"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inilah kejutan terbesar Fastaqim 2.0

Seumpama kilat yang kadang-kadang menyambar tanpa diiringi guruh, atau mendung tak membawa hujan, begitu juga Fastaqim 2.0 yang menutup tirainya sebentar tadi.

Diuar-uarkan sebagai membawa kejutan oleh Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan baru-baru ini, tiada perkembangan yang benar-benar signifikan dapat diambil daripada program dua hari itu.

Dan teka-teki mengenai siapa "tokoh nasional" yang bakal menyertai PAS nampaknya kekal menjadi rahsia parti itu sekurang-kurangnya setakat ini.

Sehingga majlis berakhir dengan ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Pantai Tok Jembal di Kuala Nerus 'kempunan' menjadi saksi pengumuman penting yang ditunggu-tunggu ramai itu.

Yang kekal ada adalah ucapan-ucapan bersemangat serta laungan takbir penyokong PAS. Juga keyakinan mereka untuk kekal berpengaruh dalam arus perdana politik negara.

Sebelum ini ada khabar dibawa angin sepoi-sepoi bahasa bahawa beberapa tokoh terkemuka akan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PAS.

Mungkin salah faham

Namun sehingga semuanya berakhir apa yang dapat dilihat cuma sebaris individu yang tampil untuk menyatakan sokongan mereka kepada PAS.

Antaranya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid kemudian menyatakan beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti ketika statusnya masih sebagai wakil rakyat bebas, sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri Selangor.

Di tengah kehangatan ceramah tadi juga Nasrudin sempat mengumumkan kehadiran dua bekas pegawai kanan kerajaan.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar (gambar), dan bekas pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Abdul Rahim Che Daud.
Ditemui Malaysiakini kemudian, Zakaria berkata beliau hadir untuk menyatakan sokongan kepada usaha PAS memperjuangkan isu rasuah.

"Saya bukannya masuk politik. Mungkin ada salah faham di sini.

"Saya boleh bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai komitmen untuk membanteras rasuah. Saya tidak menyertai PAS," tegasnya yang berpengalaman selama 30 tahun bersama SPRM.

Zakaria kini menjadi pengerusi Yayasan Antirasuah Malaysia.

Demikianlah berakhirnya Fastaqim 2.0. Manusia merancang, Tuhan menentukan dan kita menyaksikan.

Sebelum ini PAS mengadakan Fastaqim siri pertama di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada 17 Okt 2015.
-malaysiakini

Tiada siapa masuk PAS di Fastaqim 2.0

Radzi Razak, Bede Hong
TIADA sebarang kejutan pada Himpunan Fastaqim 2.0 yang digembar-gemburkan sebelum ini bakal jadi pentas penyertaan "dua atau tiga tokoh nasional" ke dalam PAS.

Yang muncul hanyalah dua bekas pegawai kanan perkhidmatan kerajaan yang sudah bersara yang kini jadi aktivis anti rasuah melalui Yayasan Anti Rasuah Malaysia.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zakaria Jaafar dan bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahim Che Daud yang muncul di pentas Himpunan Fastaqim 2.0 bagaimanapun kemudian menjelaskan mereka hanya hadir memberikan sokongan, dan bukannya masuk PAS.

Zakaria yang ditemui wartawan selepas majlis itu menjelaskan beliau sebenarnya hanya hadir memberi sokongan kepada parti itu kerana komitmen menentang rasuah.

“Saya bukan jadi ahli PAS, saya cuma menyokong dan beri nasihat isu rasuah.

“Mungkin ada salah faham di sini. Saya terbuka untuk bercakap dengan sesiapa saja soal ini (rasuah),” kata Zakaria yang ditemui wartawan selepas selesai Himpunan Fastaqim 2.0 menjelang tengah malam tadi.

Zakaria pernah menerima tumpuan ramai pada akhir 2015 apabila mendedahkan pada hari persaraannya yang SPRM sedang menyiasat seorang "yang paling berkuasa" di Malaysia. Beliau merujuk kepada kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Kedudukan itu juga kemudiannya disahkan oleh Pengerusi Himpunan Fastaqim 2.0, Nasrudin Hasan pada sidang media selepas majlis tamat.

“Maksud saya mereka hadir bersama wadah perjuangan PAS ialah mereka memberi sokongan. Tidak semestinya menjadi ahli.

“(Bagaimanapun) kehadiran mereka memberi makna besar kepada kita,” katanya kepada wartawan yang menyerbu meminta penjelasan mengenai kedudukan dua bekas pegawai kanan kerajaan itu.

Sebelum itu, bekas Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim turut menjelaskan beliau tidak menyertai PAS.

“Saya bekerja untuk tolong orang miskin sekarang, jadi saya tidak akan menyokong mana-mana parti,” kata beliau ketika muncul sebentar untuk berucap kira-kira pukul 8:15 malam. Khalid kemudian bergegas meninggalkan majlis untuk satu urusan di luar negara.

Nasrudin sebelum ini mengumumkan satu kejutan bakal dilihat malam ini dengan kemasukan "dua atau tiga tokoh nasional" ke dalam parti Islam itu.

Sementara itu, Himpunan Fastaqim 2.0 mengesahkan pembentukan blok ketiga politik Malaysia, Gagasan Sejahtera yang dipimpin oleh PAS. Pakatan baru itu disertai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Berjasa dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Presiden Ikatan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam ucapannya berkata perhimpunan di Terengganu ini menunjukkan kepada semua pihak, PAS bukan sebuah parti yang bukan siapa-siapa.

"DAP pernah kata PAS ini bukan siapa-siapa. Tetapi kalau diambil ahli-ahli DAP dan diganda empat, itupun belum setengah daripada kekuatan PAS," katanya.

Tambah Kadir, parti-parti yang bekerjasama dengan PAS sebelum ini mengawal PAS dengan mengatakan ia tidak boleh buat itu dan ini kerana kononnya melanggar hak asasi dan sebagainya.

Sementara itu Timbalan Presiden Berjasa, Hashim Abdul Karim berkata pengkritik PAS kini tidak lagi boleh memperlekehkan parti Islam itu selepas perhimpunan malam tadi.

"Orang selalu ketawa apabila kita sebut kuasa ketiga. Kita serahkan kepada Allah. Malam ini, Insya-Allah, kitalah kuasa ketiga itu.

"Kami akan turun padang untuk membantu PAS setakat yang terdaya."

Pas terdesak peralat kanak-kanak capai sasaran 200,000 peserta?

ARIF ATAN
Pas terdesak peralat kanak-kanak capai sasaran 200,000 peserta?
Begitu banyak gambar kanak-kanak dimuat naik di laman Facebook Fastaqim 2.0 sekali gus dilihat bercanggah dengan isyarat Pas sudah bersiap sedia dengan ‘gelombang hijau’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Semakan Malaysia Dateline mendapati sejumlah besar gambar golongan berusia di bawah 12 tahun dimuatkan dalam program yang diuar-uarkan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah bagi menunjukkan parti itu kuat dan bermaruah.

Terbaharu, gambar kanak-kanak yang menyertai Pertandingan Pakaian Beragam Si Cilik dimuat naik dalam laman media sosial itu selain plakad ‘saya hadir’ pada kanak-kanak perempuan di atas motosikal yang berpakaian serba hijau.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan sebelum ini menyasarkan kehadiran 200,000 orang dalam himpunan selama dua hari sejak semalam di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus di Terengganu.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh berkenaan, mesej utama perhimpunan yang menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk untuk kelompok kanak-kanak dan remaja itu adalah memastikan wujudnya “gelombang hijau” pada pilihan raya kali ini.

Pada masa sama, pengguna Facebook atas nama Pok Din Pok Mat memuat naik beberapa foto menjelang perhimpunan itu.

“Baju budak dan berkolar fastaqim 2.0. Terima kasih kerana sudi buat di kedai kami,” katanya.
Pemilik kedai mendakwa pihaknya menghasilkan baju kolar kanak-kanak Fastraqim 2.0
Melihatka penonjolan ketara kanak-kanak dalam Fastaqim 2.0, sebahagian netizen turut menyindir kemungkinan mereka akan mengundi Pas pada PRU14.