"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amerika kuasai 65 bilion tong minyak Venezuela

KOSMO!
KOMBINASI gambar 5 Mac lalu menunjukkan Trump dan Rodriguez. – AFP
WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump mencapai perjanjian minyak dengan Caracas  yang memberikan Amerika Syarikat(AS)  kawalan majoriti ke atas 65 bilion tong rizab petroleum Venezuela.

Dalam hantaran di laman Truth Social, Trump menyifatkannya sebagai  ‘perjanjian minyak terbesar dalam sejarah dunia’  dan berkata,  ia akan meningkatkan lebih sekali ganda rizab minyak AS.

Venezuela  beroperasi di bawah tekanan hebat dan penelitian rapi daripada pentadbiran Trump sejak AS menggulingkan dan menangkap pemerintah sekian lama,  Nicolas Maduro pada Januari lalu.

Washington membenarkan naib presidennya ketika itu,  Delcy Rodriguez  untuk kekal dan berkhidmat sebagai pemimpin interim selagi beliau mengikut telunjuk Amerika.

Trump berkata, Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth telah mencapai perjanjian minyak baharu itu  dengan Rodriguez ‘melalui perkongsian dengan perniagaan swasta’.

“Transaksi ini akan memperkukuhkan  lagi hubungan yang sedia berkembang antara Venezuela dan Amerika Syarikat!,” kata Trump.1

Beliau tidak menyatakan apa yang diperoleh Venezuela daripada perjanjian tersebut.

Venezuela mempunyai rizab minyak terbesar di dunia. – AFP 

Lelaki dipenjara rakam isteri curang secara rahsia

Agensi

Taipei: Taktik seorang lelaki di Taiwan menggunakan pembersih vakum robotik untuk membongkar dakwaan kecurangan isterinya membuahkan hasil apabila dia memenangi saman sivil terhadap wanita itu dan kekasihnya, lapor NDTV.

Namun, kemenangan itu bertukar menjadi padah apabila dia kemudian dijatuhi hukuman penjara kerana merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenaran.

Menurut penghakiman mahkamah yang dikeluarkan baru-baru ini dan dilaporkan media tempatan, lelaki berkenaan berkahwin pada 2021 dan tinggal bersama ibu bapanya. Dia dan isterinya menggunakan rumah peranginan mereka terutama ketika musim percutian.

Syak wasangkanya terhadap isterinya meningkat pada September 2023 selepas dia menemukan berus gigi yang sudah digunakan di kediaman berkenaan. Dia kemudian menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di garaj tempat letak kereta sebelum menyedari seorang lelaki tidak dikenali memandu keretanya untuk menghantar isterinya pulang.

Kira-kira tiga bulan kemudian, si suami mengaktifkan pembersih vakum robotik di rumah peranginan itu secara kawalan jauh menerusi aplikasi telefon bimbitnya. Peranti berkenaan dilengkapi fungsi audio terbina dalam yang membolehkan pengguna berkomunikasi menerusinya.

Bagaimanapun, strim langsung daripada pembersih vakum itu merakam isterinya bersama lelaki lain dalam keadaan intim. Si suami kemudian merakam paparan berkenaan sebelum menyerahkannya sebagai bahan bukti dalam saman sivil terhadap isterinya dan lelaki terbabit.

Pada mulanya dia menuntut ganti rugi sebanyak 2 juta dolar Taiwan (kira-kira RM254,000), lapor South China Morning Post. Mahkamah sivil memutuskan hubungan itu melampaui batas persahabatan biasa dan memerintahkan isteri serta lelaki berkenaan membayar pampasan 500,000 dolar Taiwan (kira-kira RM63,000) kepadanya.

Bagaimanapun, kemenangannya tidak bertahan lama apabila dia berdepan tindakan undang-undang berasingan berhubung cara mendapatkan bukti berkenaan.

Isterinya mendakwa lelaki itu merakam imej peribadi secara bersembunyi tanpa kebenarannya, namun dia berhujah tindakan itu wajar kerana rakaman berkenaan diterima sebagai bukti dalam prosiding sivil.

Mahkamah menolak pembelaan itu dan memutuskan bahawa kewajipan perkahwinan tidak mengatasi hak privasi seseorang. Mahkamah turut mendapati rakaman berkenaan dilakukan secara sengaja.

Mahkamah turut memutuskan sebarang lampu atau pemberitahuan suara yang dikeluarkan pembersih vakum robotik tidak mencukupi untuk membuktikan wanita berkenaan mengetahui dirinya dirakam atau memberikan kebenaran.

Lelaki itu akhirnya dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan didenda 150,000 dolar Taiwan (kira-kira RM19,000) kerana merakam imej peribadi secara haram.

Di bawah undang-undang Taiwan, tindakan merakam atau mendedahkan aktiviti peribadi atau maklumat intim orang lain secara bersembunyi tanpa kebenaran boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga 300,000 dolar Taiwan (kira-kira RM38,000).
-hmetro

Peniaga dipenjara 10 tahun rempuh 3 individu di bazar Ramadan

FMT Reporters

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman terhadap Kang Ming Han atas kesalahan cubaan membunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol susulan kejadian pada 2020.
Rakaman video menunjukkan sebuah trak pikap merempuh gerai di bazar Ramadan Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada Mei 2020.
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga atas kesalahan cubaan membunuh selepas merempuh tiga individu dengan trak pikapnya di bazar Ramadan Pekan Bukit Sentosa enam tahun lalu.

Hakim Siti Fatimah Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap Kang Ming Han selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Kang turut didenda RM15,000 atau penjara 18 bulan jika gagal membayar denda.

Beliau didakwa cuba membunuh Norisham Abdul Rashid, Baharum Ab Manaf dan Mahadin Seman di tapak bazar Ramadan itu pada 22 Mei 2020.

Mahkamah turut mendapati Kang bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada Farina Hazlin Shaiful Azmi dan Yusanisah Jais ketika memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Bagi setiap pertuduhan itu, beliau dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta didenda keseluruhan RM20,000 atau tambahan penjara setahun jika gagal membayar denda.

Kang turut didenda RM500 kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis Shahidan Abdul Khalil.

Hakim memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Kang hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Mengikut fakta kes, Kang terbabit dalam pertikaian dengan beberapa individu di kawasan pasar selepas membunyikan hon ketika berdepan kesesakan lalu lintas.

Dalam keterangannya, Kang mendakwa beberapa individu tidak dikenali menyerangnya dan penumpangnya dengan memecahkan cermin hadapan kenderaannya.

Beliau kemudian pergi ke Balai Polis Bukit Sentosa, namun Shahidan yang bertugas ketika itu mendakwa Kang bertindak agresif dan enggan bertenang.

Anggota polis itu memberitahu mahkamah bahawa Kang meninggalkan balai tanpa membuat laporan rasmi mengenai serangan berkenaan dan mengugut untuk “merempuh semua orang di Bukit Sentosa kerana kamu enggan menerima laporan saya”.

Mahkamah kemudian mendengar keterangan Norisham, Baharum dan Mahadin mengenai bagaimana mereka dirempuh kenderaan Kang di bazar berkenaan.

Ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan pada anggota badan, dada dan bahu.

Trak pikap Kang turut melanggar kenderaan pacuan empat roda milik Farina, menyebabkan beliau dan Yusanisah yang berada sebagai penumpang cedera.

Kekecohan itu berakhir apabila Kang berlari kembali ke balai polis selepas dikejar sekumpulan orang sebelum beliau ditahan.

Dalam pembelaannya, Kang mendakwa anggota polis yang bertugas pada mulanya enggan menerima laporannya berhubung serangan yang didakwa berlaku dan beliau turut menafikan mengeluarkan ugutan.

Kang mendakwa beliau kembali ke kawasan pasar untuk “melihat sama ada individu yang menyerangnya sebelum itu masih berada di situ” sebelum sekali lagi diserang oleh “beberapa orang”.

Beliau menafikan merempuh tiga lelaki berkenaan dan mendakwa hanya “tergesel” kenderaan Farina secara tidak sengaja.

Hakim berkata Kang gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan dan merujuk kepada niatnya untuk menyebabkan kecederaan.

“Dia tidak boleh menggunakan alasan mempertahankan diri apabila kembali ke pasar buat kali kedua untuk mencari individu yang didakwa menyerangnya,” katanya.

Kanak-kanak lima tahun maut dikelar dalam kejadian di Sibu

BERNAMA

Sibu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira lima tahun maut dipercayai dikelar dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Rantau Panjang Jaya di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata seorang suspek lelaki berusia lewat 40-an yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut termasuk punca kejadian.

"Setakat ini, pihak kami telah menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian," katanya ringkas kepada pemberita.

Mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sibu sebelum disahkan meninggal dunia.

Anjing German Shepherd serang jiran, ahli perniagaan diperintah bayar RM248,000

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan diperintah membayar ganti rugi RM248,457.60 kepada jirannya yang mengalami keretakan tulang belakang selepas didakwa dikejar dua anjing German Shepherd miliknya ketika berjoging.

Hakim Mahkamah Sesyen Zawiyah Saad mendapati Ong Thiam Boon bertanggungjawab terhadap kecederaan dialami Kamal Abdullah dalam kejadian di Taman Anjung Tiara, Segambut, pada 10 Feb 2021.

Zawiyah berkata Kamal berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Ong.

Kamal dianugerahkan RM178,457.60 sebagai ganti rugi khas dan RM70,000 ganti rugi am berserta faedah selain turut diberikan kos sebanyak RM15,000.

Beliau menyaman Ong susulan kejadian itu dengan mendakwa dua anjing German Shepherd milik ahli perniagaan berkenaan menerkam ke arahnya ketika beliau sedang berjoging.

Katanya, beliau terjatuh ketika cuba melindungi diri dan mengalami keretakan tulang belakang yang memerlukan pembedahan serta rawatan susulan.

Kamal mendakwa Ong gagal mengawal anjingnya dengan sempurna dan memastikan pintu pagar rumahnya sentiasa ditutup.

Ong menafikan anjing berkenaan menyerang atau bersentuhan dengan Kamal.

Beliau mendakwa Kamal hilang imbangan dan terjatuh ketika berundur di atas jalan curam dan tidak rata selepas menghayunkan tongkatnya ke arah anjing berkenaan.

Ong turut mendakwa kecederaan Kamal berpunca atau turut disumbang oleh kecuaian Kamal sendiri.

Mahkamah juga menolak tuntutan balas Ong yang mendakwa Kamal mengugutnya sehingga menyebabkan beliau mengalami ketakutan, penghinaan dan tekanan mental.

Shahril Madisa mewakili Kamal, manakala Tan Shao Jia dan Wong Win Xien mewakili Ong.

Isteri terperangkap dengan 'love scam' hingga suami tanggung hutang RM260,000, punca tragedi berdarah empat sekeluarga

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rasa malu dan tertekan akibat bebanan hutang mencecah RM260,000 selepas isteri terjerat dalam perangkap 'love scam' dipercayai motif seorang lelaki bertindak luar kawalan membunuh tiga ahli keluarganya sebelum menamatkan nyawa sendiri dalam kejadian menyayat hati di Desa ParkCity, di sini, semalam.

Ia susulan polis menemui sekeping nota yang ditinggalkan suspek yang juga bapa kepada keluarga berkenaan di atas meja makan kediaman mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek meninggalkan sekeping nota di atas meja makan yang menyatakan rasa kesal terhadap isteri yang dikatakan mempunyai hubungan dengan 'scammer' sehingga suspek menanggung kerugian dan hutang sehingga RM260,000.

"Isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer berkenaan dan suspek merasakan perbuatan itu melampau dan berasa malu kepada anak-anak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kematian empat beranak itu mengejutkan penduduk sekitar selepas mayat mereka ditemui dalam kediaman sebelum polis dipanggil ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai perkembangan proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Fadil mengesahkan prosedur ke atas anak perempuan pasangan itu berusia sembilan tahun selesai dijalankan pagi tadi.

"Bedah siasat selesai dijalankan hari ini pada jam 9 pagi ke atas mayat anak perempuan berusia sembilan tahun dan selesai lebih kurang jam 12 tengah hari. Satu liang tikaman di leher berukuran lima sentimeter ditemui di bahagian leher si mati," katanya.

Menurutnya, proses bedah siasat bagi mayat kedua iaitu isteri suspek dengan hanya tiga proses dijadualkan selesai hari ini.

"Bedah siasat ke atas mayat suspek dijangka dijalankan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke tempat kejadian pagi esok," katanya.

Sementara itu, pasukan forensik turut menemui bukti penting yang dipercayai menjadi senjata yang digunakan dalam kejadian pembunuhan kejam itu.

"Sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan ditemui di dalam laci di bilik tidur utama," katanya.

Polis masih meneruskan siasatan terperinci mengikut sudut forensik dan maklumat latar belakang keluarga terbabit bagi melengkapkan kertas siasatan.

Semalam, media melaporkan lelaki maut selepas terjatuh bangunan kondominium di Desa Parkcity, Persiaran Residen, di sini, manakala isterinya dan dua anak ditemui maut dalam unit kediaman berkenaan.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di Unit Forensik HKL mendapati beberapa individu hadir kira-kira jam 1 tengah hari dipercayai ahli keluarga.

Bagaimanapun, semua mereka enggan ditemubual dan bergegas pulang.

Kongsi gelap: Remaja perempuan maut, 13 individu termasuk remaja perempuan 15 tahun disyaki ada kaitan kongsi gelap ditahan

Azizi Majid
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis menahan 13 individu termasuk seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang maut dalam kemalangn di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai pada Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki lima individu termasuk mangsa kira-kira 12.38 tengah malam.

"Siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya yang baru keluar makan malam dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari Jalan Kenanga, Indahpura menuju ke rumah masing-masing sebelum kenderaan mangsa diekori beberapa kenderaan termasuk sebuah Toyota Vellfire hitam.

"Apabila tiba di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai dilanggar Toyota Vellfire berkenaan menyebabkan mangsa yang berada di kerusi hadapan penumpang tercampak keluar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa kemudiannya telah dilanggar oleh Toyota Vellfire berkenaan sebelum bertindak melarikan diri.

Katanya, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

"Polis asalnya menyiasat kes sebagai kemalangan sebelum mengklasifikasikan kes sebagai kes bunuh susulan penahanan kesemua suspek.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan kejadian mempunyai kaitan dengan konflik keahlian antara dua kumpulan kongsi gelap di sekitar Johor Bahru. Namun motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Ab Rahaman, susulan kejadian, pihaknya melakukan beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini dan Selangor dan menahan kesemua suspek berusia antara 15 hingga 31 tahun ditahan termasuk remaja perempuan berkenaan yang sudah tidak bersekolah.

Katanya, polis turut merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah Kia Forte hitam, Toyota Vellfire hitam, Toyota Hilux kelabu, sebatang besi besbol hitam dan sebatang cota hitam.

"Siasatan mendapati sembilan daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian air kencing kesemua suspek negatif dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman antara kelmarin hingga 3 Ogos bagi membantu siasatan," katanya.

Simbah petrol dan membakar warga Indonesia, dua lelaki didakwa di Mahkamah Klang

Dua sahabat didakwa bunuh lelaki Indonesia

MOHD YUNUS YAKKUB
Dua tertuduh berkenaan ketika dibawa ke Mahkamah Klang, hari ini.
KLANG – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia, tiga minggu lalu.

Muhd. Asnawi Ghazali, 37, dan Musa Ramli, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Siti Zubaidah Mahat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh berikutan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi lelaki yang masih bebas dikenali sebagai Kutek didakwa membunuh Suherman, 47, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Telok Gong, di sini kira-kira pukul 6.30 pagi, 6 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.

Jika tidak dihukum mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes pada 27 November depan.

Kosmo! difahamkan, perbuatan membunuh tersebut dilakukan dengan cara menyimbah petrol terhadap mangsa sebelum membakarnya. – KOSMO! ONLINE

Haji Hadi: Ruang damai PAS-Bersatu dah tertutup

FMT Reporters

PETALING JAYA: Hadi Awang menganggap ruang damai dengan Bersatu sudah tertutup susulan parti itu bertanding melawan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.
Presiden PAS berkata, pemimpin Bersatu juga mengeluarkan kenyataan terbuka sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka.

“Ya lah, pada dasarnya dia (Bersatu) lawan kita pada PRN Negeri Sembilan. Dan ada kenyataan nak ikut, bersama dengan PH,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Ahli Parlimen Marang itu ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Terengganu, hari ini.

PAS dan Bersatu ketika ini masih bersama dalam PN.

Pada 8 Jun lalu, PAS membuat keputusan menamatkan hubungan dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik kedua-dua parti berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kemudian mendakwa PN kini sudah menjadi toksik dan terpesong daripada perjuangan bawah pimpinan PAS.

Pada PRN Negeri Sembilan, Bersatu yang bertanding menggunakan logo sendiri kalah teruk namun PN menang tujuh kerusi sebelum membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional.

Polis temui 3 beranak maut lepas dapat laporan kes jatuh bangunan

Bernama

Tiga beranak ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah di leher dalam sebuah unit kondominium di Desa ParkCity, Persiaran Residen, Kepong, semalam.

Penemuan mengejutkan itu berlaku selepas polis menerima laporan tentang seorang lelaki berusia 48 tahun dipercayai terjatuh dari bangunan kediaman berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak pengurusan kondominium terbabit pada jam 3.32 petang yang melaporkan insiden seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan itu.

Katanya polis kemudian pergi ke unit kediaman berkenaan dan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mereka berjaya membuka pintu sebelum menemukan tiga individu yang telah meninggal dunia di bilik berasingan.

"Ketiga-tiga mangsa dalam kediaman terdiri daripada isteri mangsa lelaki berusia 47 tahun serta dua anak mereka, masing-masing seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan lelaki berusia tujuh tahun," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Fadil lagi, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian leher. Katanya polis juga menemukan sebilah pisau dalam unit itu yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta laporan kematian mengejut (SDR)," katanya.

- Bernama

Madani patut selami tragedi kematian sekeluarga di Kepong

Malaysiakini

Kematian empat sekeluarga di Kepong, Kuala Lumpur, mendorong bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa kerajaan menyelami tekanan sosial dan ekonomi yang mungkin menjadi pencetus tragedi keluarga.

Dia berkata kerajaan perlu memberikan lebih perhatian terhadap kebajikan golongan rentan dan bukan hanya menumpukan usaha memerangi rasuah.

“Saya berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melakukan segala yang mungkin untuk mengenal pasti perkara yang mendorong kejadian mengerikan seperti ini. Ia begitu tragis dan kerap berlaku,” kata Zaid menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, polis menemukan mayat sepasang suami isteri bersama dua anak mereka—kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun—di sebuah kondominium di Desa ParkCity.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, gambar tengah.

Polis percaya lelaki berusia 48 tahun itu terjatuh dari unit kondominium berkenaan manakala isteri serta dua anak mereka ditemukan meninggal dunia di dalam rumah dengan kecederaan parah pada leher.

Sebilah pisau turut ditemukan di lokasi dan dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata polis masih berusaha mengenal pasti motif serta keadaan sebenar kejadian.

Kematian tiga mangsa di dalam rumah disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh manakala laporan mati mengejut dibuka berhubung kematian lelaki berkenaan.

Kesempitan hidup?

Tanpa mengemukakan bukti bahawa keluarga itu menghadapi masalah kewangan, Zaid mempersoalkan sama ada kemiskinan atau hutang dengan ceti haram mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada tragedi seumpamanya.

“Adakah disebabkan kemiskinan dan kehidupan yang tidak tertanggung, atau mereka menjadi mangsa Ah Long atau apa,” soalnya.

Dia turut menggesa kerajaan sentiasa memantau kebajikan kelompok masyarakat yang mudah terjejas.

“Kerajaan mesti sentiasa memantau denyut nadi rakyat, khususnya kelompok paling rentan,” katanya.

Menurut Zaid, kerajaan boleh meneruskan usaha memerangi rasuah tanpa mengabaikan kesusahan yang dihadapi rakyat.

“Teruskan kempen pendakwaan bermotif politik berkaitan undang-undang sakau anda dan hapuskan mereka yang rasuah, tetapi ada kesusahan yang berpunca daripada mereka yang berkuasa dan tidak cukup mengambil berat tentang kebajikan rakyat,” katanya.

Kes menyayat hati

Zaid berkata tragedi di Kepong itu mengingatkannya kepada kejadian serupa di Kuantan pada Februari lalu.

Dalam kejadian berkenaan, seorang pengawal keselamatan berusia 32 tahun dipercayai membunuh isterinya, dua anak perempuan mereka yang masih kecil serta ibunya yang berusia 55 tahun sebelum membunuh diri.

Menurut New Straits Times, polis percaya lelaki itu mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam sebelum membunuh diri.

Polis ketika itu berkata kesulitan kewangan mungkin menjadi motif kejadian manakala lelaki berkenaan dilaporkan tidak mempunyai rekod penyakit mental.

Dalam satu lagi kejadian menyayat hati pada November lalu, seorang wanita berusia 30 tahun dan anak perempuannya yang berusia empat tahun ditemukan meninggal dunia di rumah mereka di Kulim, Kedah.

Menurut polis, siasatan awal menunjukkan wanita itu dipercayai cuba membunuh kedua-dua anaknya sebelum membunuh diri. Bagaimanapun, anak lelakinya yang berusia tujuh tahun terselamat.

Polis turut menemukan sekeping nota mengandungi permohonan maaf wanita berkenaan serta menyatakan dia tidak lagi mampu menanggung penderitaan emosi.

Bunuh diri merupakan fenomena kompleks yang mempunyai pelbagai faktor penyumbang, tetapi ia boleh dicegah dan pemulihan adalah mungkin.

Jika anda atau seseorang yang anda kenali sedang berdepan kesukaran, anda tidak bersendirian. Sila dapatkan bantuan:

Talian Kasih: 15999 (panggilan) / +6019-261 5999 (WhatsApp)

Banjir Nepal: 1,500 masih hilang, kematian dijangka meningkat

Reuters
PENDUDUK memeriksa rumah yang terjejas akibat banjir kilat di Devighat, Bidur di daerah Nuwakot, Nepal. FOTO Prabin Ranabhat / AFP.
PENDUDUK memeriksa rumah yang terjejas akibat banjir kilat di Devighat, Bidur di daerah Nuwakot, Nepal. FOTO Prabin Ranabhat / AFP.
Ringkasan Berita
Trishuli, Nepal: Hampir 1,500 orang, termasuk lebih 700 warga asing hilang di seluruh Nepal dan Tibet, wilayah autonomi China, kata pihak berkuasa hari ini selepas lumpur dan runtuhan batu memasuki sungai Himalaya dan menyebabkan banjir kilat yang dahsyat.

Pasukan penyelamat di Nepal menggunakan helikopter untuk mencari mangsa yang terselamat serta menghantar bekalan kecemasan kepada ribuan penduduk yang terputus hubungan di bandar dan lembah yang menjadi tumpuan pendaki serta jemaah, di sepanjang laluan yang menghubungkan Kathmandu dengan Lhasa, Tibet.

Polis menjangkakan jumlah kematian akan meningkat melebihi 165 orang.

"Jumlah ini akan meningkat memandangkan kami telah menyambung semula pencarian dan lebih ramai mayat dijangka akan ditemui," kata jurucakap polis Abi Narayan Kafle kepada Reuters.

Hampir 500 warga asing pula antara 826 orang yang hilang di Nepal, kata pegawai polis dan pelancongan.

Antara pelancong yang hilang adalah 177 warga India, 63 dari Amerika Syarikat, 34 warga Australia, 33 warga Britain dan 25 orang dari Kanada.

Kementerian Luar Malaysia pula dilapor berkata, 55 warganegaranya tidak dapat dihubungi tetapi tiada pengesahan rasmi mengenai jumlah korban.

Jumlah mangsa yang hilang di daerah Gyirong, Tibet ialah 558, kata penyiar negeri China, CCTV pada Khamis, termasuk 260 warganegara asing. China berkata jumlah kematian kekal tiga.

Video yang disahkan menunjukkan air dan sisa menghanyutkan puluhan orang di lintasan sempadan di Gyirong, dengan rumah, jalan raya dan projek hidro kuasa dihanyutkan di Nepal apabila banjir mengalir ke hilir.
-hmetro

Terengganu: Banduan maut disyaki dendam

Pihak polis sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes kematian seorang banduan lelaki di Penjara Marang untuk dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR).

Beliau berkata, setakat ini tiga kakitangan Penjara Marang telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dan tiga suspek pernah terlibat dalam kes pergaduhan berkaitan dadah sebelum ini. Cuma mangsa baru masuk penjara dan suspek pula dipercayai sudah lama berdendam dan tunggu masa sahaja.

“Kes itu jelas berlaku di depan ramai saksi dan di tempat yang semua banduan boleh nampak. Kita sudah panggil pegawai penjara untuk lengkapkan siasatan, sebelum dirujuk kepada TPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Isnin lalu, seorang banduan lelaki maut dipercayai dipukul tiga banduan lain di sebuah penjara di daerah Marang.

Ketua Polis Marang Sofian Redzuan, berkata pihaknya menerima laporan kes terbabit pada 12.31 tengah hari daripada seorang warden penjara itu.

Anak maut, ibu tuding guru: Sakit jantung diarah berlari

Hariz Mohd

Allahyarhamah Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan sudah berdepan masalah jantung sejak berusia tiga bulan.

Disebabkan keadaan kesihatannya, murid berusia 11 tahun itu dikecualikan daripada menyertai kegiatan sukan di sekolah.

Namun, ibu bapanya mendakwa seorang guru mengarahkan murid Tahun Empat itu menyertai acara larian semasa pemilihan rumah sukan pada 15 April lalu, walaupun pihak sekolah telah menerima surat perubatan berhubung penyakitnya.

Nur Qaira kemudian meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Kegagalan jantung, OKU terlantar

Bercakap kepada Malaysiakini, ibunya Norlela Shaari berkata Nur Qaira dimasukkan ke hospital pada 24 April selepas muntah dengan teruk dan mengalami bengkak di sekitar mata.

Menurut Norlela, anaknya kelihatan amat letih dan mengadu loya selepas pulang dari sekolah susulan acara larian berkenaan.

Pemeriksaan perubatan kemudian mendapati Nur Qaira mengalami kegagalan jantung akibat dekompensasi dengan kardiomiopati dilatasi.

"Selepas doktor pediatrik cardio mengesahkan ada air di selaput jantung tu menyebabkan mata dan muka dia bengkak dan tidak dibenar melakukan banyak pergerakan hanya dengan wheel chair saja dan doktor hanya benarkan Qaira minum air satu liter saja untuk mengelak bengkak berulang."

Melalui hantaran Facebook pada 16 Ogos, Norlela menyifatkan Nur Qaira sebagai seorang kanak-kanak aktif yang rajin bersekolah meskipun mempunyai masalah jantung.

"Satu kesilapan dari seorang guru (PPKI) walaupun sudah diberi surat pengesahan tentang penyakit yang dihadapi (Qaira).

"Tindakan guru tersebut itu mengarahkan anak saya berlari pada pemilihan rumah sukan menyebab Qaira menjadi OKU terlantar memakai oksigen seumur hidup.

"Di mana sifat perikemanusiaan guru tersebut. Anak saya 'berdendam' dengan cikgu tersebut. Ini hanya urusan dunia...nantikan balasan di akhirat," katanya.

Hantaran itu disertakan beberapa gambar yang memaparkan Nur Qaira terlantar di katil hospital dengan alat bantuan pernafasan oksigen menutupi wajahnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dia dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan keluarga Nur Qaira.

Fadhlina berkata dia turut mengarahkan Unit Integriti Kementerian Pendidikan mengambil tindakan lanjut.

"Saya telah dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga.

"Saya juga telah mengarahkan Unit Integriti untuk mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.

"KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid," katanya dalam hantaran Facebook.

1,476 warga Myanmar dihantar pulang guna tiga kapal

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

PUTRAJAYA- Seramai 1,476 warga Myanmar bakal dihantar pulang secara sukarela pada 29 September depan menerusi pelaksanaan fasa pertama program penghantaran pulang 5,000 pelarian Myanmar yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan.

Kementerian Dalam Negeri berkata, proses penghantaran pulang kumpulan itu akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

“Fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela akan dilaksanakan pada 29 September melibatkan seramai 1,476 warga Myanmar yang dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar melalui Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos.

“Tarikh tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Untuk tahun 2026, seramai 4,008 daripada mereka terutamanya etnik Rohingya akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala 5,000 individu lain akan menjalani proses
penghantaran pulang secara sukarela secara berperingkat seperti dipersetujui Myanmar.

KDN berkata, sehingga 15 Ogos lalu, terdapat 10,388 warga Myanmar yang berada di Depot Tahanan Imigresen.

“Perlu ditegaskan bahawa jumlah ini merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.

“Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.

“Proses pendaftaran DPP golongan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun 2026,” katanya.

Kata KDN, kerajaan menggunakan dua strategi dalam usaha itu termasuk melaksanakan rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyat negara itu dapat dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab.

“Kedua, melaksanakan pendaftaran dan pendataan individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka melalui program DPP.

“Ia bagi membolehkan kerajaan memperoleh maklumat yang menyeluruh dan tepat mengenai keberadaan golongan tersebut,” katanya.

Jelas KDN, data itu seterusnya dapat digunakan bagi tujuan pemantauan, penguatkuasaan serta
perancangan pengurusan dan penyelesaian akhir, termasuk penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan.

“Kedua-dua cabang strategi ini perlu dilaksanakan secara serentak dan saling melengkapi. Usaha penghantaran pulang memerlukan data yang tepat dan terkini mengenai individu yang terlibat.

“Manakala pelaksanaan pendaftaran
melalui DPP pula perlu disokong oleh hala tuju penyelesaian yang jelas bagi memastikan mekanisme tersebut tidak sekadar menjadi suatu bentuk pendaftaran, tetapi merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan
lebih menyeluruh terhadap pengurusan pelarian dan pemohon suaka,” katanya.

Seterusnya program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.

Pendaftaran tersebut akan diwajibkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat sebagai asas kepada pelaksanaan pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara. – KOSMO! ONLINE

Mayat ditemui dalam ruang tayar pesawat di KLIA Terminal 2

Nur Alif Hazmi

KUALA LUMPUR: Satu mayat ditemui dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat dari Tokyo, Jepun yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pagi tadi.

Sumber polis berkata, kru kejuruteraan menemui mayat yang belum dikenal pasti identiti dan jantina itu kira-kira 6.55 pagi tadi, selepas pesawat berkenaan mendarat sekitar 6.30 pagi.

Katanya, kru terbabit terhidu bau busuk dari ruang simpanan tayar sebelum membuka ruang itu dan menemui mayat mangsa berbaju putih serta berseluar jeans.

“Polis dimaklumkan mengenai penemuan itu dan menghantar unit forensik ke lokasi untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an dan meninggal dunia lebih 72 jam.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Siapa bekas menteri didakwa esok?

KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang bekas menteri dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini esok atas pertuduhan rasuah.

Difahamkan bekas menteri berkenaan dijangka berdepan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu dalam satu jemputan media yang dikeluarkan hari ini, SPRM memaklumkan bahawa pihak mereka telah mendapat izin untuk mendakwa bekas menteri terbabit.

Individu berkenaan dijadualkan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pukul 9 pagi esok.

Hari ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan gagal mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Mahkamah kemudian membenarkan Ismail Sabri diikat jamin RM300,000 dan menetapkan 29 September ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Pengawal keselamatan ditemukan maut dalam longkang

NOR AINNA HAMZAH
Seorang pengawal keselamatan ditemukan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran Jalan Kampung Pasir Ambor Dalam, pagi tadi. Foto IHSAN POLIS
KUALA PILAH – Seorang pengawal keselamatan berusia 26 tahun ditemukan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran Jalan Kampung Pasir Ambor Dalam, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa yang terbaring di tepi jalan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 8.40 pagi.

Menurutnya, susulan laporan itu, Ketua Polis Balai Kuala Pilah bersama pegawai penyiasat bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan di dalam sebuah longkang berhampiran jalan dengan terdapat ranting serta batang pokok yang patah di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa bagaimanapun tidak menemukan sebarang kesan pukulan, kelar atau tanda-tanda pergaduhan yang boleh mengaitkan unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut hadir menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, namun tidak menemukan sebarang petunjuk menunjukkan berlakunya unsur jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki Melayu dan beralamat di kawasan Kampung Pasir Ambor mempunyai sejarah penyakit sawan sejak kecil.

“Berdasarkan keterangan ahli keluarga, mangsa juga pernah mengalami keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami serangan sawan. Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati punca sebenar kematian adalah tidak dapat ditentukan (undetermined),” katanya. Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Anggota polis marin cedera kena tembakan ketika rakan kosongkan senjata

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) cedera terkena tembakan ketika rakan setugasnya mengosongkan senjata api di Pos Pengawal Marin, Lahad Datu, kelmarin.

Mangsa berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan perut.

Ketua Polis Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari sama.

“Kejadian berlaku ketika seorang rakan setugas sedang mengosongkan senjata api di lokasi kejadian.

“Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Keadaannya dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan serta pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga mencederakan mana-mana orang.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.

Kelantan: Selisih faham rumah tangga, isteri simbah warga emas dengan cuka getah

AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Perselisihan faham berhubung perihal rumah tangga menyebabkan seorang wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai cuka getah kepada suaminya yang sedang tidur di rumah mereka di Kampung Bertam Baru di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.14 pagi itu, mangsa yang berusia 63 tahun mengalami kecederaan lecur sebelum dihantar oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Bertam di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, warga emas itu disimbah dengan cecair cuka getah ketika sedang tidur oleh isterinya yang berusia 33 tahun.

Katanya, mangsa yang melecur dihantar oleh rakannya ke Klinik Kesihatan Bertam dan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

“Suspek yang merupakan isteri kepada mangsa turut mengalami kecederaan pada bahagian perut dan telah menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini.

“Kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan perselisihan rumah tangga, namun motif sebenar kes tersebut masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Banjir kilat di Nepal, 17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang

Bernama

Lembaga Pelancongan Nepal memaklumkan urusan perjalanan rakyat Malaysia yang hilang berkenaan diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.
Banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi menghanyutkan banyak kampung serta memusnahkan jalan raya, bangunan dan projek hidrokuasa di kawasan Rasuwagadhi-Timure, Nepal. (Gambar EPA Images)
HYDERABAD: Seramai 17 rakyat Malaysia antara ratusan warga asing yang dilaporkan hilang susulan banjir kilat yang mengakibatkan kemusnahan di daerah Rasuwa, Nepal pada pagi Rabu, menurut Lembaga Pelancongan Nepal.

Lembaga itu dalam satu kenyataan memaklumkan urusan perjalanan rakyat Malaysia yang hilang berkenaan diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.

Sekurang-kurangnya 291 warga asing dan 93 warga Nepal tidak dapat dihubungi, manakala polis dan pengendali pelancongan sedang berusaha mengesan mereka, menurut lembaga itu dalam kemas kini situasi pada sebelah petang.

Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini memaklumkan 11 warganegara Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa dilaporkan terputus hubungan susulan banjir berkenaan.

Kementerian itu memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan.

“Pasukan mencari dan menyelamat yang kini dikerahkan oleh kerajaan Nepal sedang berusaha mengesan rakyat Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” menurut kementerian itu.

Banjir akibat limpahan Sungai Bhote Koshi menghanyutkan banyak kampung serta memusnahkan jalan raya, bangunan dan projek hidrokuasa di kawasan Rasuwagadhi-Timure, Nepal.

Warga asing lain yang terputus hubungan termasuk 142 warga India, dengan 37 daripadanya menetap di luar negara, serta ramai warga Britain, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Dua mayat ditemukan dalam kereta di Semenyih

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

KAJANG – Dua individu yang dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di kawasan tempat letak kenderaan awam berhadapan Super Seven, Vista Valley, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan dua mayat itu kira-kira pukul 3.54 petang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan wanita tempatan berusia 43 tahun ditemukan di tempat duduk hadapan sebuah Hyundai Atos berwarna hijau.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kesan umpilan pada kenderaan berkenaan selain tiada kecederaan atau tanda jelas menunjukkan unsur jenayah pada kedua-dua mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa yang merupakan kenalan telah dilaporkan tidak dapat dihubungi dan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari sebelum ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa dijalankan di Unit Forensik Hospital Kajang hari ini.

“Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat ditentukan dan pihak polis masih menunggu keputusan pemeriksaan makmal.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemukan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.

Naazron berkata, kes diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-978 8804 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Pesara tentera didenda RM1,000 tampar remaja kejar ayam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Ayer Keroh mendenda seorang pesara tentera RM1,000 yang mengaku bersalah menampar seorang remaja lelaki 13 tahun dua minggu lalu.

Harian Metro melaporkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Abdullah, 63, atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap remaja terbabit di tepi Jalan TM35, Taman Tanjung Minyak, Melaka kira-kira 5.15 petang 11 Ogos lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa sedang mengejar ayam di tepi jalan sebelum didatangi tertuduh yang bertanyakan adakah mangsa mencuri ayamnya.

Tertuduh menampar pipi kanan mangsa, yang menafikan tuduhan itu, dua kali. Remaja terbabit kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan membuat laporan polis.

Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan “soft tissue injury right cheek”.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, JC Goh merayu anak guamnya dikenakan denda minimum kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pesara tentera dan perlu menanggung isteri tidak bekerja serta tiga anak.

Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.

Mahkamah mengenakan denda RM1,000 atau penjara sebulan, jika gagal bayar denda itu.

Bekas pengerusi Tabung Haji, bekas KSU Perbendaharaan ditahan SPRM

Malaysiakini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan seorang bekas ketua setiausaha perbendaharaan, bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu lelaki berumur dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam empat petang tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung dapatan dan isu yang dikemukakan dalam Laporan RCI Tabung Haji," kata sumber kepada Malaysiakini.

Nama mereka tidak didedahkan buat masa ini.

Berdasarkan kenyataan SPRM di akaun Tiktok, pihak pendakwa dijangka membawa kedua-dua individu berkenaan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Bakar mercun atas jalan, ganggu ketenteraman awam, polis cari suspek, saksi

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
Gambar dan video tular berdurasi 35 saat memaparkan kejadian itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam. FOTO IHSAN PEMBACA
Gambar dan video tular berdurasi 35 saat memaparkan kejadian itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam. FOTO IHSAN PEMBACA
Shah Alam: Polis Shah Alam sedang mengesan suspek yang disyaki terbabit dalam kes bakar mercun di atas Jalan Persimpangan Jalan Hamzah Seksyen U14 yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati, video terbabit memaparkan sekumpulan lelaki disyaki membakar mercun di atas Jalan Persimpangan Jalan Hamzah Seksyen U14.
Menurutnya, laporan dibuat Ketua Polis Balai Bukit Jelutong berkaitan penularan video kes terbabit di dalam aplikasi Threads hari ini.

"Kejadian ini disyaki berlaku pada semalam, kira-kira jam 4.22 petang semasa perarakan kematian menuju ke Tapak Perkuburan Bliss Garden Setia Alam.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam aktiviti membakar mercun ini dan saksi yang berada di tempat kejadian" katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.

"Jika didapati bersalah boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohd Razi Sahari di talian 019-5717076," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 35 saat memaparkan kejadian itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam.

RCI TH dah siap, kenapa Umno-Pas masih mahu pusing cerita?

Harapandaily

Polemik berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji terus menjadi perhatian apabila Umno dan Pas didakwa cuba mengalihkan fokus daripada tindakan susulan kepada cadangan siasatan baharu.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Aziz Bari, berkata tindakan Umno dan Pas sejak laporan RCI itu didedahkan dilihat ganjil, termasuk tindakan memboikot persidangan Parlimen serta menganjurkan seminar yang mempertikaikan dapatan sebuah suruhanjaya diraja.

Menurutnya, kedua-dua parti itu perlu mengakui bahawa RCI berkenaan ditubuhkan dan menyiapkan laporannya ketika mereka sendiri berada dalam kerajaan.

“Umno dan Pas perlu akur bahawa suruhanjaya tersebut ditubuh dan menyiapkan laporan ketika mereka sendiri berada dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aziz berkata RCI berkenaan juga bukan sebuah badan yang dibentuk sewenang-wenangnya, sebaliknya ditubuhkan dan menjalankan fungsinya mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Disemak 1973).

Justeru, katanya, Umno dan Pas sewajarnya menghormati proses serta hasil siasatan yang telah dijalankan mengikut kerangka undang-undang tersebut.

Beliau turut mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah menitahkan supaya tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab, termasuk gesaan supaya pihak terbabit dicari hingga “ke lubang cacing”.

Dalam keadaan itu, Aziz berkata tumpuan tidak seharusnya lagi diberikan kepada pembukaan siasatan baharu, sebaliknya kepada tindakan susulan terhadap dapatan RCI.

“Tindakan Umno dan Pas mengadakan seminar dan mahukan RCI yang baru jelas tidak selaras dengan perkara-perkara di atas.

“Masa untuk siasatan sudah berlalu dan sekarang adalah masa untuk bertindak,” katanya.

Aziz turut mendakwa Pas seolah-olah enggan menggunakan ruang yang tersedia di Parlimen untuk membahaskan isu tersebut, sebaliknya memilih untuk bersama Umno mengalihkan perhatian kepada perkara lain.

“Pas terutamanya enggan menggunakan medan yang disediakan dan sekarang bersekongkol dengan Umno untuk mengalihkan perhatian kepada isu lain,” katanya.

Pada masa sama, Aziz menegaskan isu Tabung Haji tidak boleh dilihat sebagai masalah yang hanya membabitkan satu kelompok masyarakat kerana langkah menyelamatkan institusi itu turut memberi kesan kepada kewangan negara.

Katanya, kepentingan pembayar cukai juga perlu diambil kira kerana langkah pemulihan Tabung Haji sebelum ini melibatkan dana dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Perlu diingatkan bahawa skandal Tabung Haji ini adalah isu yang menyentuh kepentingan semua kaum di Malaysia.

“Ini kerana langkah menyelamatkan Tabung Haji telah melibatkan semua rakyat, khususnya pembayar cukai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi penguat kuasa meneruskan tindakan berdasarkan dapatan RCI dan tidak melayan desakan yang menurutnya hanya akan memanjangkan proses.

Aziz berkata persoalan utama sekarang ialah memastikan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang, pihak yang bertanggungjawab perlu disiasat dan diambil tindakan.

“Desakan Umno dan Pas tidak harus dilayan dan kita menyeru agensi penguat kuasa untuk segera bertindak,” katanya.

Polemik berhubung laporan RCI Tabung Haji dijangka terus menjadi bahan perdebatan politik susulan desakan beberapa pihak supaya aspek tertentu dalam laporan berkenaan diteliti semula.

Namun bagi Aziz, tumpuan kini sepatutnya beralih daripada persoalan sama ada perlu diwujudkan RCI baharu kepada persoalan lebih penting apakah tindakan yang perlu diambil berdasarkan dapatan yang sudah tersedia.

Remaja perempuan dilapor hilang selepas keluar dari rumah

Sinar Harian
NIBONG TEBAL– Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah dan masih belum pulang sehingga kini.
Nik Nursyazwani Aishah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah pada Isnin. - Gambar Sinar Harian
NIBONG TEBAL: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah dan masih belum pulang sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, remaja berkenaan dikenal pasti sebagai Nik Nursyazwani Aishah Jerfi Arwan Shah.

“Remaja berkenaan merupakan perempuan berusia 15 tahun dan berbangsa Melayu. Dia dilaporkan hilang pada Isnin.

“Pihak polis sedang menjalankan usaha mengesan individu berkenaan yang dipercayai telah keluar dari rumah dan belum pulang sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpai remaja berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Nur Anis Syamimie Nasir di talian 016-9391927.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. - Sinar Harian

Guru Kafa dilapor hilang selepas keluar ke masjid

FMT Reporters

Mohamad Hijazi Zamri, 26, kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Sungai Ara menaiki motosikal Yamaha LC biru pada Sabtu.
Usaha kesan Mohamad Hijazi Zamri, 26, sedang giat dijalankan, kata Ketua Polis Barat Daya Anuwal Ab Wahab. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Sungai Ara, Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Ketua Polis Barat Daya Anuwal Ab Wahab berkata, usaha mengesan Mohamad Hijazi Zamri, 26, sedang giat dijalankan.

Menurutnya, Mohamad Hijazi berketinggian 155cm dengan berat 54kg, berkulit sawo matang dan berambut hitam.

“Mohamad Hijazi kali terakhir dilihat memakai baju-T lengan panjang berwarna oren dan seluar panjang hitam,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Mohamad Hijazi diminta menyalurkan kepada polis melalui talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, bapa Mohamad Hijazi, Zamri Saidin, 53, berkata, anak sulungnya itu didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar menunaikan solat Isyak di sebuah surau berhampiran rumah.

Menurut Zamri, Mohamad Hijazi sempat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama-samanya dan adiknya sebelum memaklumkan mahu menunaikan solat Isyak di surau dengan menaiki motosikal Yamaha LC berwarna biru.

Mohamad Hijazi dijadualkan berkahwin pada 2 Sept ini selepas bertunang kira-kira setahun dan segala persiapan perkahwinan telah dilakukan, tambahnya.

Lelaki maut dirempuh Alza ketika bergaduh

MOHD YUNUS YAKKUB
Tangkap layar video tular menyaksikan seorang lelaki dilanggar MPV sebelum diserang sekumpulan individu di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, Shah Alam.
SHAH ALAM – Pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar sebuah Perodua Alza dalam kejadian di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup mendapati sekumpulan lelaki terbabit dalam pergaduhan sehingga berlaku kejadian tetak antara mereka.
“Sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza berwarna biru melanggar salah seorang individu terbabit sehingga sehingga menyebabkan kematian di lokasi kejadian.

“Susulan itu, Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bertindak mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Jelas beliau, tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sarudin meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, Kosmo Online! melaporkan dua lelaki ditetak sekumpulan individu dalam kejadian di Seksyen 28, di sini, hari ini.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang tular memaparkan kumpulan penyerang yang menaiki sebuah kereta dilihat meluru keluar sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring atas jalan.

Seorang lagi lelaki turut ditetak sebelum kumpulan tersebut beredar dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

2 wanita pengsan tercampak pelampung taman tema

AMRAN ALI
SALAH seorang mangsa menerima rawatan selepas dipercayai tercampak daripada pelampung ketika bermain gelongsor air di sebuah taman tema di Ayer Keroh, Melaka.
MELAKA – Dua wanita pengsan selepas dipercayai tercampak daripada pelampung ketika bermain gelongsor air di sebuah taman tema di Ayer Keroh, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu membabitkan dua mangsa berusia 46 dan 31 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki pelampung berkembar ketika bermain permainan air.

“Mangsa berusia 46 tahun berada di bahagian hadapan, manakala seorang lagi berada di belakang. Ketika menuruni gelongsor, pelampung itu dikatakan melanggar sesuatu menyebabkan mangsa di hadapan terhantuk pada dinding gelongsor,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Halim berkata, anak mangsa yang berada di lokasi melihat ibu dan ibu saudaranya keluar dari gelongsor tanpa pelampung.

Katanya, kedua-dua mangsa juga tidak memasuki ruang air seperti sepatutnya sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kedua-dua wanita itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Mangsa berusia 46 tahun cedera di bawah dagu, sakit pada bahagian kepala dan dada selain luka di lutut.

“Pemeriksaan sinar-X tidak menemukan sebarang kecederaan, namun imbasan tomografi berkomputer mendapati terdapat sedikit darah beku pada bahagian kanan kepala mangsa. Mangsa berusia 31 tahun pula tidak dapat mengingati kejadian, hanya tersedar ketika berada di bahagian terbuka gelongsor.

“Pemeriksaan di sebuah hospital swasta mendapati mangsa mengalami gegaran otak, namun tiada kecederaan lain dilaporkan,” jelasnya.

Halim berkata, laporan polis dibuat oleh anak mangsa yang berusia 22 tahun pada pukul 11.05 pagi keesokannya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pihak taman tema selain mahu membuat tuntutan insurans. – KOSMO! ONLINE