"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cemas kereta dihimpit treler 22 tayar

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Seorang pengurus kilang menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya secara tiba-tiba dihimpit sebuah treler di Lebuhraya PLUS. FOTO TULAR
Seorang pengurus kilang menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya secara tiba-tiba dihimpit sebuah treler di Lebuhraya PLUS. FOTO TULAR
Sungai Buloh: Seorang pengurus kilang cemas apabila kereta dipandu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) secara tiba-tiba dihimpit sebuah treler 22 tayar di kilometer (KM) 453, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ketika kejadian, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu dalam perjalanan daripada Petaling Jaya menuju ke Country Homes, Rawang.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian jam 4.15 petang kenderaan jenis Hyundai Sonata dipandu lelaki itu di lorong tengah dihimpit treler yang menukar arah dari lorong kanan secara mengejut.

"Treler berkenaan menghimpit kenderaan mangsa di lorong tengah kemudian treler berkenaan masuk semula ke lorong kanan dan berhenti secara mengejut di hadapan sebuah kereta lain di lorong kanan.

"Tindakan pemandu treler itu menyebabkan kereta berkenaan memberhentikan kenderaan secara mengejut namun tidak berlaku pelanggaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu kenderaan mangsa mengalami kerosakan akibat bergesel dengan treler berkenaan.

Katanya, setakat ini pemandu treler dan sebuah lagi kereta masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang awam.

"Kejadian dipercayai berlaku akibat pemanduan tidak berhemah oleh pemandu terbabit," katanya.

Terdahulu pihak polis terkesan satu video tular berdurasi 50 saatdi media sosial memaparkan kejadian itu.

Mohd Hafiz berkata sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nizam Othman 0176254779.

Tiada ulasan: