Malaysiakini
Polis menahan 12 individu disyaki menyamar sebagai penjawat awam untuk melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki warga asing pada 1 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata semua suspek yang berusia antara 26 hingga 48 tahun itu ditahan menerusi operasi khas di sekitar ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan sehari kemudian.
Katanya tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki warga Jepun yang memaklumkan majikannya, seorang lelaki warga Taiwan yang bekerja sebagai YouTuber, dipukul dan disamun di Eko Cheras Resident, Cheras.
“Mangsa mengalami kecederaan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM35,000.
“Suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi dan ini menjadi pencetus awal kepada niat jenayah,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Fadil berkata tujuh daripada suspek diberikan jaminan polis pada 7 Ogos selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi masih direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar sebagai penjawat awam, dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan (melakukan samun berkumpulan).
“Polis sedang giat mengesan baki seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan