"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

7 lelaki ditahan kes pergaduhan di Bintulu

BERNAMA

Bintulu: Polis menahan tujuh lelaki tempatan susulan pergaduhan di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah kedai runcit di sini selepas rakaman video mengenainya tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata kesemua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu semalam dan kini direman bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan kemalangan kenderaan dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur gangsterisme.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan siasatan akan disegerakan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318804.

MPV jatuh gaung, guru dan anaknya maut

Bernama

Kenderaan dinaiki mangsa dipercayai terlanggar kayu di permukaan jalan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung di Rompin.
Dua beranak maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Seremban di Rompin, Pahang, semalam. (Gambar X)
KUANTAN: Seorang guru dan anaknya maut apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di KM149.9 Jalan Kuantan-Seremban di Rompin semalam.

Ketua Polis Rompin, Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata kemalangan kira-kira 9.30 malam itu mengakibatkan Kartinie Ngatenan, 46, dan anaknya Muhammad Akif Mohd Azmi berusia enam tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kemalangan berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu suami mangsa berusia 47 tahun dalam perjalanan dari arah Seremban, Negeri Sembilan menghala ke arah Felda Keratong di Rompin.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan dipercayai terlanggar kayu di permukaan jalan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lebih 30,000 kematian di Eropah akibat gelombang haba

Buletin TV3
Orang ramai berlindung daripada panas terik menggunakan payung berhampiran Colosseum ketika gelombang haba awal musim melanda Rom. – Foto AFP
PARIS: Eropah merekodkan sekurang-kurangnya lebih 30,000 kematian sepanjang musim panas dan gelombang haba serta kemarau.

Platform pemantauan EuroMomo.  menganggarkan 32,000 kematian berlaku di Eropah antara pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos.

Analisis terhadap angka awal di lapan negara mendapati 33,000 kematian dikaitkan secara langsung dengan cuaca panas direkodkan di Austria, Belgium, England, Perancis, Jerman, Belanda, Portugal dan Sepanyol.

Menurut anggaran mingguan terkini EuroMomo, minggu terakhir Jun menjadi tempoh paling teruk dengan hampir 16,000 kematian, diikuti minggu pertama Julai dengan kira-kira 8,000 kematian.

Kedua-dua tempoh itu bertepatan dengan gelombang haba luar biasa yang melanda Eropah, selain keadaan kemarau meluas yang meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Di Jerman, kira-kira 14,000 kematian dikaitkan dengan gelombang haba sehingga 9 Ogos, jumlah tertinggi sejak rekod berkenaan mula direkodkan pada 2016, menurut Institut Robert Koch.

Perancis pula merekodkan 7,300 kematian antara akhir Mei hingga 22 Julai, manakala Sepanyol mencatat hampir 4,500 kematian berkaitan cuaca panas antara 1 Jun hingga 19 Ogos.

Di England, pihak berkuasa kesihatan dan keselamatan menganggarkan 2,877 kematian berkaitan cuaca panas berlaku sepanjang gelombang haba pada Mei dan Jun, menghampiri rekod 2,985 kematian pada musim panas 2022.

Belgium merekodkan 2,570 kematian antara 18 Jun hingga 17 Julai, manakala Belanda mencatat 968 kematian antara 22 Jun hingga 5 Julai.

Austria pula merekodkan 396 kematian berkaitan gelombang haba pada Jun, sementara Portugal mencatat lebih 600 kematian berlebihan antara pertengahan Jun hingga akhir Julai.

Para saintis mengaitkan gelombang haba dan kemarau yang melanda Eropah dengan perubahan iklim akibat aktiviti manusia.- AFP

Pelajar terima ganti rugi RM129,000 akibat melecur ketika program bubur lambuk

K. Parkaran

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Teluk Intan memerintahkan sebuah sekolah dan dua guru membayar ganti rugi RM129,040 kepada seorang pelajar Tingkatan 5 selepas didapati cuai dalam insiden remaja itu melecur akibat terkena bubur lambuk panas ketika program sekolah pada 2022.

Hakim Gan Peng Kun dalam penghakimannya semalam berkata, defendan cuai kerana membenarkan kelas matematik dijalankan di kawasan memasak ketika program itu berlangsung, selain melengahkan pemindahan pelajar berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas kejadian di SMK Seri Intan, Teluk Intan, Perak.

M Thanaletchumi, yang memfailkan saman bagi pihak anak perempuannya, menamakan pengetua sekolah, dua guru dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam saman difailkan dua tahun lalu, pelajar itu yang kini berusia 17 tahun berkata kejadian berlaku pada April 2022 ketika dia diarahkan menyertai aktiviti memasak bubur lambuk.

Katanya, dia terjatuh atas lantai yang licin selepas ditolak seorang pelajar kelas lain, menyebabkan tangan kirinya terjatuh ke dalam periuk bubur yang sedang mendidih.

Pelajar itu berkata, kejadian menyebabkan trauma susulan parut kekal, selain memaksanya memakai pakaian berlengan panjang bagi menutup kecederaan tersebut. Dia juga malu dan hilang semangat sejak kejadian itu.

Gan menganugerahkan ganti rugi teruk RM100,000, RM5,000 bagi kecederaan melecur pada tangan dan lengan kiri, RM24,000 bagi parut serta RM40 bagi kos mendapatkan laporan perubatan.

Peguam Manoharan Malayalam mewakili plaintif, manakala Peguam Persekutuan Hamida Abdul Kadir hadir bagi pihak kerajaan.

Ada pengkhianat?: Semua tutup seminggu sebelum operasi

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD
Dua lelaki dipercayai warga asing melepak di kaki lima ketika tinjauan di kawasan perniagaan Pandan Indah di Ampang Jaya kelmarin.
AMPANG JAYA – Penutupan premis kira-kira seminggu sebelum operasi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Pandan Indah di sini Isnin lalu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk kawasan tersebut.

Mereka mendakwa situasi itu berlaku dengan ketara beberapa hari menjelang hari operasi de­ngan kebanyakan kedai menjual barang basah dan runcit yang dikendalikan warga asing ditutup lebih awal.

Wakil penduduk Flat Pandan Mewah yang mahu dikenali sebagai Hazrul berkata, sebelum ini kedai-kedai tersebut beroperasi seperti biasa sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada maklumat mengenai kehadiran anggota penguat kuasa dapat dihidu lebih awal.

“Kami perasan ada kedai yang mula tutup kira-kira seminggu sebelum operasi sedangkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa sebelum ini.

“Apabila operasi dijalankan, kawasan tertentu jadi lebih le­ngang. Kita tidak tahu sama ada mereka (warga asing) sudah mendapat maklumat atau berlaku secara kebetulan. Sudah tentu keada­an ini menimbulkan per­soalan dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Hazrul berkata, situasi itu membimbangkan penduduk ke­rana operasi penguatkuasaan sepatutnya dapat mengenal pasti keseluruhan rangkaian warga a­sing yang tinggal dan menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Katanya, penduduk tidak mempunyai sebarang masalah dengan warga asing yang memiliki dokumen yang sah, namun keberadaan PATI perlu dipantau terutama yang menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Penduduk mahu kawasan ini selamat. Kalau mereka ada dokumen yang sah dan menjalankan perniagaan mengikut peraturan, itu tidak menjadi masalah.

“Tetapi kalau ada yang tinggal atau berniaga secara haram, kita harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajar­nya,” katanya.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Rizal berkata, ope­rasi penguatkuasaan ke atas PATI di kawasan tersebut perlu dilakukan secara berkala, bukannya selepas menerima aduan atau masalah menjadi serius.

Katanya, terdapat kawasan tertentu yang dilihat menjadi tumpuan warga asing dan ia bukan ‘pemandangan’ baharu bagi penduduk setempat.

“Bila operasi dijalankan, memang ada perubahan, tetapi selepas itu kita nampak warga a­sing masih ada di kawasan ini. Jadi saya amat berharap operasi susulan dan pemantauan dapat dilakukan supaya mereka tidak kembali ke sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Aina pula berharap supaya saluran komunikasi yang lebih mudah antara komuniti setempat dengan pihak berkuasa dapat diwujudkan dalam usaha membanteras kehadiran PATI di kawasan ber­kenaan.

Katanya, penduduk di kawasan itu lebih memahami kea­daan sekeliling dan akan segera menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.

“Kita bukan mahu mengganggu sesiapa, tetapi jika terdapat aktiviti yang melanggar undang-undang, sepatutnya ada saluran untuk penduduk melaporkan aduan dengan mudah.

“Yang penting, maklumat tersebut diambil tindakan selain identiti pemberi maklumat di­lindungi,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kos­mo! di sekitar Pusat Komersial Pandan Indah dan Taman Pandan Mewah mendapati masih terdapat warga asing termasuk yang menjalankan aktiviti perniagaan.

Malah, ketika tinjauan dilakukan, ada golongan tersebut yang dilihat cuba mengelak daripada dirakam kamera apabila segera beredar dari lokasi sejurus menyedari kehadiran kehadiran wartawan Kosmo!.

Situasi itu secara tidak langsung menunjukkan kawasan tersebut masih menjadi tumpuan warga asing tidak sampai seminggu selepas operasi dilaksanakan pihak berkuasa.

Pada Rabu lalu Kosmo! me­laporkan kawasan Pandan Indah yang menjadi tumpuan warga a­sing termasuk etnik Rohingya seperti yang didedahkan akhbar ini pada 12 Jun lalu digempur pihak berkuasa.

Dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 9 pagi itu, seramai 217 warga asing diperiksa dengan 33 orang dipercayai PATI terdiri daripada 16 warga Myanmar, Bangladesh (14), India (2) dan Pakistan (1) ditahan.

Pemeriksaan pihak berwajib turut mengesan kesalahan berkaitan premis perniagaan dan bekalan elektrik.

Suami dan isteri orang ditangkap khalwat

Azizi Majid
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berstatus suami dan isteri orang kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik sewa di Pasir Gudang, di sini, awal pagi tadi.

Menurut JAINJ, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dilakukan selepas penguat kuasa menerima aduan awam berhubung kehadiran pasangan berkenaan di premis rumah kedai dua tingkat terbabit.

"Hasil pemeriksaan di sebuah bilik, seorang wanita berusia 20-an membuka pintu selepas beberapa minit diketuk.

"Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki berada berusia 30-an di dalam bilik berkenaan selain dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan satu tahun yang sedang tidur," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di bandar raya ini, manakala wanita berkenaan tidak bekerja buat sementara waktu kerana menjaga anak.

Katanya, pasangan itu juga mengaku bukan suami isteri dan tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan ketika disoal siasat.

"Lelaki terbabit mendakwa mempunyai masalah rumah tangga dan tidak lagi tinggal bersama isterinya, manakala wanita itu pula mendakwa sedang dalam proses perceraian dengan suaminya.

"Lelaki terbabit turut mendakwa membantu wanita berkenaan yang tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan dengan menanggung sewa bilik serta perbelanjaan makan minum," katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan mendapati kedua-duanya sudah mengenali antara satu sama lain sejak lebih setahun lalu ketika lelaki berkenaan bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing.

"Hubungan mereka kemudian menjadi semakin rapat selepas masing-masing berkongsi masalah rumah tangga sebelum mengambil keputusan untuk tinggal bersama di bilik berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

"Dua kanak-kanak yang berada di dalam bilik itu adalah anak wanita berkenaan hasil perkahwinannya yang sah," katanya.

Pasangan terbabit kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Kenapa mufti, NGO dan ahli akademik tak respons Haji Hadi?

Malaysiakini

Ahli Majlis Perpaduan Negara, Tajuddin Rasdi, telah mempersoalkan sikap pihak berkuasa agama, NGO Islam dan ahli akademik terkait kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengenai DAP dan Malaysiakini beberapa hari lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Tajuddin mengingatkan naratif dibawa Abdul Hadi boleh memburukkan lagi perpecahan kaum dan agama serta membawa negara ke arah konservatisme tidak sihat.

Institusi pertama yang dipersoalkan oleh profesor seni bina itu ialah mufti yang dilihat berdiam diri terhadap kritikan Abdul Hadi.

“Adakah mereka takut kepada dia? Adakah para mufti tidak berupaya secara intelektual untuk menentang tafsiran al-Quran Abdul Hadi, atau adakah para mufti bersetuju dengannya?” kata Tajuddin.

Turut dipertanyakan Tajuddin ialah NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang dikaitkan dengan pemikiran Islam progresif namun dianggapnya senyap sepi seperti tanah perkuburan.

“Bukankah mereka membawa idea Islam politik progresif? Atau adakah mereka takut tindak balas orang Melayu konservatif yang akan memusnahkan kepentingan mereka?” katanya lagi.

Tajuddin kemudian mempersoalkan ahli akademik kerana tiada seorang pun yang bersuara mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara atau menawarkan naratif nasional alternatif mengenai Islam dan Malaysia.

Dakwa Tajuddin, dia tidak pernah melihat “naratif Islam yang toksik terhadap orang lain” di Malaysia sejak zaman pengaruh komunis enam dekad yang lalu.

“Semua rakyat Malaysia mesti bersedia untuk menyelamatkan negara kita dan kemerdekaan tahun ini.

“Jangan biarkan Abdul Hadi dan PAS menentukan masa depan dan takdir kita,” tegas Tajuddin.

Takutkan penduduk, perompak hubungi polis minta diselamatkan

Agensi
DUA perompak yang memecah masuk kedai emas di Gujarat terpaksa meminta bantuan polis untuk diselamatkan.
DUA perompak yang memecah masuk kedai emas di Gujarat terpaksa meminta bantuan polis untuk diselamatkan.
Ahmedabad: Bukan hanya gagal mencuri, dua pencuri terpaksa menghubungi talian kecemasan polis untuk minta diselamatkan selepas terperangkap di dalam kedai emas di daerah Valsad, Gujarat, barat India, Rabu lalu.

Memetik laporan NDTV, suspek dikenali Dinesh Sonkar dan Vipin Pathak sebelum itu memecah masuk kedai emas di Kampung Sanjan, kira-kira 25 kilometer dari bandar Vapi berhampiran sempadan Maharashtra, Dadra dan Nagar Haveli serta Daman.

Bagaimanapun penduduk tempatan yang curiga melihat tindakan dua lelaki itu kemudian Bagaimanapun penduduk tempatan yang curiga melihat tindakan dua lelaki itu kemudian mengumpil kunci kedai, lalu menurunkan pengatup besi (shutter) menyebabkan kedua-duanya terperangkap di dalam premis. mengumpil kunci kedai, lalu menurunkan pengatup besi (shutter) menyebabkan kedua-duanya terperangkap di dalam premis.

Melihat orang ramai berkumpul di luar kedai sambil membawa kayu dan cuba membuka pengatup besi, kedua-dua suspek yang takut akan dibelasah kemudian bersembunyi di dalam premis itu sambil menghubungi polis untuk bantuan.

Anggota polis yang tiba di lokasi tidak lama kemudian menyelamatkan kedua-duanya sebelum menahan mereka.

Polis turut merampas barang kemas yang cuba dilarikan serta peralatan pecah rumah yang digunakan dalam kejadian itu.

Deputi Superintendan B Dave berkata suspek direman untuk siasatan lanjut.

Inspektor antara 10 anggota PGA ditahan berkaitan pemerasan

KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pegawai polis berpangkat Inspektor antara 10 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan berkaitan kes pemerasan sebuah kilang sisa elektronik e-waste di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Rabu lalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim.

Jelas Muhammad, kesemua pegawai dan anggota terbabit bertugas di Batalion 2 PGA, Kulim, Kedah.

“Kita sahkan ada (tangkapan), tetapi masih dalam siasatan. Pegawai penyiasat dari pihak polis negeri akan mengambil tindakan lanjut.

“Kesemua yang ditahan itu berusia lingkungan 30 hingga 40an,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota yang ditahan terdiri daripada pelbagai pangkat, daripada Konstabel hingga Inspektor.

Katanya, kesemua mereka telah direman selama sehari sebelum dilepaskan semalam dengan jaminan polis. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Pengedar dadah libas anggota polis dengan parang

BERNAMA

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang disyaki aktif mengedar dadah ditahan selepas bertindak agresif mengacu parang ke arah anggota polis hingga mencederakan seorang daripada mereka dalam serbuan di Kampung Lubok Bongor di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli, Supertintendan Kamarulzaman Harun berkata, kejadian kira-kira 11 pagi itu berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.

“Suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang yang diselitkan di pinggang sebelum mengacukannya ke arah anggota polis sambil mengeluarkan ugutan untuk menyebabkan kematian.

“Ketika anggota cuba menangkapnya, berlaku pergelutan menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahu kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarulzaman berkata suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan keadaan dikawal tanpa melibatkan kecederaan lebih serius.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah parang berukuran kira-kira 36 sentimeter termasuk hulu serta satu plastik lutsinar mengandungi enam pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis yaba.

“Pil berkenaan ditemukan di dalam sebuah beg pinggang berwarna hitam,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek merupakan individu dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jeli kerana disyaki aktif mengedar dadah di sekitar daerah berkenaan.

“Suspek turut dikehendaki berkaitan satu kejadian pada 19 Ogos lepas apabila dipercayai mengeluarkan ugutan untuk menyebabkan kematian sambil mengacukan parang ketika satu serbuan dijalankan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kamarulzaman berkata suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya. – Bernama

2 penunggang basikal maut dilanggar kereta di Putrajaya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua penunggang basikal maut dilanggar sebuah kereta di KM9 Jalan Persiaran Selatan, Putrajaya.

Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham Mohamed, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki 40-an itu mengubah haluan dari lorong tengah ke kiri sebelum melanggar dua mangsa dalam kejadian kira-kira 10.15 malam tadi.

“Mangsa berusia 40-an dan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah dua lelaki itu mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian atau orang ramai mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-8886 2138 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Datuk antara 5 ditahan SPRM salah guna kuasa pelupusan tanah agensi kerajaan

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk dipercayai terbabit penyalahgunaan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang.

Mereka terdiri daripada seorang pengerusi, dua pengarah syarikat, pengurus teknikal dan seorang kerani wanita.

Suspek pertama seorang pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk berusia 50-an ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Prai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.

Suspek terbabit juga dipercayai menggunakan kedudukannya dengan terlibat dalam meluluskan penjualan tanah berkenaan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta.

Sumber berkata, semua suspek berusia 40-an hingga 50-an ditahan secara berperingkat jam 11 pagi hingga 12 tengah hari di pejabat SPRM Pulau Pinang, semalam dan akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Georgetown, pagi ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Warga asing hina Islam dihadap ke mahkamah hari ini

Azizi Majid
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lelaki warga asing berusia 56 tahun yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap agama Islam dalam video tular akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, suspek ditahan pada 4.15 petang Selasa lalu oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura.

"Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif daripada sebarang jenis dadah," katanya.

Menurutnya, suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula Rabu lalu dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).

"Bagaimanapun, selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor semalam, arahan diberikan supaya suspek dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu menyebut perkataan yang boleh melukakan agama mana-mana orang.

"Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen yang menyentuh sensitiviti agama kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan dan menjejaskan ketenteraman awam.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tiga rentung, seorang melecur dalam kebakaran di Menggatal

Bernama

Tiga sekeluarga rentung manakala seorang lagi melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Darau Menggatal, Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Loupin Adow, 67; anaknya Azman Maduin, 50; dan cucunya, Nurul Asyiqin Alinor, 29; manakala yang melecur merupakan lelaki berusia 34 tahun yang juga suami Nurul Asyikin.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.43 pagi.

“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas sejauh enam kilometer tiba di lokasi pada 1.50 pagi.

"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiga mangsa ditemukan dalam keadaan rentung manakala seorang mangsa yang mengalami kecederaan akibat melecur dihantar ke hospital oleh jentera unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Kebakaran berkenaan memusnahkan keseluruhan struktur rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan 40 x 40 kaki persegi itu.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan sumber air dari tangki jentera bomba sehingga api berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi.

Menurut bomba, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.19 pagi.

“Sebanyak 17 anggota termasuk dari BBP Lintas bersama sebuah jentera FRT, EMRS, dan tiga kenderaan pacuan empat roda berada di lokasi,” menurut kenyataan itu.

Operasi pemadaman dan penyelamatan berkenaan turut dibantu sembilan anggota Polis Diraja Malaysia, tiga pegawai kementerian kesihatan, dan dua petugas Sabah Electricity.

- Bernama

Terengganu: Sindiket lombong emas haram diketuai 'Mak Siti' raih RM13,000 sehari tumpas

Zaid Salim
am@hmetro.com.my
AHMAD Radzi (kiri) menunjukkan emas yang dilombong semasa meninjau kawasan perlombongan haram di Bukit Kor. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Radzi (kiri) menunjukkan emas yang dilombong semasa meninjau kawasan perlombongan haram di Bukit Kor. FOTO Ghazali Kori
Marang: Sindiket perlombongan emas haram yang dipercayai mampu meraih hasil sehingga RM13,000 sehari tumpas apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 15 individu dalam serbuan Op Gali Mega Zon Timur di Bukit Kor, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, PGA turut merampas pelbagai peralatan perlombongan termasuk jentera berat yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM449,000.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, 11 warga asing dan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.

Katanya, siasatan awal mendapati operasi di kawasan seluas 4.05 hektar itu dikendalikan seorang wanita warga Kemboja dikenali sebagai 'Mak Siti' sejak kira-kira sebulan lalu.

"Serbuan dijalankan dua pegawai dan 10 anggota PGA Batalion 9 dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita merampas sebuah jentera berat, lapan pam air, tiga generator, dua mesin pengayak emas dan sebuah mesin pemecah batu.

Warga asing yang ditahan pula membabitkan seorang warga Vietnam dan 10 rakyat Kemboja," katanya pada sidang media di lokasi operasi.

Menurutnya, sindiket menggali lubang sedalam kira-kira enam meter sebelum tanah dan batu dibawa ke kawasan pemprosesan menggunakan jentera berat.

Katanya, bahan itu kemudian dihancurkan, dibersihkan, ditapis dan diayak bagi mengasingkan emas sebelum dijual kepada seorang pembeli tempatan yang dikenali sebagai 'Pak Lang'.

"Siasatan mendapati mereka mampu memperoleh sehingga 40 gram emas sehari.

"Penemuan ini menunjukkan kegiatan perlombongan emas haram di Bukit Kor bukan lagi berskala kecil, sebaliknya mempunyai rantaian operasi tersusun daripada penggalian, pemprosesan, pengasingan emas sehingga pemasaran," katanya.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan terhadap pemilik tanah berkenaan.

Bekas pegawai adat, penjawat awam ditahan kes rasuah jual tanah

Bernama

KENINGAU: Empat individu termasuk seorang bekas pegawai adat dan penjawat awam direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan tanah melibatkan rasuah kira-kira RM900,000.

Perintah reman hingga 27 Ogos itu dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

Menurut sumber bekas pegawai adat dan penjawat awam itu dipercayai menerima suapan daripada dua broker tanah bagi melancarkan urusan transaksi penjualan tanah berkenaan pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tanah yang terlibat dalam urusan tersebut merupakan milik individu lain malah tidak pernah ditawarkan untuk dijual,” kata sumber.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 60-an itu ditahan antara 4 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Keningau.

Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua individu terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

Kedah: Kes rasuah berkaitan REE, bekas setiausaha politik MB Kedah diperintah bela diri

BERNAMA
Mohamad Hilmi Abdul Wahab. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Hilmi Abdul Wahab. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab membela diri atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu, tiga tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Hilmi, 53.

"Oleh itu, tertuduh diperintah untuk membela diri," katanya yang kemudian menetapkan empat hari bermula 9 Oktober ini bagi prosiding bela diri.

Pada 20 November 2023, Mohamad Hilmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd Liana Mamat @ Khalid, 43, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 37.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh, yang ketika itu Setiausaha Politik Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, membantu syarikat berkenaan mendapatkan kelulusan berkaitan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan REE di sekitar Kedah.

Mohamad Hilmi didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Sunway Kiara Hills, Taman Sri Hartamas di sini pada 4 Julai 2023.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan menerima suapan wang tunai berjumlah RM150,000 daripada individu sama bagi tujuan sama di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini pada 11 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat manakala peguam Syed Naqiuddin Shahab mewakili Mohamad Hilmi.

MB Perak sahkan SU politik letak jawatan, enggan ulas dakwaan dadah

Malaysiakini

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mengesahkan setiausaha politiknya, Hamidi Baharuddin meletakkan jawatan berkuat kuasa 17 Ogos atas faktor kesihatan namun enggan membuat spekulasi mengenai dakwaan salah guna dadah.

Mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial, Saarani berkata dia tidak mahu membuat sebarang andaian tanpa bukti daripada pihak berkuasa.

“Yang itu saya pun baca dalam media sosial.

“Selagi mana tak ada bukti oleh pihak berkuasa, sama ada Jabatan Kesihatan atau polis, saya tak mahu membuat apa-apa andaian,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Saarani berkata dia menerima surat peletakan jawatan Hamidi bertarikh 10 Ogos yang memaklumkan keputusannya serta keperluan untuk menjalani rawatan.

“Supol ada menulis surat kepada saya bertarikh 10 Ogos dan menyatakan dia mahu meletakkan jawatan yang berkuat kuasa 17 Ogos. Jadi kita pun telah menerima perletakan jawatannya.

“Dia beri alasan kesihatan, dia memerlukan masa untuk mendapat rawatan,” katanya.

Mengenai pengganti Hamidi, Saarani berkata pelantikan baru akan mengambil sedikit masa.

Hamidi, 46, dilantik sebagai setiausaha politik pada 2023 bagi menggantikan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai Sham Mat Sahat, yang tidak meneruskan tugas itu selepas berkhidmat sejak 2020.

Bekas ketua Pemuda Umno Lenggong itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada menteri besar Perak.

Ketika Saarani menjadi exco pembangunan luar bandar, pembangunan usahawan dan koperasi negeri, Hamidi berkhidmat sebagai pegawai khasnya.

Lelaki Singapura didakwa halang tugas polis, miliki senjata

MOHD SHARKAWI LONDING
KIAN LIANG dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bergaduh dengan warga tempatan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU – Seorang pemilik restoran warga Singapura mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk menghalang tugas anggota polis dan memiliki senjata berbahaya di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Gary Lim Kian Liang, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Nor Aziati Jaafar dan Majistret, Nurzihan Abdul Rehman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris.

Di hadapan Nor Aziati, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter tanpa kebenaran sah di Jalan Lingkaran Dalam menghala Bangunan Sultan Iskandar di sini kira-kira pukul 12.15 pagi, Ahad lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Di hadapan Nurzihan pula, dia didakwa dengan sengaja menghalang Lans Koperal Mohd. Rahimi Mohd. Ali melaksanakan tugasnya pada waktu, lokasi dan tarikh yang sama.

Atas kesalahan itu, dia dakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita tempatan berusia 30 tahun menggunakan pisau di lokasi sama, kira-kira pukul 11.58 malam, 15 Ogos lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Peguam mewakili tertuduh, S. Selvanteran dalam rayuannya berkata, tertuduh menanggung seorang isteri dan seorang ibu yang sudah uzur dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

“Tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan mental iaitu ‘major depression’ dan memerlukan rawatan kesihatan secara berterusan,”katanya.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM20,000 dan kes akan disebut semula pada 25 September depan.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan yang turut terlibat dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial berkenaan, G. Thinesh Kumar, 28, pula mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret A. Shaarmini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap warga Singapura itu menggunakan topi keledar di lokasi dan masa yang sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam diberikan jaminan RM5,000, manakala kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 September depan. – KOSMO! ONLINE

Pemandu lori ‘Black Maria’ imigresen didakwa sebabkan kematian 3 sekeluarga

Faisal Asyraf

Tertuduh, Akbar Zainol mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
Akbar Zainol
Pemandu lori ‘Black Maria’ imigresen, Akbar Zainol, 43, diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap lima pertuduhan membabitkan nahas lori ‘Black Maria’ di Jalan Sultan Ismail di sini yang mengorbankan seorang bapa dan dua anak perempuannya.

Tertuduh, Akbar Zainol, 43, didakwa memandu trak Imigresen secara melulu sehingga menyebabkan kematian Shaik Firdaus Shaik Yahya, 52; Siti Norshazlin Shaik Firdaus, 24; dan Siti Darwisyah Shaik Firdaus, 12.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Ismail kira-kira jam 1 pagi, 19 Ogos lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 dan RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, Akbar didakwa memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Nor Hayati Rozali, 54.

Pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan denda antara RM5,000 dan RM10,000 serta hukuman penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.

Pemandu itu turut didakwa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana melanggar lampu isyarat merah. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda antara RM300 hingga RM2,000.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 serta meminta Akbar menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Peguam Izzat Amir Saharudin memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat di Jabatan Imigresen selama 11 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Izzat turut berkata Akbar sudah berkahwin, mempunyai seorang anak yang masih bersekolah dan menanggung ibunya yang sudah lanjut usia serta menetap di Kedah.

Peguam itu berhujah bahawa perintah tambahan yang dimohon pihak pendakwaan tidak diperlukan kerana anak guamnya akan memberikan kerjasama sepanjang prosiding dan manfaat keraguan wajar diberikan kepadanya.

Majistret Aliaa Anwar menetapkan jaminan RM60,000 bagi kesemua lima pertuduhan dan memerintahkan Akbar melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Beliau turut memerintahkan lesen memandu Akbar digantung sehingga kes itu selesai.

Trump ancam nak bom Oman pula

AFP

DUBAI: Presiden AS Donald Trump mengugut mengebom Oman sekiranya mengganggu perjanjian dengan Iran mengenai Selat Hormuz, dalam pada sebuah kapal melintasi laluan perairan strategik itu dilaporkan dibedil pada Selasa.

Perunding utama Iran Mohammad Bagher Ghalibaf berkata pada Selasa, Selat Hormuz tidak akan dibuka sehingga AS memenuhi tuntutan Tehran, termasuk menghentikan sekatan laluan laut.

Dalam ucapan disiarkan televisyen kebangsaan, beliau menyebut tuntutan Iran termasuk menghentikan sekatan laluan perairan itu, menghentikan sekatan minyak dan melepaskan aset Iran yang dibekukan di luar negara.

Beliau akan melawat Iraq pada Rabu untuk rundingan, dalam pada Baghdad berdepan tekanan daripada Washington untuk melaksanakan pelucutan senjata terhadap kumpulan yang menyokong Iran.

Puak Houthi di Yaman yang disokong Iran menyasarkan kilang penapisan minyak di persisiran Laut Merah Arab Saudi pada Selasa, dalam pada kumpulan pemberontak itu meningkatkan serangan terhadap negara berkenaan.

Pihak Houthi “menyasarkan kilang penapisan Aramco di Jazan menggunakan dron… sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ruang udara di Saada dan Hajjah” di Yaman, menurut agensi berita Houthi, Saba, memetik sumber tentera.

Agensi maritim Britain melaporkan sebuah kapal yang melintasi Selat Hormuz dibedil “projektil yang tidak dapat dikenal pasti” menyebabkan kecederaan anak kapal.

“Impak mengakibatkan kerosakan terhadap bilik enjin dan kecederaan anak kapal,” menurut Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom di X. “Anak kapal lain kini mendapat bantuan pengawal pantai Oman.”

Pada Isnin, Trump berkata pihak berkuasa Iran “mahu mencapai persetujuan, tetapi bukan jenis persetujuan yang saya rasa diperlukan,” sebelum sekali lagi mengulangi tuntutannya bahawa “Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear”.

Trump mengancam mengebom Oman sekiranya negara itu “menghalang” perjanjian AS dengan Tehran mengenai Selat Hormuz, selain menggesa Iran menyerah kalah.

“Jika Oman menganggu, kita akan mengebom mereka dengan teruk,” katanya kepada Fox News pada Isnin, merujuk kepada rundingan yang sedang berlangsung antara Oman dan Iran mengenai kawalan selat berkenaan, dalam pada Washington turut menjalankan rundingan.

Tehran dan Muscat mengadakan perbincangan sejak beberapa minggu lalu mengenai laluan perkapalan itu, dengan kementerian luar Tehran menyatakan dua pihak berkenaan sedang berusaha ke arah deklarasi bersama.

Ketua perisikan, isteri maut nahas helikopter

KOSMO
ANGGOTA penyelamat tiba di lokasi nahas di daerah Sumbu, utara Kenya kelmarin. - Palang Merah Kenya
NAIROBI – Tujuh orang termasuk lima warga Amerika Syarikat (AS) maut apabila helikopter dinaiki mereka terhempas di kawasan terpencil, dekat Gunung Ololokwe di utara Kenya, lapor akhbar The Guardian. 

Individu terkorban termasuk seorang pegawai eksekutif Telemundo, rangkaian televisyen berbahasa Sepanyol berpangkalan di AS serta Pengarah Pusat Perisikan Ecuador, Michele Sensi-Contugi. 

Helikopter itu terhempas sekitar pukul 9.13 pagi (waktu tempatan) semasa terbang dari kawasan pemuliharaan hidupan liar Loisaba menuju ke Ewaso Nyiro di daerah Samburu semalam.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya (KCAA) mengesahkan helikopter itu membawa tujuh orang termasuk seorang juruterbang, sambil menegaskan siasatan nahas sedang dijalankan. 

Ketua Polis Daerah Samburu, David Nkoroi memberitahu pemberita kelmarin bahawa semua penumpang dan juruterbang ditemukan meninggal dunia. 

Jabatan Negara AS turut mengesahkan lima rakyatnya terbunuh dalam insiden berkenaan. 

“Kedutaan AS sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan menyediakan bantuan konsulat,” kata Jabatan Negara AS. 

Helikopter terhempas adalah jenis Eurocopter EC130 B4 yang dimiliki oleh syarikat penerbangan sewa khas, Lady Lori Helicopters, demikian menurut KCAA. – AGENSI

Guru tahfiz direman tujuh hari, dua murid dakwa dicabul dan dipukul

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Guru tahfiz ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul dan memukul dua murid lelaki berusia 11 tahun di sebuah maahad tahfiz di Taman Keramat, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, polis menerima pengaduan daripada Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Menurutnya, pegawai berkenaan pergi ke maahad tahfiz terbabit susulan aduan mengenai dua kanak-kanak yang disyaki dicabul dan dipukul oleh pengajar tahfiz.

"Pengadu membawa dua mangsa lelaki berusia 11 tahun ke Hospital Selayang bagi tujuan pemeriksaan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dicabul suspek antara Julai hingga bulan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, kedua-dua mangsa turut mendakwa dipukul menggunakan rotan kayu pada 16 Ogos lalu kerana tidak berdisiplin ketika sesi pembelajaran.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

"Permohonan reman dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Ogos ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan pula, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Ketukan misteri merebak ke Mergong

KOSMO!

PETALING JAYA – Dakwaan bunyi ketukan misteri yang dikatakan berlaku di beberapa rumah di kawasan Langgar, Alor Setar, Kedah kini didakwa menular hingga ke Mergong.

Menerusi hantaran seorang pengguna Threads Ahmadaki mendakwa, bunyi ketukan itu didakwa berlaku pada waktu maghrib hingga awal pagi.

“Fenomena hantu ketuk pintu rumah dah sampai Mergong semalam. Dia punya ketuk tu sampai nak pecah pintu. Video ada tapi tak leh share (kongsi). Menyeramkan sangat dan menganggu privasi mangsa.

“Takat la tadak sapa (setakat ini tiada siapa) pernah tengok bentuk dia lagi. Ada kena waktu maghrib sampai awal pagi,” dakwanya pada hantaran itu.

Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada penduduk di kawasan Alor Setar.

“Jadi betul lah yang kata la ni (waktu ni) musim bomoh cuba ilmu depa?,” komen Bloomlatebutbless.

“Jangan lah mai ketuk rumah mak saya. Abang baru meninggai (meninggal), satgi (kejap lagi) dia ingat abang mai ketuk. Dia duk rindu sangat dah tu,” kata Hanisalleh.

“Sungguh la balik kerja letih malam nak kena takut hal ni. Stres betul dok pkiq (fikir),” kata Yaniesabdin.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, misteri bunyi ketukan kuat kedengaran di beberapa rumah sekitar Alor Setar semakin menjadi perhatian apabila orang ramai mereka berkongsi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian di media sosial.

Rakaman CCTV dari beberapa kediaman di sekitar Jalan Langgar memaparkan bunyi ketukan kuat pada waktu malam, namun tiada kelibat individu dikesan berada di hadapan rumah.

Dalam masa sama, polis sedang menyiasat dakwaan bunyi ketukan tersebut dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali dilaporkan berkata, dakwaan kejadian tersebut yang tular di media sosial sudah dalam pengetahuan polis, namun setakat ini belum menerima laporan rasmi daripada penduduk terlibat. – KOSMO! ONLINE

Dua lelaki Rohingya didakwa pecah masuk rumah, simpan harta curi

Alias Abd Rani
Dua etnik Rohingya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar atas tuduhan menceroboh rumah dan memiliki harta curi.- Foto NSTP / Alias Abd Rani
MUAR: Dua lelaki Rohingya yang tular selepas terbabit dalam beberapa siri kes pecah masuk kediaman dalam daerah ini dengan memakai topeng dan sarung tangan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Jamal Hussin Jalal, 30, dan Ramzan Ali Ali, 31, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Muhammad Faizzudin Abd Rafik.

Jamal Hussin berdepan tiga pertuduhan manakala Ramzan satu pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Jamal Hussin didakwa bersama-sama dua rakan yang masih bebas menceroboh rumah milik tiga mangsa berusia 46, 57 dan 59 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga rumah di Taman Sungai Abong Permai, Taman Temiang Jaya dan Taman Permata Indah di sini, antara jam 11.11 malam hingga 3 pagi pada 30 Mei, 19 dan 21 Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Ramzan pula didakwa secara tidak jujur menyimpan harta curi berupa seutas jam tangan, dengan kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Peringgit Jaya, Melaka pada jam 1.30 pagi, 26 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Kelvinder Singh Sidhu.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin, RM1,500 dengan dua penjamin bagi pertuduhan kedua dan RM2,500 dengan dua penjamin bagi pertuduhan ketiga.

Sementara itu, Ramzan dikenakan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin dan kesemua kes disebut semula pada 22 September ini untuk serahan dokumen.

Berdasarkan laporan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengesan video tular di media sosial yang memaparkan tiga individu memecah masuk sebuah rumah.

Susulan penularan video itu, polis mengesahkan laporan diterima berkaitan kejadian berkenaan. Siasatan dijalankan sebelum membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh.

Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos, dikhabarkan telah memeluk Islam

KOSMO!
Gambar tular mengenai perkahwinan Roberto Carlos tersebar di media sosial.
SAO PAULO – Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos, dikhabarkan telah memeluk Islam selepas mengucapkan dua kalimah syahadah kira-kira empat minggu lalu.

Khabar mengenai status agama bekas bintang Real Madrid itu didedahkan seorang Ahli Parlimen Turkiye, Ali Åžahin menerusi satu hantaran di media sosial semalam.

Menurut Åžahin, beliau memperoleh maklumat itu selepas bertemu Sheikh Jihad Hammadeh, tokoh komuniti Islam di Brazil ketika mengadakan pertemuan di Sao Paulo.

Menerusi perkongsian tersebut, Sheikh Jihad dikatakan memaklumkan bahawa Roberto Carlos sudah lama berkomunikasi dengannya sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Roberto Carlos, 53, didakwa mengunjungi Sheikh Jihad kira-kira empat minggu lalu sebelum mengucapkan syahadah dan memilih Islam sebagai agamanya.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, Roberto Carlos masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan laporan berkenaan.

Khabar itu turut menjadi perhatian selepas kehidupan peribadi bekas pemain pertahanan kiri Brazil tersebut menjadi tumpuan susulan perkahwinannya dengan sorang wanita Maghribi, Souheila Tahiri.

Souheila merupakan seorang pengusaha serta ejen pemain bola sepak berlesen FIFA yang mempunyai latar belakang Maghribi-Lubnan.

Majlis perkahwinan pasangan itu yang berlangsung secara tertutup turut dilaporkan mempunyai unsur Islamik dan dihadiri seorang tokoh agama.

Perkembangan tersebut kemudian mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat apabila berita mengenai Roberto Carlos didakwa memeluk Islam mula tersebar luas di media sosial.

Roberto Carlos dikenali sebagai antara pemain pertahanan kiri terbaik dalam sejarah bola sepak dunia, khususnya ketika mewakili Real Madrid dan skuad kebangsaan Brazil.

Sepanjang kariernya bersama Real Madrid, dia membantu kelab gergasi Sepanyol itu memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara selain meraih pelbagai kejuaraan domestik.

Dia turut menjadi sebahagian daripada skuad Brazil yang menjuarai Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun. – Agensi

Kelantan: Sindiket beri amaran jangan campur kegiatan mereka

ROHANA MOHD. NAWI
ANGGOTA APMM menahan PATI yang mendarat di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu baru-baru ini. – IHSAN APMM
KOTA BHARU – Penduduk di sekitar Kuala Besar dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini mendakwa menyaksikan sendiri kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendarat di tebing Sungai Kelantan sebelum dibawa keluar menggunakan kenderaan.

Kegiatan itu dipercayai berlaku sejak tiga bulan lalu terutamanya pada tengah malam hingga awal pagi, sekali gus me­nimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Seorang penduduk Kuala Besar, Ibrahim Alang, 50, berkata, PATI terbabit terdiri daripada pelbagai warganegara dan dipercayai dibawa masuk menggunakan bot fiber dari beberapa pulau kecil di kawasan Tumpat sebelum mendarat di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar dan PCB.

“Antara 20 hingga 30 orang PATI diseludup menggunakan bot fiber setiap hari di kawasan itu. PATI itu dipercayai diambil dari beberapa pulau termasuk Pulau Tengkorak, Pulau Tokang, Pulau Beluru dan Pulau Ular di Tumpat.

“Sindiket juga pernah memberi amaran kepada penduduk setempat agar tidak masuk campur kegiatan mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ibrahim menberitahu, sebelum ini, tidak banyak kenderaan keluar masuk ke kampung itu, namun sebaliknya berlaku sejak kebelakangan ini.

Seorang penduduk yang se­ring memancing di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar, Azman Ali, 28, berkata, kegiatan penyeludupan PATI dikesan kerap berlaku di kampung itu sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, dia pernah terdengar bunyi bising dari kawasan pulau berhampiran sebelum melihat sebuah bot fiber menghampiri kawasan berkenaan dan mendarat di tebing Sungai Kelantan di Kuala Besar.

“Saya juga melihat sendiri bot berkenaan yang membawa muatan PATI sampai ke tebing sungai. Penyeludup tidak akan menunggu lama selepas mendaratkan PATI ke tebing sungai sebelum ‘transporter’ membawa mereka keluar menggunakan kereta,” katanya.

Seorang lagi pemancing, Haris, 30, berkata, dia pernah terse­rempak dengan sekumpulan PATI yang bersembunyi di kawasan semak pada awal pagi.

Menurutnya, dia mengesyaki kumpulan tersebut merupakan PATI selepas terdengar percakapan mereka yang tidak difahami.

“Saya pernah mengambil kayu dan membaling ke arah semak sehingga menyebabkan mereka bertempiaran lari dan menyorok di kawasan lain bagi mengelak dikesan penduduk,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tiga beranak maut dirempuh lori Imigresen langgar lampu

Malaysiakini

Tiga beranak merangkumi seorang bapa berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut siasatan awal polis, kejadian pada jam 1 pagi itu berlaku apabila lori Isuzu ‘Black Maria’ tanpa muatan berkenaan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin.

Dengan siren yang dibunyikan, lori yang dipandu seorang anggota berusia 43 tahun itu melanggar lampu merah di persimpangan berhampiran kompleks membeli-belah Maju Junction di Jalan Sultan Ismail sebelum dirempuh sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat dari arahnya berwarna hijau.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pemandu Saga berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak, menyebabkan kenderaannya merempuh lori itu di tengah-tengah persimpangan.

“Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat orang pejalan kaki yang merupakan satu keluarga, serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang dipandu oleh satu lelaki berumur 38 tahun yang berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian dan turut terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Kemalangan tersebut mengakibatkan tiga ahli keluarga berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun yang merupakan bapa, serta dua anak perempuannya, masing-masing seorang wanita berusia 25 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mangsa keempat yang merupakan isteri kepada lelaki berkenaan dan ibu kepada dua mangsa yang terkorban mengalami kecederaan parah di kepala, tangan kanan dan kedua-dua belah kaki.

Dia kemudiannya bergegas dibawa ke zon merah Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Zamzuri berkata polis telah menahan pemandu lori Jabatan Imigresen dan Proton Saga yang terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Ujian terhadap kedua-dua pemandu berkenaan mendapati mereka bebas daripada pengaruh alkohol dan dadah.

Tragedi berdarah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Melalui hantaran di Facebook pagi tadi, dia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kemalangan itu.

“Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi.

“Al-Fatihah," kata Anwar.

Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Zakaria Shaaban ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan berdasarkan prosedur operasi standard jabatan.

“Siastan pihak polis ke atas kemalangan yang berlaku termasuk mengenalpasti pihak yang bersalah dalam insiden ini,” katanya.

Suspek simbah petrol, bakar warga emas ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
Suspek simbah petrol, bakar wanita di premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, ditahan polis hari ini
KUALA LUMPUR: Lelaki yang diburu selepas menyimbah petrol sebelum membakar seorang wanita di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, pada 9 Ogos lalu ditahan polis hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa mengesahkan penahanan suspek tengah hari tadi.

“Ya suspek sudah ditahan dan satu sidang media akan diadakan esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas melecur 50 peratus pada badan selepas disimbah cecair dipercayai petrol dan dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong.

Jasni Zolpa dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira jam 8 pagi memaklumkan mangsa berusia 62 tahun dan bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan diserang suspek lelaki yang tidak dikenali.

4 lelaki ditahan gaduh, halang polis trafik di Bangunan Sultan Iskandar

MOHD SHARKAWI LONDING
TANGKAP layar video salah seorang lelaki menghalang anggota polis trafik menjalankan tugas dalam kejadian di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Ahad lalu.
JOHOR BAHRU – Tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan menggunakan senjata selain menghalang anggota polis trafik menjalankan tugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Kejadian kira-kira pukul 12.37 tengah malam, 16 Ogos lalu turut tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan seorang lelaki menghalang dua anggota polis trafik ketika mereka cuba meleraikan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pegawai polis yang bertugas di pusat kawalan selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya yang melibatkan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Semasa dua anggota polis trafik BSI cuba menenangkan salah seorang suspek warga asing, lelaki terbabit bertindak membuat provokasi terhadap anggota berkenaan.

“Keadaan kemudian menjadi tegang sehingga berlaku pergaduhan yang dipercayai melibatkan penggunaan senjata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bersama anggota polis trafik BSI menahan keempat-empat suspek berusia antara 25 hingga 46 tahun.

Dalam operasi antara pukul 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi itu, polis turut merampas sebuah topi keledar dan sebilah pisau yang dipercayai berkaitan dengan kes.

“Semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai sebanyak 16 rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap tiga suspek yang dijalankan adalah negatif dadah,” katanya.

Azrul Hisham berkata, kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.-KOSMO! ONLINE

2 minit 3 perompak larikan RM1.7 juta barang kemas di Genting Highland

FMT Reporters

Suspek dipercayai melarikan diri dengan sebuah kenderaan selepas merompak sebuah kedai emas di Sky Avenue, pagi tadi.
Rompak kedai emas genting
Tangkap layar video tular memaparkan suspek melarikan diri selepas merompak sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, pagi tadi.
PETALING JAYA: Tiga lelaki mengambil masa kira-kira dua minit untuk melarikan barang kemas bernilai hampir RM1.7 juta dalam rompakan di sebuah kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kenderaan menuju ke Genting Highlands untuk melakukan rompakan.

Katanya, suspek dipercayai memakai topi dan pelitup muka selain bersenjatakan kapak serta kuku kambing ketika menyerbu premis berkenaan.

“Semua mereka kemudian turut dikesan menuruni Genting Highlands, sejurus melakukan rompakan,” katanya lapor Berita Harian.

Azry berkata, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Pahang serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong kini giat menjejaki suspek berdasarkan siasatan dan risikan yang dijalankan.

Sementara itu, media memetik sumber memaklumkan polis melancarkan Op Tutup pada kira-kira 12 tengah hari hingga petang tadi susulan kejadian rompakan itu.

Bagaimanapun, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kenderaan dinaiki suspek dipercayai sudah melepasi pusat pemeriksaan sebelum Op Tutup dilaksanakan.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, ketiga-tiga suspek dilaporkan melarikan pelbagai jenis barang kemas dan emas dari kedai berkenaan.

Terdahulu, tular video dan gambar di media sosial memaparkan sekumpulan individu dipercayai merompak sebuah kedai di pusat beli-belah di Genting Highlands.

Pemandu bot jumpa belon penuh wang di tasik

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan pemandu bot itu menemukan duit yang digantung pada tali belon. - Instagram
JAKARTA – Seorang pemandu bot terkejut apabila menemukan sejumlah wang pada beberapa biji belon yang terapung di sebuah tasik. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @socialfeed_id menunjukkan lelaki itu sedang duduk di atas bot sebelum menemukan beberapa belon beserta ‘banner’ yang terapung di atas air. 

Selepas melihat lebih dekat, dia terkejut apabila belon-belon itu terikat dengan sejumlah wang kertas yang digantung pada tali. 

Wang yang ditemukan bernominasi antara 5,000 rupiah (RM1), 10,000 rupiah (RM2) dan 20,000 rupiah (RM5). 

Rakaman itu mencatatkan lebih 534,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Definisi sebenar rezeki turun dari langit,” kata seorang netizen. 

“Rezeki,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI