FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang bekas pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan penggiat seni budaya dihukum penjara enam bulan serta denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan memalsukan dokumen pembekalan lima tahun lalu.
Hakim Sazline Safie turut memerintahkan Dayang Kartini Awang Bujang, 49, dan Mardziana Che Mohd Amin, 39, dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didapati memalsukan satu baucar bayaran perolehan aksesori set kepala untuk kumpulan seni JKKN atas nama syarikat Anas Niaga bernilai RM9,920 sedangkan syarikat itu tidak terlibat dalam transaksi tersebut.
Kesalahan tersebut dilakukan kedua-dua tertuduh di pejabat JKKN Pahang pada 26 Jun 2020.
Dayang Kartini Awang dan Mardziana didapati bersalah di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry.
Dayang Kartini diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli manakala Mardziana diwakili Taufek Razak.
Hakim kemudian membenarkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Beliau turut menaikkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM12,000 bagi setiap tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan