orang ramai bertempiaran keluar menyelamatkan diri.
Difahamkan, majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan pekerja dan semua mereka berjaya keluar dari dewan sebelum api merebak.
Seorang individu dipercayai cedera ringan akibat bahang panas.

Foto tular
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.14 malam.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat.
“Semua orang awam yang berada di dalam dewan berjaya keluar dan operasi memadam kebakaran sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan