"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Krisis politik Perlis: Wujud dalang, perlukan 'lampu ajaib' pastikan situasi tidak berjangkit

Faida Rahim

Dr Mohamad Tawfik berkata, kegagalan menghargai mandat pengundi sehingga tercetus krisis politik ini amat mengejutkan. - FB Mohammad Tawfik Yaakub

KUALA LUMPUR: Situasi keadaan politik di Perlis jelas dipelopori oleh pihak tertentu yang menjadi dalang, susulan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Shahidan Kasim yang dilihat gagal menyelesaikan masalah dalaman.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik Universiti Malaya Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, kegagalan menghargai mandat pengundi sehingga tercetus krisis politik ini amat mengejutkan kerana Perlis mencatat sejarah apabila Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih pentadbiran negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Bagi saya, sudah jelas dan terang apa yang berlaku di Perlis itu dipelopori atau ada 'Pak Pacak' atau mereka yang menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku di Perlis itu sendiri kerana bagi saya, pengerusi Perikatan Nasional Perlis, Datuk Shahidan Kasim gagal menyelesaikan masalah dalaman apa yang berlaku di negari Perlis hari ini itu.

"Mereka juga gagal untuk menghargai sokongan ataupun mandat yang diberikan oleh pengundi dan rakyat Perlis sehingga inilah kali pertama dalam sejarah politik negeri Perlis, PN atau pembangkang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri Perlis.

"Kita tidak boleh nafikan bahawa peranan Syahidan itu sangat besar dalam perkembangan politik Perlis Sehingga tumbang sebuah negeri kepada Perbangkang dalam PRU15 yang sebelum ini," katanya.

Dalam masa sama, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) juga katanya perlu menilai semula kedudukannya dalam PN susulan kemelut politik yang berlaku di Perlis.

Beliau berkata masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin mencengkam sehingga menyukarkan gabungan itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Pas perlu pertimbangkan bagaimana hubungan mereka dalam Perikatan Nasional kerana masalah dalaman Bersatu itu sendiri menyukarkan mereka untuk berhadapan PN untuk berhadapan dengan PRU16 akan datang," katanya.

Tambah beliau lagi, keadaan politik semasa di negeri itu memerlukan 'lampu ajaib 'untuk memastikan konflik tidak menjangkiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain atau mencetuskan ketidakstabilan politik di peringkat nasional.

"Bagi saya kena ada satu 'lampu ajaib' untuk memastikan bahawa kemelut politik di Perlis dia tidak jangkit kepada ADUN negeri yang lain ataupun negeri-negeri yang lain yang boleh menyebabkan satu keadaan kemelut politik sehingga mengheret rakyat.

"Bagi saya kalau nak harapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ataupun pemimpin Bersatu, mereka sendiri sedang bertelagah, berebut jawatan dalam Bersatu jadi nak harapkan siapa?," soalnya.

Menurut beliau, ini kerana setiap kali berlaku pertelingkahan politik, rakyat menjadi mangsa keadaan, justeru kematangan politik bukan sahaja perlu datang daripada pemimpin tetapi juga daripada rakyat keseluruhan.

Mengulas lanjut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menilai keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Perlis susulan kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau lagi, mengadakan PRK akan menyebabkan kos yang besar yang mana rakyat sudah letih dan bosan dengan kemelut politik yang mengheret mereka akibat perebutan kuasa sesetengah ahli politik.

Tiada ulasan: