"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan Sampai Guan Eng Memulakannya

Zolkharnain Abidin

Secara peribadi, saya sangat menghargai usaha mana-mana pihak memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penghafaz al-Quran. Samada usaha itu dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang atau oleh kerajaan BN seperti Terengganu misalnya, semuanya adalah baik dan bagus.

Saya berkesempatan pada awal bulan yang lalu mengunjungi Maahad Tahfiz al-Quran Pulai Chondong Kelantan kerana beberapa urusan rasmi. Memang mengagumkan.

Usaha yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan ini memberi keuntungan besar kepada rakyat negeri itu secara khusus. Kelantan juga ada Maahad Tahfiz al-Quran Sains. Mereka bakal melahirkan sekian banyak profesional hafiz untuk menempati pelbagai institusi profesional.

Berbeza dengan kebanyakan maahad tahfiz yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak, individu atau badan tertentu, dalam keadaan maahad tahfiz tersebut menerima sesiapa sahaja untuk menghafaz al-Quran, termasuk yang tidak tahu membaca al-Quran, Maahad Tahfiz Pulai Chondong hanya menerima pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR dan lulus temuduga yang dianjurkan oleh maahad itu.

Maksudnya, maahad itu hanya menerima yang terbaik sahaja.

Tentunya, ini mengikis tanggapan negatif sebahagian orang, pengajian hafaz al-Quran dan pengajian Islam hanya untuk mereka yang lulus corot dalam peperiksaan awam sahaja. Sedangkan hakikatnya, menghafaz al-Quran memerlukan keupayaan otak yang tinggi.

Negara kita memiliki banyak sekolah yang menempatkan pelajar cerdik. MRSM, sekolah-sekolah menengah sains dan sekolah cluster misalnya. Di Perlis, ada MRSM Beseri, Sekolah Menengah Tuanku Syed Putra, Sekolah Menengah Derma, Sekolah Menengah Dato’ Syeikh Ahmad, semua sekolah ini hanya menerima pelajar terbaik UPSR sahaja.

Termasuk juga dua SMKA iaitu Sekolak Menengah Kebangsaan Agama Arau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Kangar. Tidak terkecuali Madrasah Alwiyah, sebuah sekolah menengah agama milik kerajaan negeri.

Persoalannya ialah, mengapa sekolah-sekolah menengah yang berpelajar cerdik ini tidak menerapkan subjek hafalan al-Quran?

Tidak perlu hafaz al-Quran semuanya kerana memang difahami bahawa pelajar-pelajar tersebut terbeban dengan banyak subjek peperiksaan awam. Cukup sekadar setahun 3 atau 5 juzuk misalnya, dan kalau itu masih berat juga, 1 atau 2 juzuk juga sudah memadai. Apabila mereka tamat PMR, sekurang-kurangnya mereka menghafaz antara 9 hingga 15 juzuk al-Quran atau sekurang-kurangnya 3 juzuk al-Quran.

Kementerian Pelajaran tidak perlu berpening-pening kepala berfikir untuk menerapkan pelbagai subjek siviklah, kenegaraanlah, kesedaran bahaya dadahlah yang belum tentu hasil dan kesannya itu, kerana diyakini pelajar yang hafaz al-Quran tentu akan terhindar daripada gejala negatif itu.

Pelajar Maahad Tahfiz Pulai Chonding Kelantan belajar 9 sembilan subjek untuk peperiksaan PMR, belasan subjek lain dalam bahasa Arab, dalam masa yang sama mereka hafaz al-Quran. Hasilnya, mereka cemerlang PMR, hafaz al-Quran dan menguasai cabang ilmu Islam yang lain termasuk bahasa Arab dengan baik.

Mengapa MRSM dan sekian banyak sekolah menengah sains di negara kita tidak melakukan ini semua? Mengapa masa hidup mereka sebagai pelajar muslim ‘dibazirkan’ dengan aktiviti yang entah apa-apa? Kalau mereka diperuntukkan masa untuk pendidikan seni, Tae Kwon Do, kumpulan koir, band dan banyak lagi, mengapa tiada difikirkan secara serius peruntukan masa untuk menghafaz al-Quran?

Saya seronok dengan kelahiran begitu banyak pusat menghafaz al-Quran, tetapi sayang, pusat-pusat ini kebanyakannya dipenuhi oleh mereka yang tiada tempat di sekolah-sekolah ternama tadi. Akhirnya, terkial-kiallah pelajar ini menghafaz al-Quran dengan serba kepayahan dan kesusahan.

Memang ramai yang berhasil menghafaz al-Quran juga sudahnya dan itu memang sangat bagus daripada dibiarkan mereka ‘menghafaz’ entah apa-apa, tetapi isunya ialah mereka hanya sekadar mampu membaca al-Quran sebagai imam dalam solat sahaja.

Sedangkan al-Quran bukan untuk dibaca dalam solat sahaja. Al-Quran perlu berada di dalam makmal sains, di mahkamah, di perut bumi, di dasar laut, di dalam kapal angkasa, di bank, di pejabat-pejabat korporat, dan di mana-mana lagi.

Tentulah mereka yang mampu membawa al-Quran ke lokasi itu semua adalah mereka yang sekarang sedang belajar di sekolah-sekolah bagus tadi. Tapi, kalau mereka tidak menghafaz al-Quran, bagaimana mereka mampu membawanya ke sana?

Jangan sampai Lim Guan Eng yang memulakan usaha ini, nanti ada orang menuduhnya sebagai mempermainkan al-Quran pula.

Tiada ulasan: