"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Draf Surat Letak Jawatan Pemimpin PAS

muhaimin sulam

Selepas muktamar PAS 1982 berhenti rehat tengahari, Dato' Asri telah pulang ke rumah untuk makan dan solat. Kemudian beliau berbincang dengan beberapa rakan-rakan beliau tentang peristiwa yang menyayatkan hatinya kerana dikecam oleh sidang muktamar.Lalu, beliaupun menulis draf surat letak jawatan yang berbunyi....

Suasana dan sikap yang muncul semenjak Muktamar yagn ke 27 hinggalah ke muktamar ke 28 ini telah menunjukkan bahawa ada sesuatu usaha semacam konspirasi untuk memecah-belahkan PAS dari dalam terutamannya dalam soal kepimpinan.

Menjelang muktamar ini suatu penjelajahan yang agak menyeluruh bertopengkan kepimpinan ulama telah mengharu birukan fikiran dan suasana telah dilakukan, di samping itu fitnah-fitnah terhadap diri saya berkeliaran mengatasi fitnah-fitnah yang pernah dilemparkan oleh musuh-musuh politik PAS pada zaman tahun 1977/1978 dahulu.

Untuk mengelakkan kita daripada berpanjangan bertarung sesama sendiri yang merugikan perjuangan yang sama-sama kita cintai ini, maka saya telah mengambil keputusan menyerahkan kembali mandat dan kepercayaan Muktamar PAS ke 27 yang lalu yang telah memilih saya menjadi Yang Dipertua Agung bagi tempoh 1981-1983 kepada muktamar ini.'

Ustaz Salehuddin Abdullah, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan berkata, ramai kalangan rakan-rakannya yang tidak setuju langkah Dato Asri itu. Akhirnya, muktamar menerima peletakan jawatan tersebut dan memutuskan dipangku oleh Haji Yusuf Rawa sebagai Pemangku Yang Di Pertua Agung PAS.

Manakala, Haji Yusuf Rawa telah meletakkan jawatan sebanyak dua kali. Kali pertama selepas Muktamar di Rusila pada 1986. Sebahagian daripada Ucapan Dasarnya telah ditolak oleh sidang muktamar. Beliau telah dikritik hebat oleh sidang muktamar. Beliau menulis surat letak jawatan semasa muktamar berlangsung. Turut meletak jawatan Ustaz Nakhaei Ahmad. Selepas itu diikuti oleh Subky Latif dan Syed Abdul Rahman. Haji Yusuf Rawa enggan berucap sewaktu ucapan penggulungan Muktamar. Ucapan itu dibuat oleh Ustaz Fadzil Mohd. Noor. Walau bagaimanapun, semua yang letak jawatan telah menarik balik atas inisiatif Ustaz Fadzil dan beberapa AJK PAS lain.

Tahun 1989, Ustaz Hasan Syukri dan Subky Latif mengunjungi Haji Yusuf Rawa di rumahnya di Pulau Pinang. Beliau ketika itu uzur. Beliau menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan. `Ana dah jadi uzur, ana tak boleh hadir mesyuarat. Ana cadang minta pandangan anta, macamana ana letak jawatan?' Ustaz Hasan Syukri waktu itu sebagai Setiausaha Agung PAS Pusat. Hj. Subky sebagai AJK PAS Pusat. Haji Subky jawab, `Pada pandangan ana itulah sebaik-baiknya, Eloklah' Lurus nasihat Hj. Subky. Lalu mereka memanggil Ustaz Fadzil yang tinggal di Alor Star agar datang ke rumah Haji Yusuf Rawa. Malam itu juga, Hj. Subky drafkan surat letak jawatan untuk Haji Yusuf Rawa sebagai Yang DiPertua Agung PAS.

Apabila Ustaz Fadzil sampai, surat letak jawatan sudah siap. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh Ustaz Fadzil ketika itu kecuali menerima keputusan dan memangku jawatan Yang DiPertua Agung PAS sementara muktamar akan datang.

(Rekod interview dengan Dato Mustafa Ali, Hj. Subky Latif, Ust. Salahuddin Abdullah, Cikgu Hj. Hashim Omar, Hj. Abdul Hamid Saleh Pasir Mas)

http://muhaiminsulam.blogspot.com

Tiada ulasan: