FMT Reporters
PETALING JAYA: PAS telah mengemukakan nama untuk dipertimbang sebagai calon menteri besar Perlis baharu bagi menggantikan Shukri Ramli yang melepaskan jawatan itu, semalam.
Presiden Hadi Awang berkata parti itu mengemukakan nama di antara enam Adunnya bagi pertimbangan dan mendapatkan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Utusan Malaysia.
PAS sebelum ini mempunyai sembilan wakil rakyat namun tiga daripadanya ditamatkan keahlian kerana telah menyerahkan akaun berkanun tidak lagi menyokong Shukri. Mereka adalah Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Hadi bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon berkenaan buat masa ini.
“PAS ada enam Adun dan kami telah mengemukakan senarai calon difikirkan layak,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata partinya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRK atau PRN sekiranya diperlukan.
Perletakan jawatan Shukri itu menyusuli tindakan lapan Adun termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau.
Beliau menjelaskan tindakan terbabit atas faktor kesihatan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia memetik sumber melaporkan Bersatu menyerahkan tiga nama sebagai calon menteri besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan